NUR Liyana. FOTO Rohanis Shukri
NUR Liyana. FOTO Rohanis Shukri
Hafiz Ithnin


MENYARUNG salah satu koleksi terbaik yang dinobatkan sebagai juara di pentas Selangor Modest Fashion Gala 2019, Wan & Mary, mahunya tidak menonjol atlet ragbi wanita kebangsaan, Nur Liyana Rosnam ini di hadapan lensa kamera.

Malah wajah bujur sirih yang ditata hias jurusolek profesional, Feiruz Sohor ternyata menyerlah wajah Nur Liyana.

Sementara itu, si suami yang baru sahaja disatukan dengannya tahun lalu juga salah seorang pemain ragbi kebangsaan, Muhammad Siddiq Amir, setia menunggu di dalam bilik solek. Sampaikan terlena jugalah si buah hati Nur Liyana itu menunggu dua jam dalam proses kami menyiapkan dia untuk menjadi penghias muka depan Wanita Metro (WM).

Tatkala diminta beraksi di hadapan lensa kamera, di awalnya kelihatan sedikit kekok. Mana tidaknya untuk menyuruh seorang yang sememangnya sinonim dengan sukan lasak beraksi penuh kewanitaan, pasti mengambil sedikit masa.

SENTIASA berusaha memberikan yang terbaik dalam pasukan ragbi wanita kebangsaan.
SENTIASA berusaha memberikan yang terbaik dalam pasukan ragbi wanita kebangsaan.

“Wow tak sangka bini aku boleh ‘berposing’ macam ini!,” kata Muhammad Siddiq. Tergelak besar penulis dan jurukamera, Rohanis yang mulanya penuh fokus meminta Nur Liyana terus ‘memberi’ di hadapan lensa kamera.

Tahun ini Nur Liyana baru menganjak usia 29 tahun dan pembabitannya dalam sukan ragbi secara profesional juga masih hijau apabila secara rasmi menjadi atlet negara pada 2018. Namun, perjalanannya sebagai seorang atlet bermula sejak di bangku sekolah lagi.

Sejak 2013, Nur Liyana hanya selesa bermain ragbi sentuh yang sememangnya tidak perlu gusar dengan aksi lasak ditolak atau ditimpa pemain lain untuk merebut bola yang menjadi rebutan dalam sebuah perlawanan.

BERSAMA suami, Muhammad Siddiq yang juga salah seorang ahli pasukan ragbi kebangsaan.
BERSAMA suami, Muhammad Siddiq yang juga salah seorang ahli pasukan ragbi kebangsaan.

Namun, melihat kepada kemampuannya beraksi dalam sukan itu, jurulatihnya mula mengajak Nur Liyana untuk terbabit dalam sukan ragbi secara serius dengan menyertai pasukan ragbi wanita kebangsaan.

“Pada perlawanan kali pertama disertai, posisi saya sebagai ‘winger’ iaitu fungsinya apabila mendapat bola daripada pihak pasukan, kami perlu lari untuk menembusi pertahanan lawan dan menghasilkan mata untuk pasukan.

“Paling melucukan ketika itu saya masih takut untuk bertindak dan kadangkala ‘bersembunyi’ di belakang rakan pasukan kerana risau diserang secara kasar oleh pihak lawan,” katanya.

Namun, latihan dan semangat diberi rakan seperjuangan kini dari posisi ‘winger,’ Nur Liyana diberi kepercayaan untuk berada di posisi ‘hooker’ iaitu seseorang pemain itu perlu mempunyai kekuatan fizikal untuk menahan dan berada di barisan depan.

KEPANTASAN  Nur Liyana
KEPANTASAN Nur Liyana

Memandangkan Muhammad Siddiq juga salah seorang atlet ragbi kebangsaan, pastinya rasa ‘tertekan’ apabila si suami tidak pernah leka menonton dan menilai aksinya di atas padang.

Nur Liyana berkata, apabila pasangan terbabit dalam sukan yang sama sememangnya agak menarik kerana suami lebih faham dengan minat sukan yang ingin disertainya.

“Sebenarnya Muhammad Siddiq agak serius apabila berlatih. Apabila saya melakukan kesilapan di atas padang bukan sahaja jurulatih yang memberikan komen untuk kami terus beraksi dengan baik tetapi suami juga arif mengenai selok-belok permainan ini menjadi pengkritik tetap sehingga ke rumah!,” katanya yang menjalani latihan intensif tiga ke empat jam sehari.

BERSAMA rakan sepasukan yang berjaya mengharumkan nama negara.
BERSAMA rakan sepasukan yang berjaya mengharumkan nama negara.

Graduan Sarjana Pengurusan, Perniagaan dan Pentadbiran Universiti Putra Malaysia (UPM) itu juga memaklumkan, kekuatan pasukan ragbi wanita negara bukan sesuatu yang boleh dipertikaikan kerana mereka berada di dalam tujuh terbaik di Asia dan kedudukan ketiga di Asia Tenggara.

Liyana berpendapat sebenarnya sukan ragbi bukanlah sesuatu yang digambarkan terlalu lasak kerana setiap pemainnya perlu mempunyai kemahiran yang perlu mereka kuasai bagi mengelakkan kecederaan.

Katanya, dia amat menggalakkan lebih ramai wanita terutama pelapis muda di peringkat sekolah menyertai sukan ragbi kerana ia dapat membantu bukan sahaja

menguatkan fizikal dan mental malah mempunyai gaya hidup yang baik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Februari 2020 @ 6:00 AM