PALAZZO boleh digayakan dengan padanan baju dan aksesori sesuai bentuk tubuh si pemakai. - FOTO Google
PALAZZO boleh digayakan dengan padanan baju dan aksesori sesuai bentuk tubuh si pemakai. - FOTO Google
Nurul Husna Mahmud


SELAIN denim dan 'slack,' potongan palazzo menjadi pilihan bagi kebanyakan wanita untuk tampil lebih feminin.

Potongan longgar kadangkala lebih melebar di bahagian kaki memberi visual bentuk 'A' atau segitiga menyerlahkan ilusi kurus terutama pada mereka yang berbadan besar.

Mengenai potongan palazzo, rata-rata mengatakan 'trend' ini mula timbul sekitar akhir 60-an dan awal 70-an yang mana ketika itu muzik agogo pula diperkenalkan kepada dunia.

Namun trend ini masih 'mekar' apabila potongan seluar longgar berkenaan dipelbagaikan potongannya dan penggunaan fabrik pula mengikut aliran atau perkembangan fesyen terkini.

Palazzo kini jadi pilihan wanita kerana beberapa faktor:

1. Bagi wanita mudah berpeluh, denim bukanlah seluar sesuai kerana boleh menyebabkan geseran pada kulit dan akhirnya mengundang rasa gatal dan permukaannya melepuh. Jadi solusinya ialah dengan mengenakan palazzo kain ringan.

2. Palazzo gaya sesuai untuk wanita aktif kerana memudahkan pergerakan berbanding denim atau seluar potongan leggings yang kadangkala menyukarkan anda melangkah.

3. Mahu gaya sopan dan lebih elegan. Biasanya dalam majlis formal, mereka yang mengenakan denim dan leggings kadangkala dilarang memasuki acara. Jadi, palazzo antara gaya sesuai untuk tampil lebih selamat dalam apa juga majlis.

GAYA sopan sesuai digayakan Muslimah. - FOTO Google
GAYA sopan sesuai digayakan Muslimah. - FOTO Google

Mengenai tatacara padanan atau penyesuaian gaya terbaik mengenakan palazzo, terdapat beberapa panduan boleh digunakan dalam memilih pakaian sesuai antaranya:

Wanita dengan potongan badan tinggi

Pilihan untuk tampak versatil dan elegan, anda yang memiliki susuk tinggi boleh padankan dengan kurti. Selain itu boleh juga gayakan bersama baju material benang bulu dengan lengan tiga perempat bersama kasut tumit sederhana tinggi atau tapak rata.

Wanita dengan potongan badan rendah

Terdapat kaedah membantu anda kelihatan tinggi dengan pemakaian busana atas (top) dengan motif tertentu. Jangan malu untuk berfesyen selain pilihan fabrik palazzo yang sesuai membuatkan susuk lebih seimbang.

Caranya, pilihan palazzo berjalur atau cetakan vertikal meningkatkan visual lebih tinggi dan mengurangkan kesan lebar pada potongan seluar ada kalanya memberi kesan pemakainya tampak rendah.

Tip penggayaan pula pilihan palazzo labuh meleret sehingga di atas tanah dan padankan pemakaian tumit tinggi. Selain itu potongan palazzo dengan pinggang tinggi dan penggunaan tali pinggang dilihat menjadi nilai tambah elemen itu. Sebaiknya kenakan busana atas potongan singkat.

GAYA palazzo mula timbul era 60-an atau 70-an. - FOTO Google
GAYA palazzo mula timbul era 60-an atau 70-an. - FOTO Google

Wanita dengan potongan badan berisi atau besar

Boleh juga padankan dengan kurti tetapi dengan motif kecil dan warna gelap. Pilihan lain busana atas dengan palazzo berpotongan leher V dan motif terhad atau bersaiz kecil

Untuk penampilan berani, ada yang gemar menggunakan potongan blaus bahu terbuka dan potongan sederhana kembang di bahagian pinggang membolehkan palazzo dipakai memberi ilusi kaki langsing atau panjang.

Wanita dengan potongan badan langsing

Wanita dengan gaya ini tidak ada syarat ketat cuma perlu bijak dari segi padanan warna dan motif supaya tidak tampak terlalu sarat.

Pilihan warna lebih terang dan palazzo fabrik kapas dengan kurti daripada fabrik sama memberi padanan ideal.

Namun lagi lebar kaki palazzo terbabit, lagi 'wow' efek apabila wanita ini berjalan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 6:19 AM