PERTUBUHAN Rumah Anak Yatim Miskin Daerah Kuala Langat turut menerima sumbangan juadah iftar daripada TFP.
PERTUBUHAN Rumah Anak Yatim Miskin Daerah Kuala Langat turut menerima sumbangan juadah iftar daripada TFP.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


PASAR raya premium, The Food Purveyor (TFP) menyumbangkan makanan iftar bernilai RM10,000 kepada anak yatim, pelarian dan keluarga berpendapatan rendah di sekitar Selangor serta Kuala Lumpur.

Sumbangan makanan itu disediakan PichaEats kepada enam organisasi terpilih yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Sebanyak 843 pek makanan seperti ayam dynamite, ayam zaatar, chana lahore dan beriani ayam dimasak cef PichaEats yang berasal dari Afghanistan, Palestin dan Syria.

PichaEats adalah sebuah syarikat perusahaan sosial yang memperkasakan pelarian dari Syria, Myanmar, Afghanistan, Palestin, Iraq dan Pakistan untuk mencari pendapatan melalui perniagaan makanan.

Ketua Pegawai Eksekutif TFP, Geoff King berkata, Ramadan bukan hanya bulan berpuasa menahan lapar dan dahaga, malah ia bulan untuk bersedekah serta tolong-menolong antara satu sama lain.

Katanya, kehadiran Ramadan juga memberi pihaknya peluang ideal untuk menyokong perusahaan sosial seperti PichaEats yang terkesan akibat pandemik berkenaan.

"Inisiatif ini bukan sahaja dapat menyediakan makanan sihat kepada mereka yang kurang bernasib baik, malah secara tidak langsung berusaha menyelamatkan kelangsungan misi sosial PichaEats.

"Ia dapat memastikan tiada yang terabai dalam masyarakat kita," katanya.

Pada masa sama inisiatif berkenaan adalah salah satu daripada Program Smiles iaitu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pasar raya itu untuk menyokong komuniti yang memerlukan bantuan dalam mengharungi cabaran semasa.

SUMBANGAN makanan iftar diberikan kepada Sekolah Rohingya Rabbaniyah dan Tahfiz Malaysia, Ampang Jaya.
SUMBANGAN makanan iftar diberikan kepada Sekolah Rohingya Rabbaniyah dan Tahfiz Malaysia, Ampang Jaya.

Sejak Mac tahun lalu, pasar raya premium itu menyumbang barang makanan dan wang tunai bernilai lebih RM200,000

kepada komuniti rentan yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Sementara itu, pengasas bersama PichaEats, Kim Lim berkata, pihaknya berbesar hati dapat berganding bahu dengan TFP untuk memberikan impak kepada masyarakat.

"Projek ini dinamakan Zaza Movement iaitu kolaborasi amal yang dinamakan sempena mendiang tukang masak kami yang selalu ingin menyediakan makanan kepada orang memerlukan meskipun ada kekurangannya.

"Kami berbangga dapat berkongsi misi yang sama dalam membantu komuniti dan sokongan mereka adalah dihargai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 6:50 AM