KELUARGA Zamri bersantai di ruang tamu.
KELUARGA Zamri bersantai di ruang tamu.
Khairul Najib Asarulah Khan


Setiap kali ke luar negara pasti kita ke lokasi menarik untuk dilawati, namun sebuah keluarga menjadikan perpustakaan sebagai tempat wajib singgah mereka.

Pasangan Zamri Misman dan isterinya Nor Azzah Momin masing-masing berusia 45 tahun bersama empat anak mereka iaitu Muhammad Syafiq, 19, Syifa, 18, Balqis, 14, dan Muhammad Bazli, 11, tidak akan melepaskan peluang untuk singgah ke gedung ilmu itu tidak kira di dalam atau luar negara.

Bagai membosankan, namun ia menjadi perkara biasa bagi keluarga ini yang cintakan bahan bacaan hingga ruang tamu rumah di Nilai Impian, Nilai, Negeri Sembilan disusun dengan rak berisi lebih 4,000 buku. Ia terdiri daripada pelbagai jenis bahan bacaan daripada ringan hinggalah berat.

Zamri yang berkhidmat sebagai Pengarah Pengurusan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia berkata, sejak kecil dia minat membaca.

Katanya, sewaktu zaman persekolahan dia hanya mampu meminjam buku di Perpustakaan Desa di kampungnya di Felda Bukit Senggeh, Jasin, Melaka.

“Semasa melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam jurusan Sarjana Muda Undang-undang (Kepujian) saya mula menyimpan serba sedikit buku yang dibeli hasil daripada duit simpanan.

“Ketika sudah bekerja saya dapat memuaskan minat ini dengan membeli buku diminati setiap minggu.

“Selepas berkahwin, buku semakin bertimbun ditambah pula isteri turut mempunyai minat yang sama begitu juga empat cahaya mata kami,” katanya.

Menurutnya, tabiat mengawal perbelanjaan membuatkan setiap tahun dia memperuntukkan RM4,000 untuk ahli keluarganya membeli bahan bacaan.

“Saya dan isteri serta anak tidak akan melepaskan peluang mengunjungi kedai buku atau pesta buku untuk membeli bahan bacaan yang diminati masing-masing.

“Disebabkan buku semakin banyak saya turut memperuntukkan RM20,000 untuk ubah suai rumah dengan membuat rak buku di ruang tamu dan di sudut tertentu,” katanya.

Zamri berkata, dalam memudahkan mencari buku di rumah, isterinya yang berkhidmat sebagai pustakawan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) turut melabel setiap buku dengan menggunakan standard seperti di perpustakaan.

“Setiap buku itu juga boleh dicari menerusi sistem komputer dengan menggunakan perisian Microsoft Exe. Dahulu, kami hanya menggunakan sistem buku log di mana semua buku yang ada akan direkodkan di dalam buku log, namun kini lebih mudah dengan menggunakan perisian terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2017 @ 3:36 AM