Fairul Asmaini Mohd Pilus


BERDASARKAN laporan Malaysia National Cancer Registry 2012 - 2016, kanser serviks atau kanser pangkal rahim adalah kanser ketiga tertinggi dalam kalangan wanita di negara ini.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), jangkitan virus Human Papilomavirus (HPV) adalah faktor risiko utama penyakit kanser serviks.

Dianggarkan, sekurang-kurangnya 60 hingga 80 peratus wanita yang aktif seksual (seks bebas) akan mendapat jangkitan HPV dalam tempoh hayat mereka.

Ini kerana virus HPV boleh berjangkit dari seseorang kepada orang lain melalui sentuhan kulit dan melalui hubungan seks.

Kebanyakan wanita yang sihat akan menyingkirkan virus itu, tetapi bagi sebahagian yang lain, virus berkenaan akan berkembang dan menyebabkan kanser.

Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Kesuburan, Hospital Pakar KPJ Tawakkal KL, Dr Ahmad Murad Zainuddin berkata, pada peringkat awal, wanita yang menghidap kanser itu biasanya tidak menunjukkan sebarang tanda.

Namun, apa yang mendorong wanita segera berjumpa doktor adalah apabila mereka mengalami pendarahan ketika atau selepas hubungan seks.

"Wanita-wanita ini juga mungkin mengalami keputihan yang teruk yang amat tidak selesa dari segi rupa dan baunya selain ada juga yang mengalami pendarahan vaginal yang tidak teratur atau berpanjangan.

"Selain itu, ada juga wanita yang mengadu kesakitan atau ketidakselesaan ketika melakukan hubungan kelamin," katanya.

JIKA ada kemampuan, segera mengambil vaksin HPV dan elakkan aktiviti yang boleh mengurangkan daya tahan immuniti badan seperti menghisap rokok atau mengambil ubatan terlarang.
JIKA ada kemampuan, segera mengambil vaksin HPV dan elakkan aktiviti yang boleh mengurangkan daya tahan immuniti badan seperti menghisap rokok atau mengambil ubatan terlarang.

Menurut Dr Ahmad Murad lagi, terdapat juga gejala umum yang menunjukkan seseorang itu mungkin menghidap kanser serviks yang lebih teruk seperti penurunan berat badan secara mendadak, tiada selera makan, berasa letih, lemah dan pucat.

Sebagai langkah pencegahan, Dr Ahmad Murad menyarankan wanita supaya menjalani gaya hidup sihat seperti tidak melakukan hubungan kelamin di usia yang jauh lebih muda.

"Elakkan juga daripada terbabit dengan aktiviti seks rambang atau bertukar-tukar pasangan.

"Aktiviti yang boleh mengurangkan daya tahan imuniti badan seperti menghisap rokok atau menggunakan ubat-ubatan terlarang juga perlu dielakkan," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Murad berkata, wanita juga digalakkan untuk mengambil vaksin HPV.

JANGKITAN virus HPV adalah faktor risiko utama penyakit kanser serviks.
JANGKITAN virus HPV adalah faktor risiko utama penyakit kanser serviks.

Ini kerana, pengambilan vaksin itu jika diambil sebelum melakukan hubungan seksual, boleh mencegah jangkitan HPV yang berisiko menjadi penyebab kepada kanser pangkal rahim.

"Bagi wanita (di usia 26 hingga 45 tahun) yang sudah atau masih aktif dalam hubungan kelamin juga disarankan mengambil vaksin kerana ia mungkin dapat mencegah jangkitan semula (re-infection) HPV itu.

"Lakukan juga pemeriksaan berkala pap smear untuk mereka yang pernah melakukan hubungan kelamin antara dua hingga tiga tahun sekali.

"Ujian itu amat mudah, cepat dan tidak menyakitkan, hanya mengambil masa kurang dari lima minit sahaja," katanya.

Jelas beliau lagi, vaksin HPV itu disarankan kepada wanita yang berusia 12 hingga 26 tahun.

Namun begitu, wanita yang berusia 26 hingga 45 tahun juga adalah digalakan untuk mengambil vaksin berkenaan.

ANTARA gejala umum seseorang itu mungkin menghidap kanser serviks yang lebih teruk adalah seperti penurunan berat badan secara mendadak, tiada selera makan, berasa letih, lemah dan pucat.
ANTARA gejala umum seseorang itu mungkin menghidap kanser serviks yang lebih teruk adalah seperti penurunan berat badan secara mendadak, tiada selera makan, berasa letih, lemah dan pucat.

"Vaksin HPV antara langkah pencegahan awal dan mampu untuk membantu mengurangkan risiko dari mendapat kanser serviks.

"Vaksin itu akan mencetus reaksi immuniti tubuh badan sendiri untuk menghasilkan antibodi untuk 'membunuh' virus HPV yang ada dalam badan.

"Ini kerana tidak ada ubat yang boleh membunuh virus HPV atau merawat jangkitan HPV itu," katanya.

Dalam pada itu, vaksin HPV juga dapat membantu memberi perlindungan kepada anggota badan lain.

Ia memandangkan virus itu boleh menyebabkan beberapa jenis kanser yang lain seperti kanser dubur (anal), kanser kemaluan lelaki, kanser mulut, kanser vulva dan vagina.

"Jadi, jangan ambil ringan kerana HPV virus itu boleh menyebabkan kanser kepada wanita dan lelaki," katanya.

Sementara itu, untuk mengenal pasti sama ada seseorang itu menghidap kanser serviks atau tidak, diagnosis lengkap perlu dilakukan.

Kata Dr Ahmad Murad, doktor biasanya akan melakukan biopsi tisu untuk membuat diagnosis kanser berkenaan.

Katanya, biopsi tisu itu boleh dilakukan ketika pemeriksaa

n 'colposcopy' atau ketika pesakit membuat pemeriksaan pelvik.

Pap smear pula bukan kaedah untuk mengdiagos kanser servik, tetapi ia adalah salah satu kaedah saringan bagi mengesan kanser berkenaan.

"Justeru, nasihat saya kepada semua wanita, ambil maklum soal kesihatan dan rajin membaca, jika perlu segera membuat pemeriksaan di klinik atau hospital.

"Jangan malu untuk mendapatkan nasihat, jangan malu untuk melakukan ujian pap smear jika sudah sampai masanya.

"Apa pun, jIka ada kemampuan, segera mengambil vaksin HPV dan elakkan aktiviti yang boleh mengurangkan daya tahan immuniti badan seperti menghisap rokok atau mengambil ubatan

terlarang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 7:01 AM