KOMUNIKASI skil sangat penting apabila dengan pasangan. - FOTO Google
KOMUNIKASI skil sangat penting apabila dengan pasangan. - FOTO Google
Nurul Husna Mahmud


PERKONGSIAN satu kisah dalam portal mengenai punca penceraian seorang lelaki dengan bekas isterinya kerana tidak mahu dituduh 'dayus' antara yang menarik perhatian warganet.

Lelaki itu dikatakan enggan dilabel sebagai 'dayus' kerana sikap bekas isteri yang gemar mengungkit mengenai pendapatan dan jawatannya lebih rendah setiap kali dia menegur bekas isteri itu.

Dia mendakwa kelakukan bekas isterinya yang gemar keluar bersama teman dan jarang menghabiskan waktu bersama keluarga selepas kerajaan mengumumkan kebenaran melakukan aktiviti sosial dan makan di luar, baru-baru ini.

Selain itu, sikap bekas isteri yang suka merendah-rendahkan pekerjaannya yang dilakukan selama ini demi menyara keluarga menyebabkan lelaki itu 'terusik' dan enggan meneruskan perkahwinan.

Dia juga mengakui kehidupan selesa dinikmati sebelum ini bersama keluarga iaitu tinggal di rumah teres dan memiliki kereta import adalah hasil daripada pendapatan bekas isteri yang juga eksekutif kanan di sebuah syarikat.

Namun, dia tidak culas memberi nafkah mengikut kemampuan, tetapi apabila berniat untuk menegur, bekas isteri bukan sahaja tidak dapat menerima teguran, malah mempertikaikan kedudukannya sebagai ketua keluarga.

Merujuk situasi itu, kata kaunselor keluarga, Hushim Salleh isu jurang pendapatan suami dan isteri adalah kes klasik bagi pasangan yang mengalami masalah rumah tangga.

Tidak dinafikan dengan keadaan semasa yang mana wanita kini memiliki latar belakang pendidikan dan pekerjaan lebih berjaya serta stabil berbanding suami menyebabkan wanita tidak kisah berpisah dengan pasangan.

"Sebenarnya masalah perbezaan dua darjat atau si suami yang memiliki gaji atau pangkat lebih rendah berbanding isteri adalah masalah yang biasa diadukan pasangan yang menemui saya.

"Sebenarnya boleh dikatakan 80 peratus mereka yang datang untuk dapatkan kaunseling bagi menyelamatkan rumah tangga dan berhasrat menceraikan pasangan tidak pernah mengambil serius membincangkan konflik itu di awal perkahwinan mereka.

TEGURAN dengan kaedah memujuk mudah diterima. - FOTO Google
TEGURAN dengan kaedah memujuk mudah diterima. - FOTO Google

ISTERI masa kini memiliki kerjaya lebih stabil. - FOTO Google
ISTERI masa kini memiliki kerjaya lebih stabil. - FOTO Google

"Selepas perkahwinan masuk tahun kelima, tahun ke 10 dan ada yang sampai 30 tahun, tapi masih bergelut dengan isu terbabit baru mula meluahkan hal itu kepada pasangan masing-masing.

"Lebih memburukkan lagi apabila ada campur tangan 'orang ketiga' iaitu keluarga dan kenalan menyebabkan ia menjadi bertambah parah dan konflik itu sukar lagi dirasionalkan," katanya.

Kata Hushim, hal itu tidak sewajarnya timbul kerana pasangan menyedari kelebihan dan kekurangan diri masing-masing ketika sebelum kahwin lagi.

"Bukan isu suami gaji kecil atau isteri berjawatan besar. Sebaliknya ia berbalik kepada peranan masing-masing terutama suami sebagai ketua keluarga.

"Wanita sebenarnya mudah bertolak ansur asalkan suaminya bertanggungjawab dan bijak mengetuai keluarga," katanya.

Selain itu, kapasiti suami dalam menyemai 'roh' atau persekitaran yang beragama juga menjadi karakter penting dalam memimpin keluarga.

"Suami mudah 'melenturkan' isteri apabila dalam rutin atau kehidupan sehariannya berteraskan apa yang dituntut agama.

"Jika dia menghidupkan solat jemaah bersama keluarga, itu menjadi mudah bagi si suami menegur isteri kerana biasanya selepas solat ada ruang untuk muhasabah atau tazkirah," katanya.

Tambah Hushim, dalam kebanyakan kes sedemikian beliau sering berkongsi teknik komunikasi yang mampu memikat dan memujuk isteri bagi individu memiliki pasangan yang lebih berjaya daripada dirinya (suami).

"Saya selalu ingatkan kepada suami yang mempunyai pasangan jauh lebih berpangkat atau memiliki pendapatan lebih tinggi memperkemaskan kemahiran komunikasi mereka.

"Isteri adalah wanita dan segi naluri semula jadinya lembut. Kaedah terbaik ialah dengan menuturkan sesuatu yang paling lembut baik segi bahasa dan nada untuk menegur.

SESI kaunseling bantu rasionalkan suami dalam keadaan tertekan. - FOTO Google
SESI kaunseling bantu rasionalkan suami dalam keadaan tertekan. - FOTO Google

"Gunakan pendekatan memujuk dan gunakan ayat yang dalam sopan kerana emosi wanita mudah tercalar," katanya.

Katanya lagi, wanita ini juga perlu dihargai dan 'ringankan' mulut untuk ucapkan terima kasih selain cari inisiatif untuk buat isteri gembira.

"Wanita sekarang bukan materialistik kerana mereka lebih dari mampu. Sebenarnya mereka mengharapkan suami memuji dan menghargai mereka.

"Mereka yang berjawatan tinggi biasanya tidak lokek dan tidak kisah dengan wang ringgit sebaliknya mahu dilayani serta dihargai dengan kata-kata sayang serta kasihkan mereka," katanya.

Katanya, hal itu boleh dilakukan dengan kaedah membantu menguruskan kerja rumah dan anak-anak.

"Isteri apabila memegang jawatan tinggi bermakna tugasnya cukup berat dan mempunyai kerja yang banyak sepadan dengan gajinya.

"Suami yang memahami seharusnya faham tekanan mereka. Tidak salahnya dengan membantu isteri melakukan kerja rumah selain uruskan anak-anak sementara isteri sibuk dengan kerjayanya.

"Bukan hanya mengkritik sebaliknya berikan ruang dia berehat atau memiliki masa untuk diri sendiri supaya boleh rasional sebaik menerima teguran," katanya.

Beliau turut menyarankan suami yang mempunyai konflik atau bersikap 'inferior' boleh mendapatkan bantuan termasuk menemui kaunselor.

"Bagi suami yang mengalami krisis 'inferior' iaitu sukar untuk tangani masalah keyakinan diri kerana pasangan memiliki kerjaya yang lebih stabil, dia kena dapatkan kaunseling.

"Ini turut membantu dia merasionalkan fikiran dan mengatur perlakuan ketika berdepan pasangan yang ego dan sebagainya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 7:00 AM