2 resipi istimewa saba mudah disediakan tapi enak untuk dicuba.
2 resipi istimewa saba mudah disediakan tapi enak untuk dicuba.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin


SESEKALI seronok juga mencuba resipi kreatif untuk hidangan keluarga khususnya pada hujung minggu. Meskipun bukan resipi ciptaan sendiri, ia boleh diolah dan ditokok tambah mengikut cita rasa kita dan selera anak.

Bagi penggemar ikan tuna, bolehlah mencuba Saba Mackerel Flakes dari Ayam Brand bagi memberi kelainan kepada hidangan hari cuti anda.

Saba adalah perkataan Jepun yang bermakna mackerel Pasifik. Ia adalah makanan ruji masyarakat Jepun yang popular kerana khasiatnya, harga yang berpatutan dan keenakan rasanya. Mackerel saba kaya protein, vitamin, mineral, asid lemak omega-3 EPA dan DHA. Di Malaysia, ikan saba panggang menjadi hidangan kegemaran di restoran Jepun.

Berdasarkan artikel dari Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat, amalan pemakanan yang kaya omega-3 dikaitkan dengan proses penuaan sihat seperti di Jepun yang mempunyai jangka hayat terpanjang di dunia.

Oleh kerana tubuh kita tidak menghasilkan asid lemak omega-3, ia perlu diambil daripada sumber semula jadi seperti makanan laut. Mackerel saba mempunyai hampir 50 peratus kandungan omega-3 berbanding hidangan tuna yang serupa.

Omega-3 boleh mendorong kesihatan otak ketika kehamilan dan kitaran awal janin kerana ia penting untuk pertumbuhan otak dan perkembangan bayi. Mendapat omega-3 yang mencukupi semasa hamil dikaitkan dengan pelbagai manfaat kepada anak termasuk kepintaran yang lebih tinggi, komunikasi dan kemahiran sosial lebih baik, kurangnya masalah tingkah laku serta pengurangan risiko tumbesaran terbantut.

Walaupun bukan mudah untuk mendapatkan ikan mackerel saba di sini, jangan susah hati kerana kini Ayam Brand membawakan tiga pilihan rasa kepingan saba iaitu Cili, Minyak Zaitun Dara dan Mayonis yang dihasilkan mengikut cita rasa tempatan yang sedia untuk dimakan.

Ia boleh dijadikan lauk bersama hidangan nasi panas atau digulung bersama nasi dan membalutnya dengan rumpai laut kering bagi menghasilkan onigiri, dijadikan inti sandwic, digaul bersama pasta mahupun ditabur di atas piza.

Dikongsikan dua resipi istimewa saba yang mudah, tetapi enak untuk dicuba.

KEK KELEDEK (4 hidangan)

Bahan:

- 1 tin Saba Mackerel Chili

- 400g ubi keledek dikupas (dikukus atau dibakar)

- 100g kubis, dihiris nipis

- 100g bawang, dihiris

- 100g lobak merah, parut

- 2 tangkai daun bawang, dihiris

- 3 biji telur

- 1 sudu tepung jagung

Cara:

1. Lenyekkan saba, keledek, kubis, lobak merah, bawang kuning dan daun bawang.

2. Dalam mangkuk lain, kacau telur bersama tepung jagung.

3. Bentukkan campuran saba menjadi empat keping kek bulat. Ratakan sehingga dalam ketebalan dua sentimeter.

4. Gris kuali dan panaskan pada kepanasan sederhana.

5. Celupkan kepingan kek dalam campuran telur dan goreng sampai kuning keemasan. Angkat dan hidangkan bersama sos cili.

MI sup pedas saba
MI sup pedas saba

Mi sup pedas saba (4 hidangan)

Bahan:

- 200g mi

- 1 tangkai serai

- 4 helai daun bawang, dihiris

- 8 tangkai daun ketumbar, dihiris

- 2 liter stok ikan

- 270ml santan

- 2 tin Saba Mackerel Chili

Cara:

1. Celur mi hingga lembut, tos dan ketepikan.

2. Potong bahagian bawah serai lebih kurang 10 sentimeter dan buang lebihan bahagian atas.

3. Masukkan serai, daun bawang dan sos ikan dalam stok ikan. Masak hingga mendidih.

3. Masukkan mi, daun ketumbar, santan dan saba.

4. Kecilkan api dan biarkan selama dua minit. Keluarkan serai sebelum dihidang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Disember 2019 @ 5:10 AM