SENTUHAN anak dan ibu bapa penting untuk psikologi.
SENTUHAN anak dan ibu bapa penting untuk psikologi.
Hafiz Ithnin

"Anak bujang (lelaki) sekarang ini bukan sahaja tak mahu di cium pipi, kalau peluk depan kawan-kawan, pun dia tak nak.

"Kalau boleh sebelum sampai depan kolej, awal-awal dah beritahu, mama kalau nak cium pipi sekarang, nanti kawan ingat 'I am still baby boy!," kata kawan penulis sambil berborak kosong perihal anak sulungnya yang baru menginjak 18 tahun.

"Habis itu, kalau dekat rumah dia masih manja ke macam budak-budak?," soal penulis.

"Dekat rumah, dia punya manja mengalahkan baby! Tapi dekat luar, dia rasa tak 'cool' sebab katanya kawan-kawan akan jadikan bahan lawak dekat kolej.

"I bukan apa, pernah baca, sebagai ibu bapa untuk eratkan hubungan dengan anak kena perlu banyakkan sentuhan, seperti peluk dan cium pipi atau dahi. Supaya anak kita rasa tidak jauh. Tapi itulah, apabila sudah bujang ini, dia punya malu tak boleh bincang!," tambah rakan penulis.

KEADAAN anak yang manja di rumah berbanding di luar rumah adalah perkara biasa berlaku.
KEADAAN anak yang manja di rumah berbanding di luar rumah adalah perkara biasa berlaku.

Justeru, daripada perbualan kosong itu, penulis mendapatkan pandangan daripada Pengamal Pendidikan Kanak-kanak, Dr Putri Afzan Maria Zulkifli mengenai isu berkenaan.

Kata Dr Putri Afzan Maria, perkara ini sangat menarik kerana ada komunikasi yang kurang jelas sedang berlaku, kelihatan si anak menyedari dua konteks persekitaran berbeza, apabila bersama ibu bapa dan apabila bersama rakan-rakan sebaya.

"Perkara ini apabila sampai waktunya, pasti akan berlaku kerana anak mula menyedari bahawa mereka makin membesar, maka ada sesetengah perkara yang perlu disesuaikan dalam konteks yang berbeza.

"Perkara ini yang dikatakan si anak mula menyedari mereka bukan lagi anak kecil, dan perlunya bijak membawa diri dan peka dengan persekitaran. Jadi, kita tidak boleh merasakan si anak ini 'berdrama' tetapi mereka sebenarnya dalam proses peralihan ke arah kedewasaan, yang memerlukan lebih banyak sifat kematangan. Tetapi, ini tidak bermakna ibu bapa tidak boleh cium pipi atau peluk anak," katanya.

BELAIAN ibu dan bapa kepada anak penting untuk kebaikan psikologi.
BELAIAN ibu dan bapa kepada anak penting untuk kebaikan psikologi.

Dr Putri Afzan Maria berkata, dalam konteks usia begini, ibu bapa perlu menjadi golongan yang peka dengan tranformasi jiwa anak-anak dari usia kanak-kanak ke remaja.

Malah, perlu bijak menyesuaikan layanan pada anak bergantung pada persekitaran supaya tidak berlaku salah persepsi, tetapi masih menyantuni elemen kekeluargaan itu. Anak juga perlu bersedia untuk berhadapan dunia luar dengan pemikiran yang lebih matang.

"Sentuhan kasih sayang ibu bapa kepada anak-anak itu seharusnya berlaku setiap hari dari segi kita mencium pipi atau dahi mereka atau memberikan pelukan mesra kerana sentuhan ibu bapa kepada anak-anak boleh memberi kesan yang baik kepada psikologi mereka.

"Kulit antara organ deria terbesar dan apabila disentuh dan dibelai dengan kasih sayang, akan mengaktifkan oksitoksin, juga dikenali sebagai 'cuddle hormone' oleh saintis, memberi kesan positif seperti mengurangkan stess, meningkatkan kebahagiaan, mengurangkan rasa takut sekali gus menjadikan psikologi anak-anak lebih baik untuk usia selepas proses perkembangan otak sekitar 25 tahun," katanya.

PELUKLAH ibu dan bapa anda selagi mereka masih ada.
PELUKLAH ibu dan bapa anda selagi mereka masih ada.

Katanya, ibu bapa perlu memahami jiwa anak-anak remaja tidak lagi sama ketika mereka berada pada usia kanak-kanak kerana dalam fasa ini si anak mula mencari identiti diri.

Jelasnya, ibu bapa tidak perlu merasa kecil hati atau marah kerana transformasi sikap si anak yang tidak mahu dilayan seperti mereka berada di tadika atau di sekolah rendah kerana ketika kanak-kanak, jiwa si kecil lebih cenderung untuk menonjolkan diri mereka dalam keadaan dilindungi.

"Apabila berada di peringkat remaja, mereka ingin mencari identiti diri dan ketika ini ibu bapa perlu menjadi rakan paling rapat untuk memastikan kita menjadi tempat rujukan paling selesa si anak untuk bercerita atau meluahkan perasaan," katanya.

Dr Putri Afzan Maria berkata, jika si anak merasa tidak selesa dengan pelukan atau ciuman di hadapan khalayak, ibu bapa tidak perlu mengambil hati tetapi memahami keadaan mereka yang sebenarnya dalam proses memahami penyesuaian diri di dunia luar.

ANAK remaja perlu difahami perubahan karektor mereka.
ANAK remaja perlu difahami perubahan karektor mereka.

"Jika si anak sudah mula memberitahu, tidak mahu dipeluk atau dicium di hadapan rakan, seboleh yang mungkin, hormati permintaan mereka itu untuk mengelakkan anak merasa tidak selesa. Sebaliknya, berikan sokongan positif dan cuba untuk tidak melakukannya di khalayak.

"Tidak salah untuk memeluk dan mencium mereka sebelum keluar rumah kerana dalam keadaan ini, si anak akan merasakan jiwa mereka difahami ibu bapa," katanya.

Katanya, si anak dan ibu bapa perlu saling menghormati dan paling penting merasa bersyukur kerana mereka masih mempunyai ibu bapa yang boleh memberikan sentuhan kasih sayang berbanding rakan-rakan sebaya yang mungkin sudah tidak mempunyai ibu bapa.

"Sentuhan kasih sayang ibu bapa secara saintifiknya memberi kesan yang baik kepada otak manusia kerana ia boleh membantu mengurangkan rasa stress atau sakit, merasa selamat dan dilindungi walaupun mereka sudah menjengah ke usia dewasa," katanya.

PERASAAN malu anak remaja ketika di luar rumah menunjukkan mereka dalam proses memahami persekitaran sosial.
PERASAAN malu anak remaja ketika di luar rumah menunjukkan mereka dalam proses memahami persekitaran sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2020 @ 6:28 AM