Nurul Husna Mahmud


Sangkaan ramai orang, penampilan wanita yang mengenakan jubah dan bertudung litup termasuk mengenakan purdah, hanya terarah kepada kegiatan berbentuk kerohanian dan kebajikan semata-mata.

Jarang kita membayangkan susuk wanita berpenampilan sedemikian boleh menyertai sebarang aktiviti yang 'menagih' kudrat atau pergerakan aktif seperti sukan lasak.

Namun, pembabitan dua wanita iaitu Ummu Farah Haidar Zulkifli, 30, dan Nursaadah Ramli, 37, masing-masing yang tampil selesa mengenakan purdah ini turut aktif dalam pelbagai disiplin sukan ekstrem.

Lebih mengagumkan kelibat atau sukan yang disertai kedua-dua wanita itu bukan 'biasa-biasa,' sebaliknya sukan cabaran beraras tinggi seperti sukan luncur udara dan sukan halangan ekstrem seperti 'viper challenges.'

Jika diteliti semua disiplin sukan yang pernah disertai Ummu Farah umpamanya, tidak ramai lagi penyertaan wanita yang sampai ke tahap itu.

Kata pegawai penyelidik undang-undang itu, dia menjadikan tokoh srikandi Islam sebagai contoh dan inspirasi untuk kekal istiqamah dengan penampilan berpurdah meskipun ketika melakukan aktiviti sukan ekstrem diminatinya.

"Dalam kebanyakan kes, tanggapan komuniti atau penggiat sukan lasak yang tidak mengenali saya mereka menyangkakan saya bukan mahir bersukan dan tidak cukup 'fit' untuk melakukan sukan lasak.

"Komen mereka, wanita yang mengenakan pakaian sebegini lebih bersifat feminin, suka berdiam diri di rumah dan terlalu Islamik. Rata-rata penggiat sukan seperti sukan mendaki, kayak dan paragliding skeptikal tidak berani mendekati melainkan rakan yang sudah mengenali saya.

AZERUL kerap memberi sokongan kepada isteri tercinta, Nursaadah.
AZERUL kerap memberi sokongan kepada isteri tercinta, Nursaadah.

"Namun, itu tidak menghalang kerana saya sentiasa menjadikan srikandi Islam Saidatina Safiah, Ummu Umarah dan Khawlah Al-Azwa sebagai inspirasi. Mereka ini berada di medan perang bersama pejuang lelaki, tetapi masih utuh memelihara aurat dan kehormatan diri.

"Walaupun perang dan sukan ekstrem berada dalam konteks berbeza, tetapi aplikasi agama serta akhlak serupa dalam apa jua keadaan. Rasional saya jika tokoh ini mampu, apa alasan saya?" katanya.

Katanya, dia tidak kekok untuk berniqab atau berpurdah kerana sejak di bangku sekolah, penampilan mengenakan baju labuh ketika bersukan sudah terasuh. Penampilan itu melengkapkan lagi penghayatan diri terutama dalam penjagaan aurat dan kehormatan diri.

"Sebenarnya saya sangat teliti dalam pemilihan baju supaya dapat memenuhi keperluan syariat termasuk ketika melakukan aktiviti lasak. Sejak di bangku sekolah saya suka mengenakan baju kemeja-T potongan labuh atau longgar untuk bersukan.

UMMU Farah tidak kekok meengendalikan aktiviti luncur udara.
UMMU Farah tidak kekok meengendalikan aktiviti luncur udara.

"Apabila dewasa, saya masih teliti dalam pemilihan pakaian yang sesuai untuk bersukan. Kebanyakan masa saya memilih mengenakan jubah dan seluar kerana sukar mencari baju dan material patuh syariah.

"Biasanya potongan baju untuk aktiviti sukan mengikut bentuk badan selain material melekap. Jadi, saya memilih untuk mengenakan jubah atau baju kemeja-T Muslimah dan seluar untuk kekal selesa sepanjang menjalani aktiviti terbabit," katanya.

Penampilan Ummu Farah berniqab bermula sejak 2015 secara 'on dan off' kerana masih peringkat pemahaman dan penyesuaian sehingga dia memutuskan untuk kekal dengan penampilan terbabit pada 2018.

"Sepanjang saya mengenakan penampilan begini untuk lakukan pelbagai sukan termasuk aktiviti seperti mendaki, berkayak sehingga kini meluncur udara (paragliding), ia tidak pernah menghalang pergerakan.

"Mungkin peringkat sukan tertentu terutama mengenakan syarat dari segi pakaian khusus atau pengendalian alat teknikal seperti skuba, jadi saya perlu cari inisiatif pakaian yang sesuai supaya tetap memenuhi syariah," katanya.

Dia turut menyarankan wanita berpurdah untuk tidak takut mencuba atau melakukan aktiviti riadah selagi ia berlandaskan syariah. Cuma perlu pelihara akhlak dan pergaulan sesuai dengan imej ditampilkan.

Sementara itu, bagi penggiat sukan roda satu atau 'unicycle' elektrik, Nursaadah Ramli, 37, dia tidak pernah berasa terasing meskipun dalam kelompok penggiat sukan lasak atau ketika berhadapan masyarakat.

KELUARGA Ummu Farah banyak memberi sokongan.
KELUARGA Ummu Farah banyak memberi sokongan.

"Saya tidak pernah pula rasa kekok sebaliknya komuniti sukan ini terbuka selain menghormati penampilan saya. Ada juga yang teruja dan kagum walaupun saya berpurdah, saya berani mencuba dan ia contoh kepada wanita luar untuk berasa lebih yakin menyertai sukan lasak.

"Penampilan ini juga menyebabkan kelibat saya jadi perhatian dan mereka mudah mengenali saya. Mereka turut diberi gelaran 'ninja' kerana penampilan dan tubuh saya kecil molek ini tidak sepadan dengan sifat berani serta yakin diri yang tinggi," katanya.

Tambah Nursaadah, pembabitan dalam aktiviti sukan itu turut didorong keluarga yang memiliki minat sama terutama dalam acara larian.

"Sejak sekolah lagi bapa saya sudah galakkan anak-anak untuk sertai pelbagai jenis sukan. Bapa saya sendiri, Ramli Harun, 73, masih mampu menyertai acara larian.

"Sekarang, suami, Azerul Tomichan,41, antara pendorong terkuat dan sering menyertai atau mencuba aktiviti sukan disertai saya termasuk 'unicycle' elektrik. Pada saya, penampilan sebegini juga dapat melindungi kehormatan diri terutama apabila suami tidak dapat menemani saya dalam acara aktiviti komuniti," katanya.

Dia yang juga ibu kepada tujuh cahaya mata, berharap wanita yang tekad berniqab tidak takut untuk sertai aktiviti riadah mahupun sukan ekstrem.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 7:02 AM