MAKANAN manis menghasilkan asid seterusnya melarutkan permukaan gigi dan menyebabkan terjadinya kaviti. FOTO: Sumber Google
MAKANAN manis menghasilkan asid seterusnya melarutkan permukaan gigi dan menyebabkan terjadinya kaviti. FOTO: Sumber Google
Muhamaad Razis Ismail

KANAK-KANAK dan gula-gula serta minuman manis memang sukar dipisahkan.

Akibatnya pada usia yang masih muda, mereka berdepan masalah gigi rongak, hitam dan gigi berlubang. Asalnya, gigi putih dan tersusun rapi kini sudah menghilang.

Kerosakan gigi terjadi akibat tindak balas bakteria terhadap makanan manis yang menghasilkan asid, seterusnya melarutkan permukaan gigi dan menyebabkan terjadinya kaviti.

Gigi kanak-kanak tidak mungkin rosak sekiranya pengambilan makanan manis ini dikawal dan dihadkan kekerapan pengambilannya.

Namun tahukah anda pengambilan susu juga turut memberi kesan terhadap gigi kanak-kanak.

Pensyarah dan Perunding Pergigian Pediatrik Fakulti Pergigian Kolej Universiti Lincoln, Profesor Dr Noraini Nun Nahar Yunus selalunya keadaan ini berlaku disebabkan pengambilan susu atau minuman manis dalam botol, yang tidak terkawal terutama semasa kanak-kanak hendak tidur.

KARIES Botol Susu. FOTO: Sumber Google
KARIES Botol Susu. FOTO: Sumber Google

"Keadaan ini juga dipanggil Karies Botol Susu iaitu kerosakan membabitkan gigi kanak-kanak di bawah umur enam tahun. Terdapat beberapa peringkat kerosakan bermula daripada perubahan warna lapisan gigi hingga ke tahap serius membabitkan saraf dan bahagian dalam gigi," katanya,

Menurutnya, Lesi terjadi akibat substrat (susu atau gula) berada dalam mulut dalam tempoh yang panjang sekali gus membolehkan bakteria dalam mulut bertindak mengeluarkan asid yang boleh melarutkan permukaan gigi.

"Kanak-kanak yang menghisap susu atau minuman manis dalam botol lebih berisiko kerana apabila kanak-kanak ini tertidur, proses penelanan terhenti dan susu atau minuman manis akan bertakung di permukaan gigi. Tambahan pula pengeluaran air liur yang boleh mengurangkan kesan substrat berada pada tahap minimum ketika tidur.

"Kanak-kanak yang disusui secara tabii juga boleh mendapat kesan yang sama sekiranya penyusuan tidak terkawal.

"Manakala, kanak-kanak yang tidak lagi menyusu boleh mengalami kerosakan apabila kerap mengambil makanan manis, sekiranya tidak membersihkan mulut dengan cara berkumur dan memberus gigi dengan berkesan," katanya.

IBU bapa berperanan memupuk sikap positif terhadap kesihatan gigi. FOTO: Sumber Google
IBU bapa berperanan memupuk sikap positif terhadap kesihatan gigi. FOTO: Sumber Google

Tambahnya, gigi kanak-kanak yang dipanggil gigi susu, walaupun tidak kekal, ia penting kerana mempunyai fungsi seperti untuk pengunyahan makanan, pertuturan yang sempurna, untuk menyimpan ruang supaya gigi kekal kelak tumbuh di tempatnya dengan sempurna selain membantu kepada pembentukan rupa atau roman wajah.

"Pemeriksaan gigi ini penting bagi memastikan gigi tetap sihat tanpa gejala dan tanda terjadi yang boleh menyebabkan fungsi-fungsi ini terganggu.

"Kerosakan gigi yang sering dipanggil gigi berlubang atau kaviti, pada peringkat awal kejadiannya tidak menyebabkan rasa sakit, cuma terdapat perubahan warna. Tanpa pemeriksaan dan seterusnya pengendalian pencegahan awal, kerosakan boleh terus merebak sehingga menyebabkan rasa sakit ataupun komplikasi lain yang lebih serius seperti bengkak yang bernanah," katanya.

Mengulas lanjut, sebaik-baiknya anak diperkenalkan dengan penjagaan gigi seawal gigi pertamanya tumbuh iaitu sekitar umur enam hingga tujuh bulan.

DAPATKAN pemeriksaan doktor untuk elakkan kerosakan gigi lebih serius. FOTO: Sumber Google
DAPATKAN pemeriksaan doktor untuk elakkan kerosakan gigi lebih serius. FOTO: Sumber Google

"Pada umur itu, gigi anak perlu dibersihkan dengan mengelap dengan kain kasa atau tuala kecil.

"Apabila giginya sudah banyak yang tumbuh, kira-kira lapan batang di bahagian hadapan (empat atas, empat bawah) ibu boleh menggunakan berus gigi yang kecil dan lembut," katanya.

Beliau berkata, sebagai orang yang paling rapat dan dipercayai oleh kanak-kanak, ibu bapa berperanan memupuk sikap positif terhadap kesihatan gigi.

"Selalunya kanak-kanak kecil suka meniru gaya orang dewasa. Oleh itu cuba jadikan ahli keluarga seperti ibu, bapa dan adik beradik lain sebagai contoh dan jadikan memberus gigi itu suatu aktiviti keluarga yang menyeronokkan," katanya.

KETIKA kanak-kanak tidur proses penelanan terhenti dan akibatkan susu bertakung di permukaan gigi. FOTO: Sumber Google
KETIKA kanak-kanak tidur proses penelanan terhenti dan akibatkan susu bertakung di permukaan gigi. FOTO: Sumber Google

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 6:30 AM