KESELAMATAN penyediaan makanan antara faktor penting apabila menggunakan peralatan dapur. - FOTO Google
KESELAMATAN penyediaan makanan antara faktor penting apabila menggunakan peralatan dapur. - FOTO Google
Nurul Husna Mahmud


PERKAKAS dapur anti lekat menjadi pilihan kebanyakan wanita kerana memiliki kelebihan iaitu makanan yang dimasak tidak akan hangus dan melekat di permukaannya.

Contohnya penggunaan kuali biasa yang tidak mempunyai lapisan anti lekat akan mengalami masalah terutama ketika menggoreng ikan dan ini menyebabkan sajian tidak nampak menarik ketika dihidang di atas meja.

Justeru, penggunaan kuali anti lekat cukup popular kerana memudahkan kerja-kerja memasak selain mengurangkan penggunaan minyak berbanding pada kuali biasa.

Namun, penggunaan perkakas itu dilihat mempunyai keburukan biar pun ia memudahkan urusan di dapur. Ini kerana perkakas itu memerlukan penjagaan baik bagi mengelakkan lapisan anti lekat daripada tercalar.

Jika lapisan itu tercalar, elakkan penggunaannya bagi mengelak kemungkinan bahan kimia meresap masuk ke dalam makanan ketika penyediaan.

Terbaru ada juga kegusaran ditimbulkan membabitkan penggunaan perkakas itu yang terlalu lama boleh mendatangkan kesan sampingan selain kesan kerosakan akibat permukaan yang tercalar.

Salah satu perkongsian oleh pakar kesihatan menerusi laman YouTube mendakwa penggunaan sesetengah peralatan terutama anti lekat membabitkan kualiti rendah boleh merisikokan pengguna.

Antara kesan sampingan ialah tindak balas kimia daripada material bagi menghasilkan produk itu yang tidak mengikut standard selamat dan boleh mendatangkan komplikasi penyakit seperti barah kepada pengguna.

ELAK menggunakan pencuci periuk permukaan kasar untuk perkakas anti lekat. - FOTO Google
ELAK menggunakan pencuci periuk permukaan kasar untuk perkakas anti lekat. - FOTO Google

Bahan kimia itu merujuk kepada Politetrafluoroetilena (PTFE) iaitu fluoropolimer sintetik yang wujud di bawah banyak jenama dan paling terkenal ialah

Teflon.

Menjelaskan secara terperinci mengenai sejauh mana kesan PTFE diguna dalam pembuatan perkakas dapur, kata Ketua Jabatan Kimia Fakulti Sains Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Zanariah Abdullah, penggunaan itu disesuaikan mengikut keperluan industri termasuklah perubatan.

"Penggunaan material anti lekat adalah sejenis polimer atau gumpalan molekul yang dikenali PTFE sememangnya diguna pakai pada produk premium. Kelebihan PTFE ialah menonjolkan kelebihan perkakasan itu yang tidak melekat ketika memasak makanan dan mudah dibasuh.

"Ia diguna pakai secara meluas untuk material dalam pelbagai industri termasuk perubatan sebagai organ tiruan dan implan sejak ditemui secara tidak sengaja oleh sainstis Dr Roy Plunkett pada tahun 1938.

"Namun, dalam pembuatan perkakas dapur hanya dilakukan pada tahun 1956 kerana ciri-ciri polimer ini kalis bahan kimia, lengai dan mempunyai takat lebur tinggi sesuai digunakan pada kuali," katanya.

Malah penggunaan lapisan anti lekat itu mendapat kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) kerana selamat apabila bersentuhan langsung dengan makanan.

Mengukuhkan kriteria ciri-ciri selamat bahan itu apabila dalam mengendalikan makanan ialah kandungan molekul dikatakan tidak tertarik dengan bahan lain.

"Ciri-ciri lain membuatkan PTFE selamat dalam penggunaan perkakas memasak ialah interaksi molekul PTFE dengan makanan dan air sangat lemah selain ia tidak akan menyerap mana-mana elemen terbabit.

ELAK mencuci beras dalam periuk anti lekat. - FOTO Google
ELAK mencuci beras dalam periuk anti lekat. - FOTO Google

ELAK memanaskan bahagian anti lekat langsung kepada api. - FOTO Google
ELAK memanaskan bahagian anti lekat langsung kepada api. - FOTO Google

"Dalam konteks mudah, PTFE tidak akan melekat pada sebarang unsur makanan termasuklah minyak ketika menggoreng. Kelebihan ini menjadikan ia satu kehendak dalam memudahkan urusan harian di dapur," katanya.

Dari aspek kesihatan, kata Dr Zanariah, perspektif negatif wujud kerana bahan PTFE adalah bahan sintetik dan mempunyai impak yang masih kurang jelas mengenai komplikasi terhadap kesihatan.

"Rekod kajian saintifik menjelaskan bahan ini sangat stabil, kalis bahan kimia, tiada toksik dan lengai pada suhu bawah 260 darjah. Jika merujuk kepada senario memasak yang tipikal, suhu menggoreng atau mereneh biasanya tidak melebihi 230 darjah Celsius.

"Lebih daripada itu realitinya masakan akan hangit. Namun jika mengandaikan situasi melangkaui 260 darjah Celsius sehingga mengatasi 350 darjah Celsius, asap yang terhasil dan bercampur udara akan menyebabkan komplikasi demam wasap polimer," katanya.

Demam wasap polimer adalah gejala demam akibat terhidup asap yang terhasil apabila kuali atau perkakas anti lekat dipanaskan pada suhu lebih 350 darjah Celsius.

Salah faham wujud dalam penggunaan bahan anti lekat apabila terdapat penggunaan asik perfluorootanoik (PFOA) yang dihasilkan dalam aktiviti pemanasan PTFE untuk menjadi lapisan salutan perkakas dapur.

PFOA sebenarnya yang terkait dengan komplikasi kesihatan seperti kanser, diabetes, kemandulan dan penyakit tiroid. Namun penggunaan bahan itu dihentikan sejak 2013 kerana larangan dan sekatan pihak berkuasa terhadap pengeluar.

Sementara itu, Pensyarah Kimia UM, Profesor Madya Dr Hairul Anuar Tajuddin pula berkata, kemungkinan sisa PTFE boleh bercampur makanan akibat kerosakan permukaan itu menerusi penggunaan alat tajam tidak boleh diketepikan.

"Serpihan kecil PTFE boleh masuk ke dalam tubuh ketika individu menikmati makanan yang bercampur dengan bahan berkenaan. Namun sifat PTFE tidak toksik dan jika tertelan sekali pun, badan akan menyahkan bahan itu keluar. Terdapat laporan mengatakan bahan ini tidak boleh diserap oleh tisu kerana molekulnya sangat besar dan tidak terurai dalam badan.

"Penting amalkan langkah berhati-hati dengan penjagaan rapi dan gunakan peralatan memasak dengan betul," katanya.

Antara contoh salah guna sering diperhatikan dalam kalangan pengguna ialah menelangkupkan perkakasan atau memanaskan permukaan anti lekat langsung dengan sumber api.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 7:00 AM