IBU digalakkan memberi susu sehingga anak berusia dua tahun.
IBU digalakkan memberi susu sehingga anak berusia dua tahun.
Muhamaad Razis Ismail


BERDASARKAN kajian yang dijalankan, untuk mendapatkan segala kebaikan penyusuan susu ibu, anda digalakkan memberi susu sepenuhnya sehingga bayi berusia enam bulan dan diteruskan sehingga dua tahun.

Selepas melepasi tempoh penyusuan itu, ibu yang menyusu digalakkan bercerai susu dan menumpukan kepada pemakanan seimbang anak selepas dua tahun.

Bagaimanapun, diakui bahawa proses cerai susu bukan perkara yang mudah kerana ia memerlukan persediaan fizikal dan emosi antara ibu serta anak.

Kaunselor laktasi bertauliah, Nurun Nadia Masrom berkata, menyusukan anak dianggap sebagai proses semula jadi untuk si ibu sehingga mewujudkan hubungan akrab antara meraka.

Katanya, ada sesetengah ibu yang tidak bersedia melalui proses cerai susu kerana perlu berpisah hubungan penyusuan dengan bayi.

"Bercerai susu diakui tidak mudah, tetapi boleh dilakukan jika ibu melakukan persiapan lebih awal kerana proses ini sangat mencabar dari aspek emosi dan fizikal.

"Oleh itu, setiap ibu yang bercadang melakukan proses bercerai susu perlu memulakan langkah berhemah supaya emosi anak tidak tercalar dan tangki emosinya dipenuhi kasih sayang," katanya.

Jelasnya, dia sendiri pernah berdepan pengalaman menyedihkan ketika proses bercerai susu dengan anak kedua kerana sejarah kehilangan anak pertama.

"Pada ketika itu saya tekad meneruskan penyusuan selama mungkin bagi anak kedua sehingga agak sukar untuk bercerai susu dengannya sehingga dia berusia empat tahun.

"Kesukaran dari pengalaman pertama itu saya ambil sebagai pengajaran untuk saya perbaiki proses bercerai susu dengan anak ketiga dengan melakukannya lebih awal iaitu ketika berusia dua tahun tiga bulan dan saya berjaya berbuat demikian (cerai susu) enam bulan kemudian," katanya.

Tidak dinafikan sokongan suami amat penting untuk menjayakan proses bercerai susu antara ibu dan anak.

Nurun Nadia berkata, suami yang tidak sabar melihat kerenah anak yang mungkin meragam, mencari-cari ibunya atau menangis dan memaksa isteri supaya kasihan kepada anak yang ingin dilatih bercerai susu, maka ia mungkin akan menggagalkan proses bercerai susu ini.

NURUN Nadia aktif berkongsi ilmu berkenaan penyusuan ibu.
NURUN Nadia aktif berkongsi ilmu berkenaan penyusuan ibu.

Katanya, sokongan kepada isteri yang ingin bercerai susu amat penting supaya dia terus tabah tanpa rasa serba salah.

"Antara langkah yang boleh diambil suami adalah bantu mengambil alih menjaga anak ketika anak ingin menyusu bersama ibu dan sediakan makanan digemari anak.

"Selain itu, suami boleh melayani kerenah anak yang mungkin menangis dengan penuh sabar dan memberikan 'layanan' aktiviti yang menyeronokkan.

"Pada masa sama, suami boleh memberi ganjaran kepada isteri yang berjaya menyusukan bayi sehingga dua tahun dan bercerai susu selepas mencapai tempohnya," katanya.

Jelasnya, secara purata, apabila proses bercerai susu berlaku, si ibu akan melalui situasi bengkak susu jika tidak diuruskan dengan baik.

SUAMI perlu memainkan peranan membantu ketika proses bercerai susu.
SUAMI perlu memainkan peranan membantu ketika proses bercerai susu.

Beliau turut berkongsi beberapa langkah yang boleh diambil si ibu untuk mengurangkan risiko bengkak susu:

1. Mengurangkan sesi penyusuan dan sesi perahan dengan pam

Langkah ini tidak begitu sukar kerana apabila bayi diperkenalkan dengan makanan pejal, jumlah sesi penyusuan bersama bayi sudah berkurang. Bayi yang berusia setahun ke atas memerlukan pengambilan makanan yang lebih tinggi berbanding jumlah susu dalam sehari. Mak, proses pengurangan ini sudah pun mula dilakukan secara perlahan-lahan. Untuk ibu bekerja pula, boleh mengurangkan sesi perahan secara berkala. Sekiranya ketidakselesaan berlaku, ibu boleh lakukan teknik perahan tangan dan demahan di payudara.

2. Penuhkan tangki emosi anak

Bercerai susu adalah proses yang agak berat bagi seorang anak. Jadi, ibu perlu memastikan anak mereka tidak rasa kurang perhatian dan kasih sayang setiap kali minta disusukan. Memaksa anak tidak menyusu seperti memarahi, meletak kunyit atau kopi di puting payudara atau memulaukannya hanya akan lebih menjejaskan emosi anak itu dalam jangka panjang.

Maka permintaan anak untuk disusukan boleh digantikan dengan aktiviti yang menyeronokkan. Jika anak ada masalah tidur dengan hanya menyusu dengan ibu, perlu diubah tabiat tidur anak ini dan rutin tidur tanpa menyusu perlu dilatih sebaiknya.

3. Alihkan perhatian anak

Mengalihkan perhatian anak setiap kali ingin menyusu dapat membantu anak lupa seketika permintaannya untuk menyusu. Pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan seperti makan bersama, membaca buku sebelum tidur atau aktiviti bercerita.

4. Konsisten

Ibu yang ingin bercerai susu perlu konsisten dalam melakukan proses berkenaan. Sekiranya ibu tidak konsisten dan cepat mengalah, maka proses bercerai susu menjadi lebih sukar.

5. Berdoa dan sabar

Sentiasa berdoa supaya diberi kekuatan dan dipermudahkan urusan untuk situasi bercerai susu. Perlu diketahui, proses bercerai susu ini mungkin berlarutan sehingga beberapa minggu dan ada yang mengambil masa beberapa bulan. Jadi, ibu perlu lebih bersedia dan banyakkan bersabar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 7:00 AM