SABA melihat berpurdah adalah antara kebebasan untuk wanita. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
SABA melihat berpurdah adalah antara kebebasan untuk wanita. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Hafiz Ithnin

"SYUKUR saya tidak pernah didiskriminasi. Malah, ketika menuntut di United Kingdom (UK) ramai melihat penampilan berpurdah sesuatu yang unik. Sehingga ada yang curi-curi mengambil foto!," jelas ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Tatkala sesi fotografi dan temu bual bersama si pemilik nama Sabatini Dzuehairullah atau lebih mesra disapa Saba, dia begitu senang untuk memberikan aksi terbaik di depan lensa kamera hasil air tangan jurugambar, Mohamad Shahril Badri Saali.

Apa yang menyebabkan Saba ingin berpurdah? Soalan pertama penulis.

"Ketika menuntut di University Of Plymouth, UK, saya membantu suami, Azlan Shah Andi membuat tugasan bertajuk 'Feminism: West vs Islam' dan ia mengenai kebebasan wanita.

"Salah satunya ada menceritakan mengenai berpurdah yang dilihat sebenarnya manusia itu bebas mengenakan pakaian yang digemari. Asalkan bukan sesuatu yang boleh mengancam diri atau masyarakat itu sendiri," katanya.

 BERSAMA buku tulisan Azlan ketika di San Francisco.
BERSAMA buku tulisan Azlan ketika di San Francisco.

BERADA di Grand Canyon.
BERADA di Grand Canyon.

Jelasnya, jadi dia melihat tidak ada yang perlu dirisaukan untuk mengenakan purdah selagi tidak mengancam nyawa.

Malah, perkara paling utama memakai purdah membantu wanita berusia 28 tahun itu menghambakan diri kepada tuntutan Islam.

"Saya sebelum ke UK, jujurnya masih tidak bertudung dan melalui zaman keseronokan yang sebenarnya hanya sementara. Rambut berwarna juga bukan sesuatu yang asing.

"Mula memakai tudung pada 2015. Itu pun, tersentap apabila seorang paderi menegur kerana tidak menutup kepala. Jadi saya mula terfikir, dalam kad pengenalan sahaja Islam, tetapi tidak amalkan yang dituntut," katanya.

Katanya, ketika belajar dia juga bekerja sambilan. Jadi, apabila ingin memakai purdah, Saba maklumkan juga kepada rakan sekerja yang umumnya bukan Islam, untuk mengenakan purdah.

"Ketika itu saya sudah bertudung dan ia perkara biasa di sana, tetapi berpurdah masih asing. Namun, apabila memberitahu mengenai hajat itu, mereka agak terkejut dan pastinya persoalan mengenai bagaimana ingin mengecam diri saya kerana hanya mata yang nampak.

"Jadi, saya jelaskan satu persatu dan memaklumkan jika ada keperluan untuk mengecam muka demi mengikuti sesuatu undang-undang, saya tiada halangan untuk melakukannya," jelas pemegang sarjana MSC Transport di Imperial College London itu.

Malah, ibu muda itu juga melihat berpurdah bukan menjadi halangan kepadanya untuk mengembara ke luar negara kerana sehingga kini sudah lebih 40 negara sudah dijejakinya termasuk Amerika Syarikat.

SABA ketika masih menuntut di UK.
SABA ketika masih menuntut di UK.

BERSAMA anak kembarnya ketika di Paris.
BERSAMA anak kembarnya ketika di Paris.

"Ketika mengembara kalau memakai purdah dan dilihat pelik itu adalah sesuatu yang biasa terutama bagi negara bukan Islam kerana pemakaian sedikit berbeza dengan amalan sesuatu tempat pasti menarik perhatian masyarakatnya.

"Namun, ia bukan bermaksud menjadikan saya rasa bermegah kerana mampu menarik perhatian dan perlu berbalik kepada perkara asasnya, memakai purdah ingin menjadikan saya sendiri boleh mendidik jiwa lebih dekat kepada Islam," katanya yang memegang jawatan sebagai pengarah di sebuah syarikat pembinaan, pembuatan dan kejuruteraan.

Saba berkata, lebih menarik apabila memakai purdah dia tidak perlu risau mengenai penampilan wajah ketika berada di tempat umum terutama untuk bersolek.

"Jika dahulu sebelum bertudung dan berpurdah pasti merasakan wajah perlu sentiasa kemas kerana ia menjadi perhatian. Perkara itu adalah umum kerana apabila orang melihat kita, wajah akan dilihat terlebih dahulu.

"Secara peribadi, saya melihat apabila diri ini ingin berhias kerana orang lain yang bukan hak iaitu untuk suami, pasti boleh menjadikan diri saya lalai. Berbanding memakai purdah, hanya mata yang boleh dilihat itu pun kadangkala sahaja saya mengenakan celak. Jadi masa bersiap pun tidak lama," katanya.

Tambahnya, dia juga bertuah kerana suaminya juga bukan jenis yang sukakan dirinya mengenakan mekap dan tampil kemas sudah memadai.

Ketika berbual santai bersama Saba, anak kelahiran Sarawak itu sebenarnya bukan calang-calang pengalaman kerjayanya kerana dia pernah bekerja atas kapal sebagai kadet dek di sebuah syarikat di Amerika Syarikat.

Selain menjadi pengarah di syarikat milik keluarganya, Saba juga adalah pengasas sebuah syarikat mengeluarkan sabun iaitu BathBomb By Qowiy.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2020 @ 7:00 AM