Redzuan Muharam


Kajang: Bukan sejam dua sebaliknya, Faiz Amirul Mustaqim Johar mengenakan kostum Batman selama lebih tujuh jam sambil menjual burger dan ayam golek di tepi Jalan Bistari, Taman Tropika, Sungai Tangkas, di sini.

Faiz Amirul, 29, berkata, setiap hari dia akan memakai kostum adiwira itu dan berdiri di hadapan gerainya untuk menarik perhatian pelanggan sementara isterinya, Nik Aishah Nik Wahib, 25, menyiapkan pesanan pelanggan.

Akuinya, percubaan mengenakan pakaian itu berhasil 'memancing' pelanggan dan ramai juga yang berhenti bukan hanya untuk membeli burger atau ayam golek tetapi bergambar dengannya.

FAIZ Amirul menyiapkan burger yang dipesan pelanggan sambil ditemani isterinya. FOTO Azhar Ramli.
FAIZ Amirul menyiapkan burger yang dipesan pelanggan sambil ditemani isterinya. FOTO Azhar Ramli.

"Kebiasaannya, saya akan memakai kostum ini daripada jam 12 tengah hari hingga 7 malam atau sehingga gerai tutup.

"Ikutkan, memang panas namun ini salah satu caranya untuk mempromosikan kedai saya kerana ramai orang berniaga di sini dan kemungkinan pelanggan tidak perasan jika tidak memakai kostum," katanya ketika ditemui di gerainya yang dinamakan Burgerlora.

Faiz Amirul berkata, dia menjual 12 aneka burger dan memilih adiwira daripada siri DC kerana bersesuaian dengan konsep yang cuba diketengahkan, malah ia tidak pernah digunakan peniaga burger lain.

Gambar fail, Robert Durst ketika perbicaraan di mahkamah pada 14 Oktober lalu. FOTO AFP.
Gambar fail, Robert Durst ketika perbicaraan di mahkamah pada 14 Oktober lalu. FOTO AFP.

"Saya memang minat menonton filem adiwira dan dapati tiada peniaga tempatan buat apa yang saya rancang untuk lakukan. Jadi, saya cuba sejak membuka gerai di sini, November tahun lalu, tidak lama selepas berpindah dari Kuantan, Pahang.

"Alhamdulillah, sambutannya memberangsangkan malah rata-rata pelanggan yang datang akan mengajak saya bergambar sama dan beritahu anak mereka sukakannya," katanya.

Bapa seorang anak itu turut bercita-cita meluaskan perniagaannya dan menambah cawangan di masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 6:46 PM