JALANI pemeriksaan gigi anak seawal usia setahun.
JALANI pemeriksaan gigi anak seawal usia setahun.
Muhamaad Razis Ismail


KEBERSIHAN mulut memainkan peranan penting untuk mengelakkan anak mengalami jangkitan, kesakitan serta ketidakselesaan, kesukaran makan dan masalah pertuturan.

Pensyarah dan Perunding Pergigian Pediatrik, Fakulti Pergigian Kolej Universiti Lincoln, Profesor Dr Noraini Nun Nahar Yunus berkata, ada beberapa faktor yang boleh mengakibatkan kerosakan gigi berlaku.

Katanya, antara yang biasa dilakukan ibu bapa adalah membiarkan anak tidur dengan sebotol jus atau susu dalam mulutnya dan minum minuman manis dari cawan yang boleh dihirup.

“Minuman yang bergula dan manis serta makanan yang berkanji atau melekit akan melekat pada gigi anak dan membekalkan makanan untuk bakteria yang tinggal dalam mulut.

“Bakteria itu akan menghasilkan asid yang boleh menyebabkan kerosakan gigi. Jika tidak diperiksa, penyakit pergigian boleh menjejaskan perkembangan, pembelajaran dan pertuturan kanak-kanak.

“Oleh itu, minuman manis (termasuk jus buah-buahan segar) dan makanan berkanji perlu dihadkan kepada waktu makan sahaja,” katanya.

Menurutnya, kebiasaannya, karies awal dalam kalangan kanak-kanak disebabkan penggunaan botol susu atau permintaan keperluan penyusuan yang tidak wajar.

“Pada peringkat awal, ia tidak mudah dikesan kerana kebiasaann

ya ia wujud di sekeliling bahagian atas gigi depan atas dan kelihatan seperti warna keputih-putihan/kekuningan, ia boleh dianggap sebagai sisa-sisa susu atau makanan,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan puting dan tabiat menghisap ibu jari atau jari boleh menyebabkan masalah pertumbuhan mulut dan rahang dalam jangka panjang.

“Tabiat ini boleh menjejaskan penjajaran gigi atas dan bawah (gigitan terbuka) dan bentuk mulut serta kedudukan gigi.

“Penggunaan puting adalah baik ditinggalkan menjelang usia dua tahun. Dapatkan penilaian profesional jika anak anda yang lebih tua menghadapi kesukaran untuk membuang tabiat itu,” katanya.

Katanya, untuk menggalakkan anak menggosok gigi, ibu bapa boleh menggunakan kreativiti untuk menjadikan ia lebih menyeronokkan termasuk membiarkan mereka memilih berus gigi dan ubat giginya sendiri.

“Anda juga boleh mencipta lagu memberus gigi atau menjadikan tabiat ini sebagai aktiviti keluarga dengan memberus gigi bersama-sama pada setiap pagi atau sebelum tidur,” katanya.

Tambahnya, bagi bayi, ibu bapa boleh mengelap gusinya secara perlahan dengan kain lembut atau kain kasa dan air walaupun sebelum gigi pertamanya tumbuh.

“Selepas gigi pertamanya tumbuh, lap dengan kain basah yang kecil untuk mengeluarkan sisa makanan.

“Bagi anak yang mempunyai gigi tambahan, anda boleh membantu memberus giginya menggunakan berus gigi kanak-kanak yang lembut dan air.

“Malah, tidak dinasihatkan untuk menggunakan ubat gigi kepada kanak-kanak bawah dua tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 6:11 AM