PASANGAN perlu bijak menangani konflik dengan mudah menjadi pemaaf dalam tempoh sentiasa bersama.
PASANGAN perlu bijak menangani konflik dengan mudah menjadi pemaaf dalam tempoh sentiasa bersama.
Hafiz Ithnin


MELAYARI media sosial dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini nampaknya begitu meriah perkongsian kisah rumah tangga dalam kalangan masyarakat negara ini.

Dari kisah 'emak-emak orang' yang mula mencuba pelbagai resipi baharu untuk dihidangkan di atas meja sehinggalah cerita si ayah yang terkulat-kulat mencari barangan dapur di pasar raya.

Dalam tempoh PKP ini sememangnya banyak waktu senggang bersama keluarga. Ditambah waktu santai si suami tidak lagi boleh melepak 'mengeteh' bersama kawan-kawan di kedai mamak dan ibu pula tidak boleh ada 'me time' pergi membeli-belah atau ke spa. Dua puluh empat jam adalah di rumah!

Pensyarah di Jabatan Pendidikan Psikologi Dan Kaunseling, Kulliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Norwati Mansor berkata, dari sudut positifnya dalam tempoh PKP itu sebenarnya dapat mengeratkan hubungan keluarga terutama membina jaringan persefahaman antara suami dan isteri yang menjadi tonggak utama kepada anak-anak.

Beliau berkata, dalam tempoh itu permainan psikologi suami dan isteri perlu bijak diatur supaya tidak berlaku konflik memandangkan bagi sesetengah pasangan waktu bersama selalu di rumah mampu wujud rasa bosan atau timbul masalah ketidakserasian.

“Perkara utama sekali bagi mengeratkan jaringan psikologi antara suami dan isteri ialah menjaga hubungan dengan agama seperti kita sentiasa solat berjemaah, membaca al-Quran sementara menunggu masuk waktu solat dan mengamalkan zikir.

“Apabila hubungan suami isteri dan agama itu dijaga pasti dapat membawa satu aura yang baik di dalam rumah tangga kerana agama adalah teras bagi kehidupan manusia. Bagi mereka yang bukan Islam mungkin boleh melakukan aktiviti meditasi atau yoga, katanya.

Pakar itu berkata, komunikasi juga memainkan peranan penting dalam hubungan suami isteri supaya kedua-dua pihak dapat memahami kehendak masing-masing.

MENJAGA hubungan dengan agama menjadi kunci utama kebahagiaan rumah tangga.
MENJAGA hubungan dengan agama menjadi kunci utama kebahagiaan rumah tangga.

Jelasnya, komunikasi terbahagi kepada dua iaitu secara langsung dan tidak langsung iaitu komunikasi langsung menerusi percakapan. Manakala, tidak langsung menerusi tingkah laku atau memek muka.

“Apabila bercakap dengan pasangan sekiranya sesuatu yang mengembirakan kita perlu seiring menunjukkan reaksi dalam tingkah laku seperti senyum atau jelingan manja kepada suami atau isteri kerana perkara itu dapat menjadikan komunikasi itu sampai.

“Selain itu, dalam tempoh sentiasa bersama ini suami dan isteri perlu mengawal percakapan supaya tidak kelihatan suka membebel kerana kerap membebel tidak kira lelaki atau perempuan boleh menyebabkan pasangan merasa bosan dan akhirnya berlaku konflik, katanya.

Dr Norwati berkata, menghargai pasangan juga antara elemen yang perlu dititikberatkan antara suami dan isteri kerana sudah menjadi lumrah manusia rasa dihargai itu mampu mewujudkan aura positif dalam perhubungan.

“Kalau kita tengok dalam tempoh PKP ini, si ayah perlu ke pasar raya membeli barang dapur dan mungkin sebelum ini jarang dilakukan. Sekiranya suami berjaya atau tidak mendapatkan barangan yang isteri mahukan jangan bertindak memperkecilkan mereka kerana ia boleh menyebabkan suami rasa tidak dihargai.

“Begitu juga dengan isteri yang mungkin sebelum ini jarang ke dapur dan baru berjinak-jinak untuk memasak, sekiranya hasil masakan itu sedap atau tidak si suami perlu memuji dedikasi isteri untuk mencuba, katanya.

Menurut Dr Norwati, memandangkan tempoh bersama di rumah dalam jangka masa yang lama risiko berlaku konflik di dalam rumah tangga sememangnya ada.

“Apabila berlaku konflik dengan pasangan kita selesaikan secepat mungkin kerana dalam tempoh PKP ini suami atau isteri tidak boleh keluar untuk mencari ketenangan diri di tempat lain.

“Jadi, cara terbaik kedua-dua perlu mendidik jiwa untuk menjadi pemaaf kerana kita tidak mahu konflik suami dan isteri sentiasa dilihat oleh anak-anak yang mudah terkesan dengan situasi itu. Maka, jangan marah lama-lama dan saling memujuk antara satu sama lain, katanya.

Tambahnya, mengingati tarikh penting dalam keluarga juga mampu menjadikan pasangan dan anak-anak rasa dihargai seperti tarikh lahir, perkahwinan atau bertunang.

“Tarikh-tarikh penting ini sebenarnya juga menunjukkan suami dan isteri amat peka detik melayari kehidupan bersama untuk diraikan atau mengucapkan kata-kata penghargaan antara satu sama lain.

“Tidak semestinya untuk mengadakan majlis sambutan besar-besaran. Cukup sebenarnya dengan memberi ucapan atau membuat majlis sambutan yang hanya terdiri daripada suami, isteri dan anak-anak. Situasi itu pasti menjadikan hubungan keluarga semakin rapat, katanya.

Tambahnya lagi, walaupun suami dan isteri hanya duduk di rumah penampilan diri juga perlu dijaga kerana lumrah manusia untuk melihat sesuatu yang cantik dan selesa.

“Jangan kerana duduk di rumah kita tidak menjaga penampilan berbanding jika keluar
ke pejabat memandangkan berhias cantik itu adalah hadiah terbaik untuk pasangan masing-masing berbanding menunjuknya kepada orang lain,” katanya.

KOMUNIKASI dua hala yang berkesan bagi mengelakkan berlakunya konflik.
KOMUNIKASI dua hala yang berkesan bagi mengelakkan berlakunya konflik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2020 @ 6:30 AM