BARAH serviks menjadi igauan ngeri (gambar hiasan).
BARAH serviks menjadi igauan ngeri (gambar hiasan).
Hafiz Ithnin


BARAH atau kanser servik sememangnya igauan ngeri kepada setiap wanita kerana ia boleh menjadi pembunuh dalam senyap.

Anggaran jumlah penduduk wanita Malaysia berusia 15 tahun dan ke atas atau dikatakan sebagai usia yang mempunyai risiko untuk mengalami kanser serviks pada tahun lalu adalah seramai 11.8 juta orang.

Turut dianggarkan bahawa setiap tahun seramai 1,740 wanita disahkan menghidap kanser serviks negara kita dan dari jumlah itu, seramai 991 meninggal dunia.

Perunding Sakit Puan dan Pakar Kesuburan Metro IVF, Dr Pravin Paraba berkata, kanser serviks adalah kanser keempat paling kerap dialami wanita di Malaysia dan kanser kedua paling kerap menyerang dalam kalangan wanita berusia antara usia 15 dan 44 tahun.

"Kira-kira 1.0 peratus wanita dalam populasi umum dianggarkan mempunyai jangkitan virus HPV-16/18 pada masa tertentu dan 88.7 peratus daripada kanser serviks invasif dikaitkan dengan Human Papillomavirus (HPV) 16 atau 18 (HPV Information Centre, 2021).

"Ini bermaksud wanita yang menghidapi HPV 16 atau 18 mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat kanser serviks jika dibandingkan dengan mereka yang tiada jangkitan berkenaan," katanya.

Jelasnya, menurut kajian, 95 peratus daripada kes kanser servik yang berlaku berpunca daripada virus HPV. Namun, virus HPV ini biasanya mengambil masa yang agak lama iaitu sekitar 10 tahun untuk menukarkan sel normal menjadi sel kanser.

Katanya, HPV ialah sejenis virus yang mempunyai lebih daripada 100 jenis dan yang paling utama menjangkiti wanita adalah jenis HPV 16 dan HPV 18.

"Wanita boleh dijangkiti HPV menerusi hubungan kelamin daripada pasangan mereka. Jangkitan HPV juga boleh disebarkan melalui hubungan kelamin tanpa perlindungan.

"Oleh sebab itu, pasangan yang pernah membuat hubungan kelamin dengan individu yang tidak diketahui statusnya perlu disaring," katanya.

Katanya, isu kesuburan dihadapi oleh hampir 15 hingga 20 peratus pasangan yang baru kahwin atau tengah menunggu kurniaan cahaya mata.

"Ketidakseimbangan hormon, gaya hidup dan keadaan psikologi turut mempengaruhi sistem reproduktif. Tambahan pula kehadiran mikroorganisma seperti bakteria, fungi, virus dan parasit turut mengubah kebolehan kesuburan lelaki serta wanita.

"Banyak kajian menunjukkan bahawa virus HPV ini adalah di antara faktor yang boleh menjejaskan kesuburan," katanya.

Pakar itu berkata, HPV turut memberi impak negatif kepada keberkesanan bantuan teknologi reproduktif (ART) seperti rawatan pemanian berhadas (IUI) dan bayi tabung uji (IVF).

"Untuk rawatan bayi tabung uji (IVF) ada kajian menunjukkan bahawa wanita yang menghadapi jangkitan HPV mempunyai kadar kehamilan yang rendah (23.5 peratus) berbanding wanita yang tidak dijangkiti virus terbabit yang biasanya dalam 40 hingga 50 peratus," katanya.

Jelasnya, untuk wanita, jangkitan HPV boleh memberi kesan kepada kesuburan dan kehamilan. HPV boleh menyebabkan pertumbuhan trofoblastik iaitu tumor yang berkembang dalam rahim menyebabkan embrio atau bakal janin tidak terbentuk selepas persenyawaan berlaku.

"Sekiranya persenyawaan berlaku, HPV juga boleh menyebabkan keguguran secara spontan kepada ibu hamil. Kepada lelaki pula, HPV yang tidak dirawat boleh mengakibatkan pencemaran air mani dan menjejaskan kualiti sperma yang dihasilkan.

"Ada kajian menunjukkan bahawa jenis HPV 6, 11, 16, 18, 31 atau 33 boleh mengubah pergerakan sperma. Selain itu, jangkitan HPV dalam air mani boleh mengurangkan bilangan sel sperma berbentuk normal dan pemecahan DNA sperma," katanya.

Tambahnya, keadaan ini menyukarkan pasangan yang mencuba untuk hamil secara semula jadi dan memerlukan rawatan bersesuaian daripada doktor pakar kesuburan.

Jelasnya, jangkitan HPV lazimnya tidak menunjukkan sebarang gejala dan akan hilang secara semula jadi dalam tempoh yang agak lama oleh itu sangat sukar untuk menentukan berapa lama seseorang telah dijangkiti.

"Namun, ia boleh menyebabkan ketuat di kawasan alat kemaluan, di bahagian punggung atau di tangan dan kaki.

"Ketuat Ia adalah sejenis ketumbuhan di sekitar kawasan zakar dan punggung. Ia boleh jadi kecil atau besar, timbul atau tenggelam atau berbentuk seperti kubis kecil (cauliflower)," katanya.

Katanya, simptom lain adalah lelehan faraj berdarah di luar masa haid, selepas menopaus atau selepas hubungan kelamin.

"Walaupun sukar untuk mengelakkan diri daripada dijangkiti HPV yang juga antara penyebab utama kanser serviks kepada wanita, namun boleh dilakukan pelbagai kaedah bagi mengurangkan risiko.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, antara rawatan dan pencegahan dalam mengekang penyebaran HPV ini seperti mendapatkan vaksinasi atau melakukan saringan pap smear secara berkala," katanya.

Tambahnya, cara terbaik untuk melawan virus HPV adalah dengan mendapatkan vaksin khusus iaitu Cevarix dan Gardasil pada wanita serta vaksin Gardasil untuk lelaki.

"Lakukan hubungan kelamin yang selamat dengan menggunakan alat kontraseptif seperti kondom. Perubahan kepada gaya hidup yang sihat mampu mengurangkan risiko jangkitan HPV yang berkemungkinan menyebabkan kanser serviks jika tidak dirawat pada peringkat awal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 7:01 AM