DR Mohd Azlan (dua dari kanan) menyerahkan bakul buku kepada Chaharis di warung makanan perumahan KEDA Teluk Berembang, Pulau Tuba.
DR Mohd Azlan (dua dari kanan) menyerahkan bakul buku kepada Chaharis di warung makanan perumahan KEDA Teluk Berembang, Pulau Tuba.
Suliati Asri


Melihat kepentingan memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) menggerakkan kempen Projek Bakul Buku, program berbentuk tanggungjawab sosial korporat yang menyalurkan sumbangan bakul berisi bahan bacaan.

Timbalan Pengarah UCTC UPSI, Dr Mohd Azlan Nafiah berkata, amalan membaca membantu penjanaan dan penyebaran ilmu selain ia adalah aktiviti yang mudah dilaksanakan serta berupaya merehatkan minda jika tahu cara menikmatinya.

Katanya, bakul buku itu akan disumbangkan kepada pengusaha restoran, warung kopi dan premis perniagaan berunsur perkhidmatan seperti salun rambut dan bengkel kereta untuk diletakkan di ruang niaga mereka sebagai nilai tambah pelanggan sambil menggalakkan masyarakat membaca.

"Peralihan fasa endemik menyaksikan pemulihan sektor ekonomi di tanah air, menjadikan premis makanan antara lokasi tumpuan penduduk setempat menjamu selera.

"Ketika pelanggan sedang menunggu sajian makanan yang dipesan terhidang, ada kebarangkalian pelanggan ini mengambil dan membelek bahan bacaan dalam bakul buku.

"Justeru, sukarelawan UPSI yang terdiri daripada pelbagai jabatan dan fakulti antaranya pegawai Perpustakaan Tuanku Bainun dan petugas sukarelawan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) UPSI sudah mengedarkan beberapa bakul buku di premis perniagaan seperti warung kopi dan kedai makan di sekitar perkampungan Pulau Tuba, Kedah sebagai projek rintis program berkenaan," katanya.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff pula berkata, kebanyakan bahan bacaan yang dimuatkan dalam bakul buku adalah buku bergambar, komik, majalah dan pelbagai buku beraneka genre yang mampu menarik minat pelbagai lapisan masyarakat.

"Pemilihan kandungan judul buku dan majalah turut mendapat saranan daripada pakar rujuk Perpustakaan Tuanku Bainun UPSI.

SUKARELAWAN UCTC UPSI memasukkan bahan bacaan dalam bakul buku untuk disumbangkan di kawasan sekitar tumpuan penduduk Pulau Tuba.
SUKARELAWAN UCTC UPSI memasukkan bahan bacaan dalam bakul buku untuk disumbangkan di kawasan sekitar tumpuan penduduk Pulau Tuba.

"Di Pulau Tuba misalnya, ia adalah penempatan kecil masyarakat nelayan yang kurang capaian untuk mendapatkan buku atau bahan bacaan yang menarik dan berkualiti.

"Jadi, dengan adanya inisiatif seperti ini, ia sekali gus dapat menyokong hasrat Kementerian Pengajian Tinggi untuk memasyarakatkan universiti (U4S) serta dapat melestarikan perkembangan pendidikan negara," katanya.

Sementara itu, rata-rata penduduk menyambut baik usaha Projek Bakul Buku UPSI.

Pengusaha warung kedai makanan ringan kawasan perumahan KEDA, Teluk Berembang, Chaharis Kamis menyifatkan program itu sebagai penggalak kepada budaya membaca penduduk kawasan terbabit.

"Warung saya menyajikan makanan ringan serendah RM1 dan beroperasi seawal pukul 8 pagi hingga 7 malam. Rata-rata pelanggan adalah terdiri daripada anak-anak penduduk akan beli makanan.

"Oleh itu, jika mereka berminat nak membaca, mereka boleh ambil buku dalam bakul dan membaca mana satu yang mereka suka," katanya.

Bagi pengusaha warung makanan, Nurin Syazia pula berpendapat usaha yang dilaksanakan wajar dipuji, lebih-lebih lagi kebanyakan pelanggannya terdiri daripada anak-anak penduduk sekitar yang banyak menghabiskan masa dengan gajet ketika makan di warung.

ANAK-anak penduduk kawasan perumahan KEDA, Teluk Berembang sedang asyik membaca komik dan buku yang berada dalam bakul.
ANAK-anak penduduk kawasan perumahan KEDA, Teluk Berembang sedang asyik membaca komik dan buku yang berada dalam bakul.

"Dengan adanya buku dan majalah di warung saya, mereka boleh duduk membaca bahan bacaan yang bermanfaat. Tidaklah mereka leka bermain gajet saja," katanya.

UCTC UPSI akan terus gerakkan kempen seumpama dengan meletakkan lebih banyak bakul buku di kawasan komuniti seluruh negara dalam siri program jelajah khidmat komuniti pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 6:10 AM