Nurul Husna Mahmud


SEORANG kenalan yang masih bujang mengakui dia trauma untuk berkahwin kerana tidak mahu menerima nasib yang sama seperti ibunya.

Katanya sejak di bangku sekolah rendah lagi, dia sudah melihat ibunya menjadi mangsa penderaan mental apabila sering dimaki bapanya. Dalam kalangan masyarakat, bapanya mempunyai status dihormati dan antara kepimpinan kampung yang menjadi harapan.

Namun perilaku itu langsung tidak serupa seperti ketika berada di rumah apabila kerap memarahi ibu meskipun atas kesalahan kecil. Biarpun tidak pernah naik tangan namun, kata-kata kesat keluar dari mulut membuatkan dia serta adik-beradik jauh hati dengan bapanya.

Malah dia pernah memujuk ibu untuk tinggalkan bapa kandungnya dengan harapan tidak lagi melayan makian. Selain dia, dua adik perempuannya turut mempunyai pendirian sama iaitu tidak mahu berkahwin kerana takut mendapat pasangan seperti bapa kandungnya.

Merujuk pada masalah ini tidak dinafikan penderaan boleh datang dalam pelbagai bentuk selain bentuk fizikal. Ada ketikanya kata-kata dan perlakuan seperti pengabaian ataupun reaksi muka dengan niat bertujuan menyakitkan hati atau menimbulkan provokasi kepada pasangan dikatakan salah satu jenis penderaan.

Dalam isu pasangan berkahwin, tindakan marah disertai dengan makian dan kata-kata kesat antara sering berlaku antara pasangan, namun tidak ramai melihat ia satu krisis atau isu serius seperti penderaan.

Dalam satu tinjauan pusat kesejahteraan keluarga di luar negara terhadap hampir 4,000 pasangan, mendapati lebih 96 peratus pernah menggunakan kaedah itu dengan lebih 70 peratus berniat sengaja untuk menyakiti pasangan.

Lebih menarik dalam kajian berkenaan, peratusan lebih tinggi dalam kalangan wanita iaitu kira-kira 80 peratus dengan 56 peratus dari jumlah itu pernah melakukan secara terbuka di depan umum atau orang lain.

SIKAP memaki-hamun boleh meretakkan hubungan suami isteri.
SIKAP memaki-hamun boleh meretakkan hubungan suami isteri.

Menurut Kaunselor Keluarga Hushim Salleh, masalah berkenaan pasangan gemar menggunakan pendekatan dengan mengeluarkan kata-kata kesat adalah berpunca dengan elemen rasa sombong atau meninggi diri dalam diri.

"Apabila ada isteri yang mengadu mereka takut dan rasa sedih selepas menegur suami kerana dimaki dan diherdik. Ia sebenarnya isu komunikasi yang biasa berlaku dalam rumah tangga.

"Bagi individu mempunyai sikap atau tabiat ini gemar memaki hamun atau mengeluarkan kata-kata kesat ini disebabkan mereka rasa diri 'superior' atau lebih berkuasa daripada orang lain. Ini disebabkan sifat sombong yang kita tahu itu antara punca kenapa iblis dihalau dari syurga.

KAUNSELOR atau terapi bantu ubah sikap pasangan.
KAUNSELOR atau terapi bantu ubah sikap pasangan.

"Memang orang yang mendengar terutama pasangan terpaksa memendam rasa tetapi mereka boleh tangani ia dengan komunikasi iaitu gunakan pendekatan lembut supaya si suami termakan pujukan," katanya.

Sikap atau tabiat itu sudah ada bertahun-tahun sukar diubah tetapi selaku pasangan perlu ambil inisiatif untuk menasihati dan membantu supaya dapat wujudkan suasana harmoni.

"Seperti masalah gadis berkenaan yang terdedah begitu lama dengan hubungan tidak sihat dalam perkahwinan ibu bapa menyebabkan psikologi anak berkenaan 'koyak' sehingga membentuk kepercayaan yang sukar diubah.

"Kalau tidak serius masalah maki hamun dalam kalangan pasangan, tidaklah anak gadis berkenaan sanggup membujang sampai ke tua kerana takut dapat pasangan seperti bapa mereka," katanya.

Tambah Hushim lagi, dalam kes pasangan yang bermasalah terutama berdepan isu krisis komunikasi, kebanyakan pasangan sudah menghadapi masalah berkenaan seawal dua tahun dalam perkahwinan.

PENDEKATAN agama iaitu solat berjemaah antara disarankan untuk wujudkan sinergi harmoni.
PENDEKATAN agama iaitu solat berjemaah antara disarankan untuk wujudkan sinergi harmoni.

"Kebanyakan pasangan yang bertemu dan mengadu masalah rumah tangga ialah rata-rata berkahwin bawah lima tahun. Mereka tidak berkomunikasi dan sebaliknya lebih suka bercakap dengan gajet masing-masing.

"Jadi, itu boleh cetuskan provokasi yang mana si isteri berasakan suami sudah berubah dan ada orang ketiga. Lama-kelamaan ia jadi kata-mengata, tuduh-menuduh dan akhirnya makian atau kata-kata kesat kerana emosi.

"Pada saya sebenarnya baik isteri ataupun suami sendiri yang memiliki pasangan gemar maki hamun ini seharusnya berusaha menegur pasangan dengan kaedah memujuk atau rasionalkan mereka supaya melihat betapa buruknya kesan tabiat itu.

"Banyakkan berbincang dan cuba kekalkan nada suara lembut. Wanita dianugerahkan kelebihan iaitu dengan sentuhan dan lirikan manja untuk buat pasangan mereka 'cair' atau berlembut dengan mereka, gunakanlah kelebihan itu," katanya.

ANAK-anak trauma jika persekitaran dalam rumah tangga tidak baik.
ANAK-anak trauma jika persekitaran dalam rumah tangga tidak baik.

Saranan beliau, selain rendahkan nada suara dan lembutkan intonansi, mulakan dengan mohon maaf serta lafazkan perkataan sayang di permulaan teguran untuk bantu tenangkan pasangan.

Kata beliau lagi, bertemu kaunselor keluarga juga langkah perlu diambil pasangan jika berasakan konflik atau sikap pasangan gemar maki hamun tiada kesudahan baik. Elak merujuk pada individu yang salah kerana itu memburukkan lagi hubungan suami dan isteri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 7:00 AM