PASTIKAN minyak masak tidak digunakan berulang kali.
PASTIKAN minyak masak tidak digunakan berulang kali.
Muhamaad Razis Ismail


PENINGKATAN kes pandemik Covid-19 di negara ini mengubah gaya hidup masyarakat kepada norma baharu.

Berbanding sebelum ini, lebih ramai cenderung untuk berada di rumah bagi mengurangkan risiko terkena jangkitan pandemik yang cukup berbahaya ini.

Perubahan gaya hidup ini mendorong lebih ramai menyediakan sendiri makanan di rumah. Jadi, tidak hairan ramai yang berkongsi masakan sama ada jadi atau sebaliknya di media sosial untuk dicuba pada setiap hari.

Secara positifnya selain menjimatkan wang dan mengurangkan waktu berada di luar rumah, masyarakat dapat menikmati makanan lebih sihat.

Bagaimanapun dalam keghairahan memasak, ramai yang terlepas pandang mengenai penggunaan minyak masak yang betul.

Kaedah penggunaan minyak masak yang betul amat penting bagi memastikan bukan sahaja menghasilkan makanan yang sedap, tetapi selamat untuk kesihatan.

Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Pengkhususan di Jabatan Pengurusan Perkhidmatan Makanan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Norhidayah Abdullah berkata, secara purata masyarakat di negara ini menggunakan sekurang-kurangnya dua kilogram minyak sebulan bagi setiap isi rumah.

Katanya, jumlah penggunaan minyak sebenarnya lebih tinggi memandangkan sebahagian besar bekerja di rumah disebabkan pandemik Covid-19.

MINYAK masak berbuih tidak sesuai digunakan.
MINYAK masak berbuih tidak sesuai digunakan.

"Berdasarkan pemerhatian, masyarakat bukan sahaja menggunakan minyak masak untuk menggoreng, menumis bahkan sebagai bahan pelembut dalam produk bakeri dan kek.

"Bagaimanapun, penggunaan minyak bagi tujuan menggoreng masih kekal sebagai kaedah penyediaan makanan yang paling digemari masyarakat dan industri makanan.

"Kajian menunjukkan rakyat Malaysia mengambil makanan bergoreng yang tinggi kerana ia mudah didapati di mana-mana sama ada di restoran, pasar malam dan gerai makanan di tepi jalan di samping rasa yang sedap dan harga murah," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kajian menunjukkan bahawa kesedaran dan ilmu berkaitan amalan penggunaan minyak masak yang betul dalam kalangan masyarakat Malaysia berada di tahap kurang memuaskan.

PENGGUNAAN minyak masak secara berulang meningkatkan risiko masalah jantung.
PENGGUNAAN minyak masak secara berulang meningkatkan risiko masalah jantung.

"Penggunaan minyak secara tidak betul terutama amalan penggunaan minyak masak yang sama secara berulang-ulang dalam kalangan pengendali makanan semakin membimbangkan.

"Kajian yang kami jalankan menunjukkan 83.8 peratus daripada pengendali makanan di medan selera sekitar Shah Alam, Selangor mengakui masih menggunakan minyak masak yang sama secara berulang meskipun mengetahui kesannya terhadap kesihatan," katanya.

Jelasnya, penggunaan minyak masak secara berulang kali boleh menyebabkan ia terdedah kepada suhu yang tinggi dan udara ketika menggoreng pada satu jangka yang lama.

"Ini secara tidak langsung akan menyebabkan minyak teroksida dan menghasilkan sebatian seperti peroksida yang membahayakan kesihatan dan menyebabkan ketengikan," katanya.

BEKERJA dari rumah mendorong lebih ramai masak di rumah.
BEKERJA dari rumah mendorong lebih ramai masak di rumah.

Beliau berkata, kekerapan penggunaan minyak masak secara berulang yang sesuai adalah agak subjektif bergantung kepada suhu memasak dan jenis makanan.

"Antaranya petanda minyak masak yang sudah rosak termasuk warna menjadi perang pekat, lebih likat atau pekat, berbau tengik, berbuih ketika menggoreng dan asap banyak dihasilkan ketika minyak dipanaskan.

"Selain itu, menggoreng menggunakan minyak masak yang rosak akan memberikan rasa dan ciri-ciri yang tidak enak terhadap makanan," katanya.

MEREBUS dapat mengurangkan penggunaan minyak masak.
MEREBUS dapat mengurangkan penggunaan minyak masak.

Mengulas lanjut, penggunaan minyak secara berulang kali bukan sahaja memberi kesan terhadap kualiti minyak dan kualiti makanan bergoreng bahkan turut menjejaskan kesihatan.

"Kajian menunjukkan bahawa pengambilan makanan goreng yang digoreng menggunakan minyak yang sudah digunakan secara berulang kali ini akan meningkatkan risiko mendapat tekanan darah tinggi dan pelbagai jenis kanser.

"Di samping itu, ia juga mampu meningkatkan jumlah kolesterol tidak baik (LDL) dalam badan atau dikenali sebagai aterosklerosis seterusnya menyebabkan masalah jantung.

"Sebatian berbahaya ini juga dikaitkan dengan potensi genotoksik, mutagenik dan karsinogenik jika kerap diambil," katanya.

Justeru itu, beliau menyeru supaya pengguna mengehadkan penggunaan minyak dalam aktiviti memasak harian dengan berubah kepada merebus, memanggang serta mereneh.

"Sekiranya menggoreng, pastikan minyak masak yang sesuai dengan kuantiti makanan yang hendak digoreng. Jika minyak menunjukkan kualiti yang tidak baik, tukar kepada minyak yang baharu.

"Menerusi sedikit pengetahuan dan perancangan, kita bukan sahaja dapat menikmati makanan yang lazat, bahkan baik untuk kesihatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 7:00 AM