DR Dalilah menunjukkan kesan kanser serviks pada tahap kritikal.
DR Dalilah menunjukkan kesan kanser serviks pada tahap kritikal.
Oleh Nor Faizah Mohamed.

[email protected].

"Hish! Cerita dalam kain jangan kongsi dengan orang lain. Memalukan diri saja." Ini kata-kata yang biasa didengar dalam kalangan masyarakat kita kala kisah mengenai masalah kesihatan di bahagian intim wanita diperkatakan.

Sejak dulu ia dianggap perkara tabu dalam kalangan kita, tetapi sama ada sedar atau tidak, si wanita yang ingin berkongsi masalah itu akan menjadi lebih terbeban hingga menyebabkannya berisiko menemui maut.

Isu kesihatan dalam kain atau kanser serviks (juga dikenali barah pangkal rahim) ini tidak sepatutnya diabaikan kerana ia boleh menyerang wanita seawal usia mencecah sembilan tahun.

Ya, kanser serviks bukan hanya menyerang golongan berusia antara 40 hingga 60 tahun, malah golongan muda makin ramai yang menghidapinya.

Menurut Ketua Klinik Saringan Kanser dan Kesihatan di Persatuan Kanser Kebangsaan (NCSM), Dr Dalilah Kamaruddin, kanser serviks ini adalah barah ketiga paling banyak menyerang wanita di negara ini.

"Di seluruh dunia, seorang wanita meninggal dunia akibat kanser serviks dalam setiap dua minit.

"Puncanya adalah kehadiran antibodi kepada virus human papillomavirus (HPV) iaitu kumpulan virus sama yang menyebabkan ketuat kelamin (genital wart), lalu membuatkan bahagian yang diserang virus itu mengalami beberapa simptom barah seperti keluar lendir daripada faraj dan pendarahan luar biasa.

"Selain kuman HPV, kanser ini juga disebabkan pelbagai faktor antaranya kurang menjaga kebersihan alat sulit, mempunyai ramai pasangan seks, memulakan hubungan seks pada usia muda dan merokok," katanya.

Tambah Dr Dalilah, semakin meningkat usia seseorang wanita, semakin tinggi risikonya diserang kanser pangkal rahim dan perlu membuat pemeriksaan dengan kerap.

"Ramai yang sanggup berhabis ribuan ringgit untuk membeli-belah, tetapi tidak ramai yang sanggup mengeluarkan perbelanjaan kecil untuk pemeriksaan kesihatan terutama ujian Pap smear dan mendapatkan suntikan vaksin HPV.

"Tiada simptom atau masalah di bahagian faraj dijadikan alasan untuk tidak memperkasakan diri daripada jangkitan penyakit ini.

"Justeru, NCSM menjadikan Januari 2015 sebagai bulan kesedaran kanser serviks bagi membolehkan lebih ramai wanita di negara ini tampil menceritakan masalah kesihatan faraj mereka tanpa rasa bimbang dan malu," katanya.

Suntikan vaksin HPV dilakukan sebanyak tiga dos dengan jangka masa selang satu ke dua bulan. Vaksin HPV bivalen (Cervarix) membantu menghalang jangkitan HPV jenis 16 dan 18 iaitu virus utama yang menyebabkan 70 peratus berlakunya kanser pangkal rahim ini.

Vaksin HPV kuadrivalen (Gardasil) pula selain membantu menghalang virus 16 dan 18, ia turut melindungi tubuh daripada virus HPV6 serta 11 iaitu 90 peratus penyebab kepada ketuat kelamin.

Sebaiknya, mencegah lebih baik daripada mengubati. Penjagaan alat sulit yang selamat dan betul amat disyorkan, selain menjalani kehidupan sihat, tidak terjebak dengan aktiviti sosial misalnya minum arak, merokok, memulakan aktiviti seksual pada usia terlalu muda dan bertukar-tukar pasangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 5:01 AM