SUAMI isteri perlu yakin bahawa cinta sejati tidak dapat dipisahkan oleh jarak dan masa. - FOTO Google
SUAMI isteri perlu yakin bahawa cinta sejati tidak dapat dipisahkan oleh jarak dan masa. - FOTO Google
Hafiz Ithnin


PERHUBUNGAN jarak jauh atau mudahnya dikenali sebagai 'PJJ' dalam kalangan mereka yang sudah berumah tangga bukan perkara baharu kerana mungkin si isteri atau suami perlu bekerja di luar kawasan.

Sengaja penulis bertanyakan kepada seorang rakan yang sudah lama 'PJJ' dengan isterinya perihal cabaran yang perlu dilalui. Apatah lagi, dia di Kuala Lumpur dan isteri di Kedah.

"Masuk tahun ini sudah tahun keempat, tetapi sebolehnya sebulan sekali paling lama untuk pulang berjumpa isteri dan anak-anak kerana pertamanya tanggungjawab dan kedua khuatir anak sulung adalah lelaki yang biasanya melihat ayah sebagai idolanya.

"Mengenai isteri, dia sudah terbiasa dan sebagai suami pasti merasa berat hati juga apabila memikirkan dia perlu menguruskan anak-anak dengan keluarga mentua. Namun, tiada pilihan kerana di sini (Kuala Lumpur) tempat saya mencari rezeki dan isteri pula ada perniagaan sendiri di utara," katanya.

Mengulas mengenai perkara itu, Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA dan Ahli Daftar Kaunselor Profesional UK, Dr Airil Haimi Mohd Adnan berkata, 'PJJ' di alam perkahwinan dilihat sebagai sesuatu yang mencabar dalam hubungan rumah tangga kerana mahligai perkahwinan yang seharusnya dilayari bersama seakan terpisah kerana jarak dan tempoh tertentu.

Jelasnya, pasangan suami isteri yang 'PJJ' biasanya memerlukan kekuatan mental yang kuat untuk melayari rumah tangga kerana terdapat pelbagai cabaran seperti kerisauan dan kerinduan antara satu sama lain.

PERLU ada kepercayaan antara pasangan penting untuk ‘PJJ’. - FOTO Google
PERLU ada kepercayaan antara pasangan penting untuk ‘PJJ’. - FOTO Google

BERHUBUNG melalui telefon dan video dapat mengeratkan hubungan setiap hari. - FOTO Google
BERHUBUNG melalui telefon dan video dapat mengeratkan hubungan setiap hari. - FOTO Google

"Secara logik tidak ada pasangan yang ingin hidup terpisah dengan suami atau isteri kerana ia bukan suatu perkara yang lumrah untuk membina sebuah rumah tangga. Secara dasarnya perkahwinan adalah melayari satu kehidupan bersama-sama dan menunaikan tanggungjawab antara satu sama lain.

"Bagaimanapun, tidak semua insan yang berkahwin mempunyai peluang tinggal bersama kerana kekangan seperti biasanya kerana faktor mencari peluang pekerjaan yang terpaksa menjadikan mereka terpisah," katanya.

Pensyarah itu berkata, sekiranya satu pasangan suami isteri terpaksa menjalani kehidupan rumah tangga secara 'PJJ' kedua-dua pihak masih perlu menjalankan tanggungjawab bersama dan jarak bukan suatu alasan untuk menidakkan tanggungjawab, terutama suami yang mengemudi keluarga.

Katanya, lebih mencabar apabila untuk membincangkan mengenai 'PJJ' ini apabila satu pasangan itu mempunyai anak dan jumlah anak yang ramai kadangkala boleh menjadikan salah satu pihak merasakan 'kehilangan' pasangan menjadi bebanan untuk membesarkan anak seorang diri.

"Perkara paling utama ialah kita kena berbalik kepada isu utama iaitu tanggungjawab setiap individu iaitu suami perlu memastikan nafkah sentiasa cukup terutama dari segi sokongan mental dan kewangan.

"Jangan merasakan apabila tinggal berjauhan dengan isteri, kita merasakan ini adalah saat terbaik untuk bergelar orang bujang semula, tetapi perlu memikirkan bahawa niat asal seseorang itu perlu berhijrah," katanya.

Jelasnya, pasangan juga sentiasa dalam keadaan positif dan tidak menyamakan keadaan mereka dengan pasangan yang tinggal sebumbung kerana perkara itu boleh mengundang rasa cemburu yang tidak baik.

"Cemburu itu penting, tetapi perlu meletakkan ia pada tempat yang betul. Jangan sampai cemburu boleh mengundang kepada perasaan sangka buruk kepada pasangan kita.

MELAKUKAN aktiviti yang mengembirakan setiap kali berjumpa dapat menjadikan hubungan suami isteri ‘PJJ’ lebih rapat. - FOTO Google
MELAKUKAN aktiviti yang mengembirakan setiap kali berjumpa dapat menjadikan hubungan suami isteri ‘PJJ’ lebih rapat. - FOTO Google

LAKUKAN aktiviti mengembara bersama keluarga antara yang boleh dilakukan apabila ada waktu terluang. - FOTO Google
LAKUKAN aktiviti mengembara bersama keluarga antara yang boleh dilakukan apabila ada waktu terluang. - FOTO Google

"'PJJ' juga sebenarnya boleh menjadikan satu pasangan suami isteri itu kelihatan lebih unik kerana ia bukan sesuatu yang mudah untuk dipraktikkan dalam rumah tangga. Yakinlah, kekuatan mental pasangan 'PJJ' sebenarnya lebih kuat daripada mereka yang tinggal sebumbung," katanya.

Jelas Dr Airil, setiap pasangan juga perlu yakin bahawa cinta sejati tidak dapat dipisahkan oleh jarak dan masa disebabkan itu kedua-dua pihak bersetuju untuk berkahwin kerana merasakan cinta dan sayang.

"Tidak dinafikan, kadangkala ketika berada jarak yang jauh perasaan khuatir mengenai kesetiaan itu akan muncul, tetapi sebagai isteri atau suami kita perlu sangka baik dan mendoakan pasangan.

"Jika kita sentiasa sangka buruk kepada pasangan, ia akan menjadikan fikiran tidak tenteram dan perlu diingatkan bahawa syaitan suka kepada keruntuhan rumah tangga," katanya.

Dr Airil berkata, kemunculan teknologi komunikasi tanpa sempadan pada hari ini sebenarnya juga amat membantu pasangan untuk melepaskan rindu antara satu sama lain dan bersama anak-anak.

"Sekarang sudah ada teknologi panggilan video seboleh-bolehnya kerap hubungan antara satu sama lain. Sebaik-baiknya setiap hari selepas waktu kerja. Tanyakan kepada isteri atau suami aktivitinya.

"Dalam masa sama bagi peluang kepada anak-anak bercakap dan melihat kita dari jauh supaya walaupun tidak dapat berjumpa dan bermesra secara fizikal, tetapi ekspresi wajah dan pergerakan menerusi panggilan video membantu mengeratkan hubungan keluarga 'PJJ'," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 7:00 AM