USIA bukan penghalang. FOTO Fadli Hamzah & Khairul Syahmi Kasmo
USIA bukan penghalang. FOTO Fadli Hamzah & Khairul Syahmi Kasmo
Muhamaad Razis Ismail

USIANYA baharu sahaja mencecah 10 tahun namun kelincahan aksinya berada di atas padang menggambarkan kanak-kanak perempuan ini memiliki bakat besar dalam sukan ragbi negara ini.

Apa tidaknya Khairunnajah Khairul Syahmi mula berjinak-jinak dengan sukan ragbi sentuh sejak berusia enam tahun lagi.

Kini, dia sudah beraksi dalam banyak kejohanan di dalam mahupun di luar negara bersama kelab ragbi Musketeers Malaysia.

Antara kejohanan yang pernah disertai termasuk Tanglin Mini Rugby Club Cup, Singapura (johan shield) pada 2016, Tanglin Mini Rugby Club Cup 2017, Singapura (johan plate), 2017 dan KLS International 2017.

Penulis sendiri berkesempatan melihat aksi anak bongsu daripada dua beradik ini menjalani latihan di Padang Sintetik Presint 8, Putrajaya.

SEBAHAGIAN pingat yang dimenangi. FOTO Fadli Hamzah & Khairul Syahmi Kasmo
SEBAHAGIAN pingat yang dimenangi. FOTO Fadli Hamzah & Khairul Syahmi Kasmo

MAHU pergi lebih jauh. FOTO Fadli Hamzah & Khairul Syahmi Kasmo
MAHU pergi lebih jauh. FOTO Fadli Hamzah & Khairul Syahmi Kasmo

Apabila ditemu bual, Khairunnajah atau lebih dikenali sebagai Najah tidak kekok menceritakan minatnya terhadap sukan yang didominasi lelaki.

Najah berkata, dia sangat meminati sukan ragbi sejak kecil selepas sering mengikut bapanya Khairul Syahmi Kamso, 40, melihat abangnya Muhammad Ahnaf, 13, yang turut menyertai sukan ragbi.

"Sejak daripada itu, saya sangat meminati sukan itu sehingga kini.

"Biarpun nampak agak lasak, ragbi adalah sukan yang sangat menyeronokkan. Selain baik untuk kesihatan, saya dapat tambah rakan baru di dalam mahu pun di luar negara," katanya yang bercita-cita menjadi saintis.

Murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Taman Seroja, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang ini berkata, di sekolah dia bertugas sebagai pengawas selain aktif dengan aktiviti ko kurikulum serta sukan lain.

"Biarpun aktif di sekolah, saya akan dahulu pelajaran dengan pastikan semua kerja sekolah disiapkan lebih awal.

BERSAMA rakan sepasukan. FOTO Fadli Hamzah & Khairul Syahmi Kasmo
BERSAMA rakan sepasukan. FOTO Fadli Hamzah & Khairul Syahmi Kasmo

"Bapa dan ibu pun galakkan saya sentiasa aktif di sekolah dan selalu pesan supaya tidak abaikan pelajaran," katanya.

Bapanya, Khairul Syahmi berkata, dia sentiasa memberi sokongan dan galakan terhadap minat anaknya dalam apa jua bidang yang ingin ceburi.

"Saya dan ibunya cuba bantu penuhi minat anak termasuk menyediakan kelengkapan, membawa mereka datang ke latihan dan pertandingan.

"Di samping itu, saya selalu kepada mereka supaya kekal fokus kepada pelajaran masing-masing," katanya.

Menurutnya, dia lebih suka melihat sukan ini daripada sudut lain yang boleh membentuk karakter kanak-kanak.

"Seperti Najah sendiri, saya lihat dia memiliki keyakinan diri yang tinggi, berani dan semangat kerja berpasukan," katanya.

BAPA sering memberi dorongan dan galakan. FOTO Fadli Hamzah & Khairul Syahmi Kasmo
BAPA sering memberi dorongan dan galakan. FOTO Fadli Hamzah & Khairul Syahmi Kasmo

Sementara itu, Ketua Jurulatih Musketeers Malaysia, Mohd Nasir Zakaria, 36, berkata, Najah memiliki potensi besar untuk menjadi pemain ragbi berjaya di masa hadapan.

"Dia memiliki bakat kerana didedahkan dengan sukan ini sejak dari kecil. Biarpun masih muda, dia sudah berjaya kuasai teknik bermain sekali gus membawa pasukan ke peringkat lebih tinggi.

"Setiap posisi Najah ditempatkan, dia mampu memainkan peranan yang diberikan. Najah juga memiliki semangat juang yang tinggi dan mampu membimbing rakan dalam pasukan," katanya.

Beliau berkata, selain itu, ibu bapa yang sentiasa memberi dorongan banyak membantu perkembangan Najah di dalam pasukan.

"Ibu bapanya antara yang cukup aktif menjadi sukarelawan membantu pasukan ini. Perkara positif seperti ini sewajarnya dicontohi ibu bapa lain.

"Objektif utama, kelab sukan ini ditubuhkan yang bukan sahaja menjadi satu platform untuk amalkan gaya hidup sihat dan aktif secara konsisten pada hujung minggu malah menjadi ibu bapa peserta sebagai keluarga besar pasukan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 7:00 AM