Yusliza Yakimir Abd Talib

Pasti ramai pernah mendengar pelbagai petua tradisional untuk mengurangkan masalah kuning pada bayi baru lahir.

Antara yang menjadi ikutan termasuk pemberian susu kambing kepada bayi selain menjemur bayi di sudut rumah yang dimasuki sedikit cahaya matahari serta menyapu atau memandikan bayi dengan herba.

Bagaimanapun, tahukah anda ia mungkin boleh menyebabkan keadaan lebih memudaratkan, malah mungkin mendatangkan risiko lain kepada bayi terbabit?

Perunding Pediatrik dan Pakar Laktasi Pusat Rawatan Pakar Kanak-kanak Johor Bahru Dr Hairin Anisa Tajuddin berkata, penyakit kuning atau jaundis neonatal biasanya menyerang bayi pada minggu pertama kelahirannya.

Menurutnya, ini disebabkan sel darah merah bayi yang mengandungi fetal hemoglobin (HbF) mengalami pemecahan secara semula jadi iaitu hemolisis. Pemecahan ini mengeluarkan pigmen berwarna kuning yang dipanggil bilirubin.

Katanya, HbF dihasilkan dan diperlukan bayi ketika dalam kandungan ibu. Selepas dilahirkan HbF tidak lagi diperlukan dan diganti dengan hemoglobin A (HbA) atau hemoglobin dewasa yang berfungsi membawa dan melepaskan oksigen dengan lebih baik berbanding HbF.

“HbF yang asalnya daripada kandungan ibu ini perlu dipecahkan, jadi ke mana proses atau pemecahan ini berlaku? Proses ini dipanggil metabolisme bilirubin.

“Proses metabolisme bilirubin seterusnya berlaku dalam hati dan disimpan sebagai garam hempedu di dalam pundi hempedu lalu dibuang melalui najis.

“Dalam proses ini, kandungan lemak dalam susu ibu amat penting dalam metabolisme bilirubin. Pencernaan lemak memerlukan garam hempedu yang berwarna kuning atau hijau, maka susu yang berwarna putih masuk dalam usus bayi akan bercampur dengan garam hempedu itu menyebabkan pencernaan susu menghasilkan najis kuning atau hijau.

“Sebab itu warna kuning pada najis bayi sangat penting. Jika najis berwarna pucat atau kelabu, bermakna ada sesuatu yang mungkin berlaku antaranya masalah hempedu tersumbat atau biliari atresia.

“Dalam keadaan ini, najis yang pucat atau kelabu terhasil kerana bilirubin tidak turun (ke usus) untuk mencernakan lemak dalam susu ibu menyebabkan berat bayi juga tidak akan bertambah,” katanya.

BAYI kuning normal jika berlaku dalam tempoh tertentu.
BAYI kuning normal jika berlaku dalam tempoh tertentu.

Pentingnya teknik penyusuan betul

Menurut Dr Hairin, lebih 80 peratus bayi mengalami jaundis fisiologikal dan ia tidak melebihi 15 atau 16 miligram per dilileter.

Tambahnya, teknik penyusuan yang tidak betul akan menyebabkan bayi kurang mendapat susu. Maka dia menerima kurang lemak dan tenaga yang akan menyebabkan jaundis fisiologikal ini bertambah teruk.

Kajian mendapati ibu yang tidak menyusukan bayi dengan teknik yang betul menyebabkan berat badan bayi tidak bertambah selepas dilahirkan.

Ini kerana katanya, apabila bayi kurang menyusu maka kurang lemak yang masuk dalam badannya. Akhirnya bilirubin tidak dapat dibuang melalui najis dan menyebabkan jaundis bertambah teruk.

“Sama ada diberikan rawatan fototerapi atau tidak sebenarnya bergantung kepada paras bilirubin dalam darah mengikut carta yang disediakan.

“Fototerapi bertujuan meningkatkan pembuangan bilirubin daripada darah. Jika kadar bilirubin dalam darah masih tinggi, maka rawatan terakhir yang perlu dilakukan adalah penukaran darah,” katanya.

Menurutnya, ada beberapa jenis jaundis yang boleh berlaku kepada bayi antaranya jaundis penyusuan. Apabila bayi tidak menyusu dengan teknik yang betul, ia akan menyebabkan bayi kurang mendapat susu begitu juga lemak sebagai tenaga.

Katanya, tanda bayi kekurangan susu adalah kencingnya kurang daripada enam kali sehari dan kehilangan berat 10 peratus berbanding berat lahir.

Jaundis patologikal pula ialah keadaan kuning yang berlaku kurang 24 jam selepas bayi dilahirkan, atau melebihi 14 hari (bayi matang) atau 21 hari (bayi pramatang).

Beliau berkata, meskipun jaundis agak normal berlaku pada bayi, tanda serius yang perlu diambil perhatian ialah apabila najis berwarna pucat atau bilirubin bertambah dengan cepat.

RAWATAN fototerapi diperlukan sekiranya paras bilirubin dalam darah bayi tidak berkurang.
RAWATAN fototerapi diperlukan sekiranya paras bilirubin dalam darah bayi tidak berkurang.

Mitos

Antara mitos yang tidak boleh dipercayai bagi merawat jaundis bayi antaranya:

• Memberi bayi susu kambing

• Memberi air kepada bayi

• Memberi bayi jus anggur atau madu asli

• Pendedahan kepada cahaya matahari

• Menyapu herba tertentu pada kulit bayi

• Mengelakkan herba, halia dan kunyit yang terkandung dalam makanan ibu

• Berhenti menyusu badan sehari ke dua hari untuk mengurangkan jaundis penyusuan

Dr Hairin berkata, walaupun susu kambing itu baik, tetapi ia tidak sesuai untuk bayi di bawah 12 bulan kerana mengandungi protein yang tinggi menyebabkan peningkatan asid urik dan darah bayi berasid.

Malah, katanya, susu formula yang berasaskan susu kambing juga tidak sesuai kerana urea akan menjadi tinggi, folat menjadi rendah dan ia juga boleh menyebabkan alahan pada bayi.

“Pemberian cecair atau makanan selain susu ibu di bawah enam bulan tidak digalakkan kerana ia menyebabkan kemabukan air iaitu pencairan garam sodium dalam darah yang akhirnya boleh mencetuskan serangan sawan pada bayi.

“Pemberian makanan dan minuman selain susu ibu akan membuatkan bayi berasa kenyang dan kurang menyusu secara terus daripada payudara ibu. Tanpa permintaan, lama-kelamaan penghasilan susu ibu akan berkurangan.

“Tindakan mendedahkan bayi kepada cahaya matahari selepas jam 9 pagi hanya akan meningkatkan risiko kanser kulit kepada bayi itu pada suatu masa nanti,” katanya.

Katanya, kajian juga menunjukkan tiada kaitan antara penyusuan susu ibu dengan peningkatan bilirubin dalam darah bayi jika ibu menyusukan bayi dengan teknik yang betul

Sebaliknya, teknik penyusuan susu ibu yang betul mengurangkan risiko jaundis yang tinggi dan berat bayi meningkat dengan baik.

Nasihatnya, bagi mengurangkan risiko tinggi terhadap bayi, ibu perlu menyusukan bayi dengan teknik dan pegangan yang betul bagi menggalakkan penghisapan efektif oleh bayi kerana ia akan merangsang pertambahan berat badan dalam julat sepatutnya.

Tanda bahaya jaundis

• Kulit bayi kelihatan kuning terutama di kawasan paha atau kaki.

• Bayi tidak aktif, kurang menyusu atau kurang kencing (kurang enam kali sehari)

• Bayi asyik merengek, menangis dengan suara nyaring

• Najis bayi kelihatan kelabu pucat (najis bayi biasanya berwarna kuning)

• Bayi yang mendapat jaundis berterusan melebihi dua minggu perlu mendapat pemeriksaan segera kerana bayi mungkin mempunyai masalah berkaitan hati, kekurangan hormon tiroid (boleh menyebabkan kecacatan otak jika lewat dirawat) atau jangkitan kuman.

Pilihan rawatan

• Dirawat dengan terapi lampu khas biru (fototerapi) yang terbukti berkesan menurunkan kandungan bilirubin darah.

• Bayi tidak boleh diletakkan di bawah sinaran matahari kerana cara ini tidak selamat dan boleh membahayakan kesihatan bayi.

• Cahaya matahari tidak sesuai untuk bayi dan boleh menyebabkan komplikasi seperti selaran matahari dan dehidrasi.

• Rawatan dengan susu kambing juga tidak sesuai dan tidak mempunyai bukti saintifik berkesan.

• Penyusuan ibu mencukupi antara lapan hingga 12 kali mengurangkan kandungan bilirubin dalam darah bayi dan memastikan bayi sihat dan cukup zat makanan.

• Jaundis mudah dirawat, tetapi jika tahap jaundis tinggi boleh membawa komplikasi buruk seperti gangguan otak, masalah pembelajaran dan membahayakan nyawa bayi itu sendiri.

• Ibu yang mempunyai masalah penyusuan boleh mendapat bantuan nasihat doktor dan kumpulan sokongan penyusuan ibu.

• Segera dapatkan rawatan jika keadaan jaundis bayi berlarutan.

TERAPI lampu khas biru (fototerapi).
TERAPI lampu khas biru (fototerapi).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 12:12 AM