SETIAP pasangan perlu memahami dan berkomunikasi mengenai hobi masing-masing.
SETIAP pasangan perlu memahami dan berkomunikasi mengenai hobi masing-masing.
Hafiz Ithnin


PERNAH atau tidak anda merasakan 'rengsa' dengan pasangan yang ketagihan hobi? Pagi, petang siang atau malam hobi menjadi 'pasangan' pertama dan si suami atau isteri menjadi yang kedua.

Situasi ini penulis pernah terbaca di laman sosial apabila seorang isteri berkongsi secara terbuka mengenai sikap pasangannya yang begitu ketagih dengan hobi berbasikal.

Situasi ini sebenarnya salah satu contoh yang menyebabkan pasangan menjadi tidak selesa dengan keadaan berkenaan. Apatah lagi, jika pasangan perlu berseorangan melakukan kerja di rumah bukan?

Ahli Psikologi Klinikal Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku (PPK&KTL) Pusat Penyelidikan Komuniti (REACH), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Noh Amit berkata, penjagaan kendiri dan gaya hidup yang sihat seperti melakukan sesuatu hobi secara konsisten adalah penting untuk kesejahteraan fizikal dan mental individu seperti mengurangkan tekanan, kemurungan dan kebimbangan.

"Walaupun terdapat faedah hobi berbasikal dalam kalangan orang dewasa dan pasangan, terdapat juga pasangan berkahwin tidak berkongsi minat dengan hobi yang sama.

"Misalnya, kajian dan ulasan sistematik daripada Chekroud et. al, 2018; Oja, et. al, 2011 menunjukkan hobi seperti berbasikal didapati baik untuk kesihatan dan kesejahteraan minda individu," katanya.

BUAT hobi bersama boleh mengeratkan hubungan sesama pasangan.
BUAT hobi bersama boleh mengeratkan hubungan sesama pasangan.

Tambahnya, aktiviti berbasikal kebiasaannya dilakukan bersesuaian dengan masa lapang dan keinginan individu. Pengurusan hobi berbasikal itu mungkin mudah bagi individu bujang dan tanpa komitmen berkaitan keluarga.

"Namun, ia mungkin menjadi kekangan kepada individu berkahwin yang terikat dengan komitmen keluarga dan pasangan masing-masing terutama pada hujung minggu.

"Oleh itu, cabarannya adalah apabila pasangan mereka tidak mempunyai minat ataupun hobi yang sama seperti berbasikal di hujung minggu atau di masa lapang," katanya.

Dr Noh berkata, perbezaan dalam hobi seperti menunggang basikal atau pembabitan pasangan seperti suami atau isteri dalam hobi menunggang basikal secara berlebihan boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dan keluh-kesah dalam sesetengah pasangan.

AKTIVITI bersama keluarga amat penting bagi mengeratkan hubungan.
AKTIVITI bersama keluarga amat penting bagi mengeratkan hubungan.

"Oleh itu adalah penting untuk mencari titik persamaan dan persefahaman dalam kalangan pasangan yang mempunyai hobi yang berbeza.

"Perkara ini menuntut kepada bentuk komunikasi dan perbincangan yang secara terbuka dan berhemah dalam kalangan suami isteri," katanya.

JANGAN biarkan pasangan keseorangan munguruskan rumah tangga kerana hobi anda.
JANGAN biarkan pasangan keseorangan munguruskan rumah tangga kerana hobi anda.

Jelasnya, sudah pasti terdapat segelintir pasangan yang mengeluh kerana kerana pasangan terlalu memberikan tumpuan kepada hobi dengan berbasikal dengan mengurangkan masa bersama keluarga ataupun pasangan.

"Oleh itu pasangan perlu memastikan keseimbangan antara hobi, masa berkualiti bersama keluarga dan hubungan antara pasangan boleh dikekalkan secara harmoni serta seimbang di sebalik perbezaan hobi berkenaan.

"Kajian menunjukkan kunci asas kepada pemahaman ini adalah komunikasi dua hala yang terbuka dan kesediaan pasangan untuk saling memahami antara satu dengan yang lain (Jafari, et. al, 2021; Lavner, et. al, 2016)," katanya.

DR Noh
DR Noh

Tambahnya, sekiranya individu mengalami situasi sebegini, terdapat tiga perkara yang perlu anda lakukan. Pertama, melakukan refleksi kendiri mengenai apa yang sudah dilakukan dalam mengimbangi hobi itu dengan kehidupan berkeluarga dan masa bersama†pasangan anda.

"Hal ini kerana refleksi kendiri membantu pasangan untuk menilai apa yang dilakukan, bagaimana kesilapan berkaitan pengurusan hobi boleh diperbaiki, bagaimana perbezaan dalam hobi diurus dan bagaimana persefahaman dalam kalangan pasangan diberikan keutamaan.

"Kedua, cuba fahami apakah perasaan pasangan anda mengenai hobi anda dan kesannya kepada hubungan dengan pasangan anda," katanya.

Beliau memberi contoh, suami boleh bertanya apakah perasaan isterinya mengenai hobi berkenaan. Suami juga boleh bertanya apakah pandangan isteri mengenai masa yang diluangkan suami untuk aktiviti berbasikal pada hujung minggu.

"Pasangan juga boleh meminta pendapat masing-masing bagaimana untuk mengelak suami atau isteri atau keluarga berasa terabai apabila melakukan hobi itu secara hujung minggu.

"Suami juga boleh bertanya bagaimana mereka boleh merancang hujung minggu dengan memasukkan aktiviti berkeluarga dan aktiviti secara individu seperti berbasikal," katanya.

Katanya, selain itu, boleh berbincang cara untuk memperbaiki penerimaan pasangan mengenai hobi berkenaan.

"Pasangan juga perlu berbincang bagaimana hobi secara berlebihan boleh mendatangkan risiko perhubungan dalam kalangan pasangan suami isteri.

"Ketiganya, pasangan perlu berbincang cara mengeratkan hubungan dengan meluangkan masa untuk memahami bagaimana hujung minggu boleh dilakukan secara bersama dan berkualiti.

"Contohnya, berbincang mengenai perancangan aktiviti keluarga atau pasangan di hujung minggu dengan jelas dan bersama," katanya.

Katanya, selain itu adalah penting untuk menghargai dan memberi penekanan kepada hobi yang boleh dilakukan secara bersama seperti menonton filem, bersiar-siar, berkebun, membaca dan sebagainya.

Tambahnya, suami atau isteri perlu fokus untuk memberi keutamaan kepada keluarga dengan melakukan hobi yang boleh dikongsikan bersama dalam mengeratkan perhubungan rumah tangga.

"Kesimpulannya, perbincangan berterusan dan terbuka perlu sentiasa dilakukan oleh pasangan bagi memahami situasi sebenar, memahami perasaan pasangan mengenai hobi, kaedah dalam menyeimbangi hobi dan kehidupan berkeluarga, kesesuaian tempoh masa yang diberikan serta bagaimana keutamaan kepada pasangan dan keluarga boleh ditingkatkan," katanya.

Katanya, pasangan perlu memahami bahawa kehidupan berkeluarga seharusnya saling memberi dan saling memahami antara satu sama lain.

"Oleh itu, sikap bertolak ansur tanpa membahayakan hubungan pasangan suami isteri perlu disemai dalam kalangan pasangan.

"Pada masa sama mereka masih boleh menjalani kehidupan yang sihat dengan melakukan hobi diminati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Februari 2022 @ 7:00 AM