CARA menegur yang salah mampu memberi kesan kepada emosi kanak-kanak pada masa depan.
CARA menegur yang salah mampu memberi kesan kepada emosi kanak-kanak pada masa depan.
KAWAL nada suara supaya teguran anda tidak terlalu bersifat beremosi kepada kanak-kanak.
KAWAL nada suara supaya teguran anda tidak terlalu bersifat beremosi kepada kanak-kanak.
Hafiz Ithnin


'SAYANGKAN anak tangan-tangankan' adalah satu ungkapan yang tidak asing dalam masyarakat kita apabila bercakap mengenai isu mendidik anak.

Namun, ungkapan yang kaya dengan makna tersirat itu bukan bererti anda perlu menjadi si pembaris untuk terus memukul si kecil apabila mereka melakukan sesuatu kesalahan.

Ini kerana menghukum secara fizikal atau mental yang keterlaluan sudah semestinya memberi kesan yang besar kepada perkembangan fizikal, emosi dan tingkah laku anak anda pada masa depan.

Pastinya turut menjadi persoalan, bagaimana agaknya hendak menegur si kecil jika mereka melakukan sesuatu yang tidak kena pada pandangan anda? Adakah wajar terus mencubit atau menengking mereka untuk memberi pengajaran?

Pensyarah Kanan Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nellie Ismail berkata, tujuan menegur anak adalah untuk memberi kesedaran mengenai kesalahan yang dilakukan serta mendidik mereka untuk membezakan mana baik dan mana salah.

Beliau berkata, marah dan teguran secara keras (bukan menengking) ada kalanya perlu dalam mendidik anak, tetapi ia perlu diakhiri dengan kemaafan. Maafkan kesilapan anak dan beri peluang kepada mereka untuk memperbaiki diri.

"Namun, cara untuk menegur anak juga amat penting supaya mereka dapat menerima teguran itu dan tidak mengulangi kesalahan yang sama.

"Selain itu, cara teguran juga boleh membantu si anak menjadikan ibu bapa atau penjaga mereka sebagai suri teladan, sekali gus mendidik anak menjadi lebih positif pada masa hadapan," katanya.

Dr Nellie berkata, sebagai ibu bapa, cuba elakkan daripada menegur atau memarahi anak di hadapan orang lain atau adik-beradik.

DR NELLIE
DR NELLIE

"Keadaan ini akan membuatkan anak berasa malu. Berdasarkan kajian, perasaan malu terbentuk dalam diri kanak-kanak seawal usia dua tahun.

"Jika anak melakukan sesuatu kesilapan, bawa anak ke tempat yang jauh daripada orang dan tegur atau bercakap secara 'one-to-one' dengan mereka," katanya.

Tambahnya bercakap secara 'one-to-one' boleh memberi kesan lebih baik dari segi penerimaan teguran yang hendak disampaikan kerana si kecil dapat berasakan ibu, bapa atau penjaga menghormati perasaan malu yang dimiliki mereka.

"Jika kita hendak menegur anak di hadapan orang ramai, cuba fikirkan keadaan kita sebagai orang dewasa di tempat mereka. Bagaimana agaknya jika kita ditegur di hadapan orang lain? Adakah sebagai orang yang sudah matang kita mampu menerimanya?

"Begitu juga dengan anak-anak yang mempunyai jiwa yang amat lembut kerana mereka juga mempunyai perasaan malu apabila kita sebagai orang dewasa tidak menjaga air muka si kecil di hadapan orang ramai," katanya.

Katanya, ibu bapa perlu membentuk komunikasi dua hala bersama anak setiap kali ingin menegur mereka. Berikan ruang kepada anak untuk meluahkan perasaan dan pendapat mereka.

BERIKAN penghargaan kepada anak-anak jika mereka tidak mengulangi kesilapan sama.
BERIKAN penghargaan kepada anak-anak jika mereka tidak mengulangi kesilapan sama.

"Perkara ini secara tidak langsung akan membuatkan anak berasa lebih dihargai dan difahami. Mereka juga akan cuba untuk memahami dan menerima teguran yang diberikan oleh ibu bapa.

"Apabila berlaku komunikasi dua hala, si anak dapat berasakan hak mereka untuk menerangkan perkara yang sudah dilakukan. Selain itu, kita sebagai orang dewasa dapat memahami punca mereka melakukan sesuatu perkara itu," katanya.

Katanya lagi, kebanyakan ibu bapa pada masa kini menegur anak sambil menghadap telefon bimbit, menonton televisyen dan kadangkala hanya menjerit dari jauh.

"Teguran sebegini sebenarnya tidak akan sampai ke hati anak dan tidak berkesan kerana tiada 'eye contact' antara mereka dengan ibu bapa.

"Eye contact ketika menegur anak adalah sangat penting bagi memastikan anak memberikan perhatian kepada apa yang ingin ibu bapa katakan," katanya.

Sarannya, ketika menegur, ibu bapa perlu pastikan posisi badan direndahkan supaya mata mereka setentang dengan mata anak.

TEGURAN ‘one-to-one’ memberi kesan yang baik untuk menegur si kecil.
TEGURAN ‘one-to-one’ memberi kesan yang baik untuk menegur si kecil.

Berikan pujian kepada anak jika anak tidak lagi melakukan kesalahan selepas ditegur. Pujian juga adalah satu hadiah atau peneguhan positif kepada kanak-kanak yang akan membuatkan mereka lebih cenderung untuk berkelakuan baik.

"Selain itu, ketika marah kadangkala ibu bapa suka mengungkit kembali kesalahan yang pernah anak lakukan sebelum ini.

"Ibu bapa perlu fokus pada kesalahan anak ketika itu sahaja supaya anak akan lebih faham dan tidak keliru dengan apa yang disampaikan," katanya.

BERIKAN tumpuan kepada si anak ketika menegur.
BERIKAN tumpuan kepada si anak ketika menegur.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 6:20 AM