IKAN digoreng dengan baik memberi ‘visual’ menyelerakan.
IKAN digoreng dengan baik memberi ‘visual’ menyelerakan.
Nurul Husna Mahmud

Juadah ikan goreng apabila dinikmati bersama nasi panas atau hidangan ringkas cukup menyelerakan. Situasi menikmati hidangan ikan goreng boleh terjejas jika 'visualnya' kurang menarik.

Keadaan itu berpunca daripada ikan goreng yang melekat pada permukaan kuali. Pengalaman mencuci permukaan kuali yang mempunyai kulit atau isi ikan yang melekat juga bukanlah tugasan mudah. Kuali juga perlu direndam terlebih dahulu.

Justeru, beberapa tip diperoleh menerusi perkongsian komuniti suri rumah di laman sosial boleh digunakan pembaca bagi mengelakkan ikan digoreng melekat pada permukaan kuali.

Kaedah paling mudah dan ringkas ialah bermula dengan memastikan kuali digunakan dibasuh dengan elok dan dikeringkan sebaiknya. Gunakan penggosok periuk yang sesuai bagi menyingkirkan kotoran melekat dan boleh menjadi punca ikan sukar digoreng.

Sebelum menggoreng ikan juga perlu pastikan kuali dipanaskan terlebih dahulu. Masukkan minyak dan tunggu ia benar-benar panas sebelum memasukkan ikan.

TEPUNG beras bersalut digoreng boleh mengurangkan risiko ikan melekat pada permukaan kuali.
TEPUNG beras bersalut digoreng boleh mengurangkan risiko ikan melekat pada permukaan kuali.

Kaedah kedua yang banyak diamalkan ialah menggunakan asam keping. Ketika memanaskan minyak untuk menggoreng, letakkan satu atau dua keping asam keping ke dalam kuali, kemudian barulah masukkan ikan.

Kaedah ketiga ialah menggunakan tepung beras. Ada dua kaedah menggunakan tepung beras iaitu salah satunya dalam ramuan perapan garam dan kunyit untuk ikan.

Biarkan tepung beras itu disalut pada permukaan ikan seperti mana menggoreng pisang. Biarkan seketika perapan itu dan barulah ikan tadi digoreng. Hasilnya, ikan menjadi lebih garing dan mudah dipindah ke pinggan.

Cara lain menggunakan tepung beras ialah seperti asam keping, taburkan satu atau dua sudu tepung beras ke dalam minyak yang panas sebelum ikan digoreng.

Kaedah terakhir ialah penggunaan kulit bawang. Kulit bawang digoreng dalam kuali bersama ikan. Semua kaedah dinyatakan di atas boleh digunakan pada gorengan ayam, sotong atau udang.

ASAM keping antara petua orang dulu-dulu.
ASAM keping antara petua orang dulu-dulu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 6:25 AM