Oleh Intan Mas Ayu Shahimi


MENGEKALKAN disiplin dalam soal pemilihan pemakanan bukan mudah. Tambahan pula, banyak juadah unik dan menarik sentiasa tular di laman media sosial.

Terpulang kepada individu sama ada mahu mencuba atau tidak. Lazimnya, resipi yang tular bersifat tinggi kalori, gula dan lemak. Ia lebih kepada makanan untuk menyenangkan dan menenangkan seseorang atau di sebut comfort food.

Sama halnya dengan sandwic wanpaku yang resipinya kini menjadi tumpuan ramai. Sandwic ini berasal dari Jepun dan cukup popular di sana.

Resipi asalnya hanya mengandungi sayuran mentah pelbagai warna, sebiji telur rebus dan perasa. Bahan-bahan ini kemudian diapit dengan dua keping roti, menjadikannya hidangan sihat dan lengkap.

Bagaimanapun, kreativiti masyarakat Malaysia dalam mengubah suai rasa dan rupa makanan sukar dinafikan. Ada yang menambah keju, pelbagai sos, sambal tumis, daging perap bakar, kepingan ayam goreng, mentega dan sebagainya.

SANDWIC wanpaku
SANDWIC wanpaku

Hasilnya, makanan yang sepatutnya mempunyai nilai kalori rendah nampak sihat dari sudut warna sayur-sayuran saja. Jumlah pengambilan sandwic pula jadi berlebihan disebabkan penambahan 'aksesori' di dalamnya.

Kata Pengusaha Sandwic Wanpakulicious, Murni Ramli, setiap pembeli biasanya punya ragam dan selera tersendiri. Ada yang gemarkan sandwic sihat dan ada juga yang sukakan paduan pelbagai rasa dalam satu hidangan.

"Saya lebih suka menggunakan sayuran segar untuk membuat sandwic. Kemudian, pembeli boleh pilih sama ada mahu ayam panggang, tuna atau udang.

"Bagi mereka yang mahukan snek ringkas, saya juga sediakan kepingan ayam, sosej atau jejari ketam. Pendek kata, hidangan ini boleh diubah suai mengikut keperluan diet individu.

"Kadangkala ada yang pilih sandwic untuk makan secara sihat. Tapi, ada juga yang sekadar teringin untuk mencuba menu baru yang tular di media sosial. Lebih penting, ia mengenyangkan," katanya.

Kepada yang ingin mencuba hidangan sihat, Murni menunjukkan cara penyediaan sandwic wanpaku yang enak!

Bahan-bahan

- 2 keping roti gandum penuh

- 1/4 cawan salad (dihiris halus)

- 1/4 cawan kubis ungu (dihiris halus)

- 1/4 cawan lobak (dihiris halus)

- 3 keping hirisan tomato

- 5 keping hirisan timun

- 1 biji telur (digoreng)

- 1 keping dada ayam (diperap dengan bawang putih, lada hitam, sedikit garam dan madu, kemudian dipanggang sebelum dihiris)

- 1 sudu salad kol (coleslaw)

- Sedikit marjerin/ mayonis

SAPU marjerin pada kepingan roti pertama dan susun salad, kubis serta hirisan lobak.
SAPU marjerin pada kepingan roti pertama dan susun salad, kubis serta hirisan lobak.

BAHAGIKAN kepada dua bahagian.
BAHAGIKAN kepada dua bahagian.

SANDWIC wanpaku siap untuk dimakan.
SANDWIC wanpaku siap untuk dimakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Disember 2019 @ 5:00 AM