Nurul Husna Mahmud

Asam garam dalam perkahwinan, tidak lari daripada konflik sehingga mencetuskan perasaan tawar hati wanita yang bergelar isteri untuk terus melayari kehidupan berumah tangga bersama pasangan.

Fenomena itu lebih ketara kebelakangan ini apabila wanita yang sedia memiliki perasaan itu terpaksa berdepan dengan pasangan 24 jam sehari ditambah dengan Sekatan Pergerakan Penuh bagi mengekang penularan Covid-19.

Menyentuh masalah wanita yang tawar hati menurut Pakar Perhubungan dan Keintiman dan Pengasas eHATI International Sdn Bhd, Diyana Tahir berkata, pelbagai punca boleh menjadi penyumbang kepada konflik berkenaan.

Dia yang aktif menganjurkan bengkel percuma dalam membantu lebih 60,000 wanita yang mengalami pelbagai masalah terutama rumah tangga, mengenal pasti tiga punca utama masih menjadi penyebab wanita berasa tawar hati dengan pasangan masing-masing.

"Berdasarkan pengamatan lebih 60,000 wanita yang pernah mengikuti bengkel dalam talian e-Hati sehingga hari ini, rata-rata memberi maklum balas mereka berasa tawar hati terhadap pasangan apabila kewujudan orang ketiga.

"Selain itu wanita juga berasa tawar hati kerana masalah keintiman yang tidak membahagiakan dan menyakitkan selain masalah ketiga iaitu hubungan jarak jauh yang mana isu pada musim pandemik ini.

"Pasangan tidak boleh merentas daerah atau negeri akan menyebabkan hubungan mula renggang mengundang kepada masalah komunikasi dalam hubungan suami isteri," katanya.

Konflik wanita atau isteri itu mula tawar hati kepada pasangan kerap dilihat berlaku pada usia perkahwinan lima tahun dan ke atas.

"Dalam data wanita yang kami ada, bagi memberi gambaran mengenai fasa wanita mengalami rasa tawar hati pada pasangan ialah membabitkan kelompok umur sekitar lewat 30-an sehinggalah 50 tahun dengan usia perkahwinan melangkaui tujuh tahun.

"Biasanya dalam tempoh lima tahun pertama, wanita masih boleh bertahan dan mengambil peranan untuk bereaksi terhadap masalah terbabit. Namun masuk tahun ketujuh jika mereka menjadi mangsa terus-menerus hubungan toksik akan mula memberi tindak balas terhadap perasaan itu," katanya.

WANITA akan berdiam diri atau bersikap dingin dengan pasangan.
WANITA akan berdiam diri atau bersikap dingin dengan pasangan.

Implikasi jelas dan nyata boleh dilihat apabila wanita yang terkesan mula memaparkan empat fasa perlakuan atau gejala perbuatan ketara.

"Petanda atau reaksi yang jelas apabila wanita ini sudah tawar hati kepada pasangan mereka akan meluahkan menerusi 4F iaitu 'Fight' (fasa melawan), 'Flight' (fasa mengelak), 'Freeze' (fasa mendiamkan diri atau bersikap dingin) dan Fxxx( fasa mula menjalin hubungan luar untuk kepuasan hati dan nafsu)

"Fight atau fasa melawan biasanya wanita itu akan mengamuk, bergaduh atau memukul suami selain anak-anak. Dalam kes saya pernah terima wanita menunjukkan gejala ini dan bertindak luar kawalan apabila dalam berpantang kerana mendengar berita suami berkahwin lain lalu mahu bertindak mencederakan dan membunuh bayi mereka.

"Ada juga wanita dalam fasa ini bertindak memanjat bumbung rumah dan mengugut untuk membunuh diri sebagai tanda mereka melawan kerana diperlakukan tidak adil oleh pasangan.

"Fasa kedua, Flight iaitu isteri akan membawa diri dan mengabaikan tanggungjawab mereka kepada pasangan dengan melakukan perkara lain. Fasa ketiga, Freeze iaitu sikap membeku si isteri juga antara bentuk protes diperlihatkan apabila mereka berasa tawar hati terhadap pasangan," katanya.

WANITA turut memukul dalam fasa melawan apabila sudah berasa tawar hati dengan pasangan.
WANITA turut memukul dalam fasa melawan apabila sudah berasa tawar hati dengan pasangan.

Dalam membantu wanita yang terkesan atau berada dalam situasi itu, kata Diyana, biasanya golongan itu akan diberi bimbingan terutama kefahaman dalam mengendalikan pasangan dan kehidupan rumah tangga mereka supaya kembali harmoni.

"Antara usaha kami membantu wanita berasa mereka mengalami tawar hati ialah membantu mereka memahami terlebih dahulu tiga aspek penting dalam hubungan perkahwinan.

"Saya akan beri gambaran hubungan suami isteri ini adalah membabitkan penyatuan dua spesies yang berbeza seperti mana ayam dan itik. Untuk rapatkan jurang itulah ilmu yang saya kongsi termasuk ilmu biologi seksualiti pasangan yang mengamalkan hubungan monogami.

"Aspek pengetahuan pertama ini tidak ramai yang tahu dan teori ini hanya dipelajari ketika saya melanjutkan pelajaran di luar negara dan saya kaji serta cuba amalkan sendiri selain kongsi dengan wanita yang pernah mendapatkan khidmat saya. Memang ramai yang pelajari teknik dan amalkan berjaya kembalikan kemesraan dalam hubungan mereka," katanya.

Dua aspek lagi ialah memahami pemikiran suami supaya wanita itu tadi mengamalkan komunikasi setara selain kaedah menjaga dan memulihkan hati iaitu aspek terpenting perlu dikuasai wanita.

Belia juga tidak lupa menekankan wanita yang melalui alam perkahwinan juga perlu mengutamakan keperluan diri. Ia termasuk masa bersendiri dan waktu bersosial dengan kawan sebagai rutin boleh membantu mengurangkan tekanan selepas penat menguruskan keluarga.

WANITA boleh hilang kawalan apabila terkesan dengan sikap pasangan sanggup menduakan dirinya.
WANITA boleh hilang kawalan apabila terkesan dengan sikap pasangan sanggup menduakan dirinya.

"Wanita ini biasanya 'hilang diri' iaitu mengorbankan segala-galanya untuk suami dan anak-anak sebaik sahaja mereka berkahwin. Susulan daripada pengorbanan tinggi, wanita itu mengharapkan pasangan tahu kehendak dan menghargai sedangkan itu perlu diluahkan.

"Nasihat saya kepada setiap pasangan ialah mereka perlu ada waktu sendiri iaitu melakukan perkara yang disukai. Selain itu tidak meninggalkan kelompok rakan baik.

"Antara lain boleh juga membantu wanita ini ialah sentiasa tingkatkan ilmu rumah tangga selain melihat kebaikan pasangan dan mensyukuri fasa kehidupan bersama," katanya.

Rutin menyemai hubungan baik dengan suami itu boleh dimulai dengan kata-kata keramat seperti 'terima kasih,' 'suka dengan pasangan,' 'rasa bertuah' dan sebagainya. Turut disarankan wanita sudah berkahwin untuk zahirkan rasa syukur dapat mengenali dan hidup dengan pasangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 7:00 AM