RAMAI wanita malu untuk melakukan pemeriksaan kanser serviks di klinik atau hospital. - Gambar hiasan
RAMAI wanita malu untuk melakukan pemeriksaan kanser serviks di klinik atau hospital. - Gambar hiasan
Fairul Asmaini Mohd Pilus

UMUM mengetahui bahawa kanser serviks adalah kanser ketiga yang paling banyak dihidapi oleh wanita di negara ini.

Namun entah di mana silapnya, hanya 25 peratus wanita yang layak, melakukan pap smear dari tahun 2013 hingga 2017.

Selebihnya masih dibayangi dengan pelbagai ketakutan, rasa malu selain kurang kesedaran mengenai pemeriksaan kesihatan berkaitan kanser berkenaan.

Bagi mengatasi masalah berkenaan, Yayasan ROSE memilih Digi Omni Hotline sebagai penyedia hotline umum dalam usaha untuk membantu wanita di negara ini mencari sokongan terhadap pemeriksaan kanser serviks.

Program yayasan itu, Removing Obstacles to Cervical ScrEening (ROSE) adalah program pemeriksaan pensampelan diri yang pertama di dunia untuk kanser serviks.

ROSE dilancarkan tahun lalu dan ia bukan sahaja bertujuan membantu wanita di negara ini untuk mengatasi kekangan berkenaan malah menyediakan akses bagi membolehkan mereka melakukan pemeriksaan sendiri.

Walau bagaimanapun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu turut berdepan dengan cabaran terutama membabitkan kewangan dan aspek kecekapan apabila berhubung dengan pesakit serta pelanggan yang sentiasa bergerak.

Ini kerana sebelum ini, kakitangan yayasan itu terpaksa bergantung kepada telefon dan nombor telefon yang berasingan.

YAYASAN ROSE kini menggunakan talian Hotline Omni daripada Digi untuk meluaskan liputan kepada lebih ramai wanita di seluruh negara.
YAYASAN ROSE kini menggunakan talian Hotline Omni daripada Digi untuk meluaskan liputan kepada lebih ramai wanita di seluruh negara.

Malangnya, ia terbukti mahal dan sukar untuk dikendalikan kerana pesakit perlu mendail beberapa nombor yang berbeza untuk mendapatkan bantuan yang diperlukan.

Justeru, dengan adanya Hotline Omni, yayasan terbabit dapat menguruskan panggilan menggunakan aplikasi penyambut tetamu interaktif maya (IVR) dan menghalakan panggilan telefon kepada wakil sokongan pesakit yang bertugas dengan menggunakan hanya satu nombor pejabat.

Pada masa sama, ia turut berupaya untuk menangani pertanyaan secara peribadi melalui telefon dan membantu untuk menghilangkan rasa takut serta malu berkaitan dengan aktiviti pemeriksaan biasa di klinik.

Ketua Pusat Hubungan Yayasan ROSE, Isabelle Tan berkata, dengan memilih Hotline Omni, yayasan itu mampu menyelaraskan operasi sambil meluaskan lagi jangkauan liputan.

“Fleksibiliti Hotline Omni banyak membantu yayasan ini menjangkau lebih ramai wanita. Selain itu, ia juga mudah untuk diwujudkan, diguna dan berpatutan bagi organisasi NGO seperti kami,” katanya.

Menurutnya, yayasan terbabit turut merancang untuk menggunakan ciri penghalaan panggilan hotline itu untuk membantu menyediakan perkhidmatan pesakit yang lebih baik terutama selepas waktu pejabat biasa.

Ia membolehkan panggilan dijawab melalui mel suara atau dengan mengarahkannya kepada wakil yang ditetapkan di luar pejabat secara langsung di telefon bimbit mereka.

PASUKAN Yayasan ROSE yang akan membantu wanita dalam pemeriksaan kanser serviks.
PASUKAN Yayasan ROSE yang akan membantu wanita dalam pemeriksaan kanser serviks.

“Kemudahan itu sekali gus membolehkan yayasan ini dapat diakses lebih ramai wanita pada bila-bila masa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Produk Digi-X, Kathryn Lee berkata, pihaknya bangga dapat menyokong NGO yang berdedikasi dalam membantu menangani isu kesihatan penting di negara ini.

Katanya, fokus utama syarikat telekomunikasi itu adalah untuk menghubungkan orang ramai dengan apa yang penting buat mereka.

“Kami mahu menghubungkan wanita ke platform yang membolehkan mereka mendapatkan sokongan serta mengambil langkah berjaga-jaga dan tindakan yang perlu terhadap salah satu kanser yang paling meluas di kalangan wanita Malaysia.

“Kami percaya, dengan memperkasakan pasukan yayasan berkenaan dengan Hotline Omni, ia tidak langsung memberikan lebih banyak keupayaan kepada mereka untuk meluaskan jangkauan bagi membantu wanita memerlukan di seluruh negara,” katanya.

Untuk maklumat lanjut layari omnihotline.my

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 April 2020 @ 6:13 AM