SAJIAN roti adalah pilihan sajian karbohidrat kegemaran rakyat tempatan selain nasi.
SAJIAN roti adalah pilihan sajian karbohidrat kegemaran rakyat tempatan selain nasi.
Nurul Husna Mahmud

ROTI mendekati tarikh luput biasanya memiliki tekstur kering dan keras.

Keadaan itu menyebabkan ia tidak lagi sesuai dijamah bersama sapuan kaya atau mentega.

Akhirnya roti terbuang begitu sahaja. Sedangkan ada pelbagai resipi boleh dihasilkan menggunakan lebihan atau baki roti terbabit.

Roti yang keras atau lebihan selepas dipotong sebenarnya boleh dihidangkan sebagai 'base' atau bahan dasar seperti hidangan pizza atau puding.

Sebaik dicampur dengan ramuan lain yang boleh melembutkan tekstur seperti direndam susu atau menggunakan telur, roti itu tadi menjadi 'base.'

Selain itu, boleh juga menjadi elemen 'perangup' atau penambah tekstur seperti 'kruton' dalam salad atau sebagai serbuk roti.

Ini memberi profil rasa unik dari segi ramuan sampingan dalam penyediaan hidangan salad.

Penggunaan roti bukan sekadar sumber makanan yang membekalkan karbohidrat dalam sajian harian turut memiliki fungsi lain apabila dijadikan ramuan bagi sesuatu resipi.

ROTI keras boleh dijadikan kruton (sebagai ramuan dalam salad).
ROTI keras boleh dijadikan kruton (sebagai ramuan dalam salad).

Roti boleh menjadi pemekat atau pelembut dalam penyediaan hidangan lain antaranya dalam menu klasik British iaitu sos roti atau cucur udang.

Olahan resipi dengan menambah sumber makanan itu menjadikan tekstur sajian disediakan terutama menu bertepung lebih lembut.

Di sini dikongsikan beberapa menu atau penyediaan hidangan baharu menggunakan roti sudah kering atau keras.

1. Sos klasik roti

Bahan-bahannya:

- Satu labu bawang Bombay atau bawang kuning

- 16 ulas bunga cengkih ( jika tidak suka boleh diganti dengan 1 sudu besar serbuk buah pala)

- Lapan biji lada hitam

- Satu daun bay

- Dua cawan susu

- 100 gram roti (sudah dipotong kecil atau dikisar halus)

- Dua sudu besar krim masakan

- Dua sudu besar mentega

Kaedah penyediaannya:

- Panaskan susu dalam mangkuk kecil. Gunakan api kecil.

- Potong bawang Bombay kepada dua bahagian dan masukkan bunga cengkih atau serbuk buah pala dalam mangkuk berisi susu.

- Kacau dan elakkan mendidih. Masukkan lada hitam dan daun bay.

- Masukkan roti dan mentega. Kacau sehingga semua bahan sebati dan pekat.

MENARIK idea roti terbuang atau baki roti boleh jadi pemekat dalam sos tertentu.
MENARIK idea roti terbuang atau baki roti boleh jadi pemekat dalam sos tertentu.

2. Salad roti

Bahan-bahannya:

- 100 gram roti atau satu mangkuk kecil

- Tomato ceri (satu cawan)

- Salad

- Oregano

- Cuka

- Garam secukup rasa.

- Tiga sudu besar minyak zaitun

Kaedah Penyediaannya:

- Bakar roti sehingga rangup.

- Sediakan campuran salad seperti tomato dan pelbagai jenis salad. Masukkan garam.

- Campurkan salad dan roti. Masukkan satu sudu cuka dan minyak zaitun. Gaulkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 6:30 AM