KOMUNIKASI yang berkesan dapat memahami kehendak pasangan.
KOMUNIKASI yang berkesan dapat memahami kehendak pasangan.
Hafiz Ithnin

MUNGKIN ada segelintir yang merasakan baharu mengecapi kehidupan sebagai suami isteri beberapa tahun, sudah terasa tidak dihargai pasangan. Mungkin juga si suami atau isteri tidak lagi mahu berpegangan tangan seperti baharu seminggu berkahwin.

Apatah lagi ucapan kata-kata romantik atau saling mengusik nakal untuk menghangatkan hubungan selepas halal bergelar suami isteri.

Perkara ini sebenarnya terjadi kerana menerusi pertanyaan kepada rakan-rakan penulis yang kurang lima tahun berkahwin, ada antara mereka mengatakan kehangatan sudah tidak lagi terasa. Apatah lagi, apabila sudah mempunyai zuriat.

"Apabila anak lahir, suami aku tidur di luar dan anak tidur dalam bilik. Kata suami, kasihan tengok anak tidur berhimpit. Tapi lama kelamaan, sudah menjadi tabiat. Jujurnya sebagai isteri pastinya kadangkala terasa ingin romantik dan bukan ketika ingin bersama sahaja," kata rakan penulis penuh jujur.

Situasi ini mungkin berlaku kepada segelintir pasangan kerana merasakan terdapat perkara yang lebih penting daripada menghangatkan rasa cinta antara satu sama lain seperti berpegangan tangan dan sewaktu dengannya.

Mengulas perkara itu, pensyarah di Jabatan Pendidikan Psikologi dan Kaunseling, Kuliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Norwati Mansor berkata, perkahwinan adalah sesuatu ikatan yang perlu diisi dengan kasih sayang, kesetiaan, kejujuran dan sentiasa berada dalam situasi yang positif walaupun kadangkala berlaku badai ketika pelayaran.

MENJAGA hubungan dengan Pencipta mampu menjadikan rumah tangga lebih bahagia.
MENJAGA hubungan dengan Pencipta mampu menjadikan rumah tangga lebih bahagia.

Katanya, perkara paling utama bagi menghangatkan hubungan kasih sayang suami isteri adalah mempunyai asas pegangan agama yang betul terlebih dahulu kerana agama akan menjadi petunjuk dalam kehidupan manusia.

"Kita perlu tahu pertama sekali dalam perkahwinan masing-masing mempunyai tanggungjawab dan sudah menjadi lumrah dalam hubungan perlu ada kasih sayang yang sentiasa menebal.

"Tidak semestinya juga ucapan atau perbuatan sahaja yang menjadi kayu ukur 'ketebalan' kasih sayang antara suami dan isteri. Mungkin, si suami bukan jenis yang romantik tetapi dia sangat peka dalam melindungi dan menjaga tanggungjawabnya sebagai seorang ketua keluarga. Begitu juga dengan si isteri," katanya.

Bagaimanapun, pakar itu menjelaskan, sekiranya kelakuan mesra yang mungkin sebelum ini dilakukan oleh salah satu pasangan tetapi sudah tidak lagi dilakukan, perbincangan menerusi komunikasi yang berkesan antara yang boleh dilakukan.

"Mungkin pada awal perkahwinan suami atau isteri sering melakukan perkara yang romantik seperti berpegang tangan ketika berjalan tetapi selepas beberapa tahun berkahwin perkara itu tidak lagi dilakukan.

"Jangan jadi individu yang memendam rasa dan perlu bertanya kepada pasangan mengenai situasi yang berubah itu tetapi perlu kena dengan cara, masa dan tempatnya," katanya.

Dr Norwati berkata, walaupun sudah bertahun bergelar suami isteri melakukan perkara seperti di awal perkenalan juga tidak ada salahnya kerana ia dapat memupuk rasa sayang dan mengingat kembali bibit kasih sayang antara satu sama lain.

ASAS pegangan agama yang betul jadi petunjuk hangatkan hubungan kasih sayang suami isteri
ASAS pegangan agama yang betul jadi petunjuk hangatkan hubungan kasih sayang suami isteri

"Jangan merasakan kiriman teks atau pesanan ringkas penuh rasa sayang kepada pasangan kita sebagai sesuatu yang mengada-ngada.

"Malah perlu menghargai. Tidak ada salahnya mengirim ucapan sayang kepada suami atau isteri. Wujudkan suasana ingin mengurat antara satu sama lain.

"Tidak sekadar itu, kita juga boleh mengadakan janji temu dengan pasangan seperti makan malam, menonton wayang atau berjalan-jalan berdua-duaan. Jika ada anak, cari masa yang sesuai untuk meninggalkan si kecil sebentar untuk waktu 'dating' itu.

Katanya, salah satu pasangan tidak boleh menjadikan kehadiran si kecil sebagai jurang mengulangi perkara mesra di awal perkahwinan kerana anak seharusnya menjadi pengikat kasih sayang.

"Jadi pasangan yang peka apabila mempunyai anak. Apabila melihat isteri penat mengurus anak, suami ambil alih dan sebaliknya. Saling bantu membantu menguruskan anak-anak juga salah satu aktiviti yang boleh melahirkan rasa kasih sayang dalam hubungan rumah tangga.

"Selain itu, kita juga boleh lakukan aktiviti baharu bersama ahli keluarga seperti berkebun atau kegiatan rekreasi yang mampu mewujudkan rasa seronok bukan sahaja kepada pasangan malah anak-anak," katanya.

Beliau juga mengingatkan, perkara yang perlu diambil peduli ialah jangan hanya pandai mengkritik pasangan tetapi sampaikan sesuatu yang dapat membina hubungan lebih baik.

"Sekiranya merasakan isteri atau suami sudah naik berat badan atau kelihatan tidak menarik seperti baharu kenal, jangan kritik tetapi cadangkan untuk mengikuti kelas senaman atau belanja berhias," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 6:30 AM