PENGGIAT kesihatan risau kandungan gula dan kalori terlalutinggi dalam minuman.
PENGGIAT kesihatan risau kandungan gula dan kalori terlalutinggi dalam minuman.
Siti Zarinah Sahib


RAMAI sanggup beratur panjang semata-mata mendapatkan secawan teh susu atau lebih dikenali dengan nama teh bubble, teh boba atau teh pearl milk.

Walaupun harganya agak mahal antara RM10 hingga RM15 secawan, rata-rata penggemar tidak kisah mendapatkannya disebabkan kuasa tular dan menjadi trend terkini golongan remaja.

Teh boba pada dasarnya adalah minuman teh susu yang diletakkan bebola ubi kayu atau tapioka yang memiliki tekstur kenyal dipanggil boba. Manisan ini biasanya diolah dengan gula perang bagi memberikan rasa manis dan berwarna hitam.

Namun terdapat kerisauan dalam kalangan penggiat kesihatan apabila memikirkan kandungan gula dan kalori yang terlalu tinggi dalam minuman ini.

Lebih membimbangkan apabila di China terdapat kes gadis berusia 19 tahun menemui ajal selepas menikmati teh boba. Selepas pemeriksaan, pakar perubatan menemui cebisan bebola boba yang tidak dikunyah dengan baik tersekat dalam salur pencernaannya.

Bebola boba diperbuat daripada tepung tapioka yang kenyal dan sukar dicerna. Ditambah lagi, kebanyakan bebola boba dibuat menggunakan bahan pengental dan pengawet yang membuatkan ia perlu dikunyah dengan betul ketika mengambilnya.

MANIS dan berlemak.
MANIS dan berlemak.

Di Malaysia minuman ini sememangnya menjadi kesukaan semua sama ada remaja atau dewasa dan bagi jurusolek Yann Rifft, 47, dia mula mengenali teh boba selepas ditularkan di Instagram.

“Teringin mencuba selepas kawan memuat naik di Instagram. Minum kali pertama sedap juga, sebab rasa manis dan boba yang kenyal membuatkan ia seronok dikunyah.

“Kadang-kadang apabila ‘gian’, selang sehari saya mendapatkannya. Tetapi selepas menonton pelbagai video tular mengenai teh ini yang dikatakan mengundang penyakit, saya mula mengurangkannya,” katanya.

Peragawati Fatin Norfarhana Azmi, 26, mengakui dia juga penggemar teh boba dan akan mendapatkan minuman ini sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali seminggu.

Walaupun harga secawan mencecah RM15, ia tidak menjadi masalah asalkan dapat menikmati minuman kesukaannya.

“Memang rasa ketagih dengan rasanya. Saya mencuba pelbagai perisa teh boba dan yang paling mahal berharga RM15,” katanya mengakui harga yang agak mahal tidak mampu menyekat keinginan untuk menikmatinya setiap minggu.

SEDAP TAPI MUDARAT

Menurut Pegawai Dietetik Klinik Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Muhamad Farid Sani, minuman manis sememangnya menjadi kegemaran rakyat Malaysia. Justeru apabila ia ditularkan di media sosial, ramai teringin menikmatinya kerana rupa luarannya sangat ‘menggiurkan’.

Namun apa yang perlu diberi perhatian adalah bahan di dalamnya. Umum sedia maklum saiz minuman ini biasanya lebih daripada ukuran standard iaitu 200 hingga 250 mililiter (ml) untuk satu hidangan.

“Kebiasaannya saiz cawan teh boba boleh mencecah dua kali ganda iaitu 400 hingga 500ml. Jadi, sudah pasti kandungan gula, lemak dan kalori di dalamnya jauh lebih tinggi,” katanya.

Apa yang dirisaukan adalah kandungan gula di dalamnya yang berbeza mengikut bahan digunakan. Memandangkan saiz hidangannya besar, kandungan gula juga lebih tinggi.

“Menurut kajian, kandungan gula secawan minuman adalah lapan sudu teh dan boleh mencecah hingga 20 sudu teh gula (bagi cawan 500 ml). Jika secawan (200 hingga 250ml) kandungan gula boleh mencapai di antara empat hingga 10 sudu teh gula.

BEBOLA boba kenyal dan perlu dikunyah dengan betul.
BEBOLA boba kenyal dan perlu dikunyah dengan betul.

KETAGIHAN MANIS

Menurut Farid minuman ini tidak sesuai untuk bayi di bawah umur setahun kerana mereka seharusnya mengambil makanan semula jadi sahaja.

Namun ini bukan bermakna orang berusia lebih daripada setahun boleh mengambil gula secara berlebihan.

Pengambilan gula berlebihan memang boleh meningkatkan berat badan, tidak kira berapa pun usia kita. Malah ia turut meningkatkan risiko mengalami kesan buruk bagi pesakit diabetes dan individu yang memang alami masalah berat badan berlebihan serta tidak aktif secara fizikal.

“Bagi pesakit diabetes, pengambilan gula berlebihan terutama gula ringkas akan meningkatkan tahap gula dalam darah.

Mungkin ramai tidak sedar minuman popular ini ada yang mengandungi lemak.

“Gula dan lemak adalah dua bahan yang memang meningkatkan berat badan. Obesiti dan tahap gula dalam darah yang tinggi akan memburukkan kawalan gula secara keseluruhan. Seterusnya ia akan mendedahkan pesakit kepada risiko komplikasi jika tahap gula tidak terkawal,” jelasnya.

Katanya lagi, rasa manis memang boleh menyebabkan ketagihan. Tidak hairanlah jika penggemar minuman ini sukar meninggalkannya disebabkan rasanya manis dan berlemak.

Tetapi bukan mudah menghalang seseorang menghentikan terus daripada menikmati minuman ini. Dalam prinsip asas pemakanan tiada istilah makanan atau minuman yang tidak boleh diambil. Apa yang penting ialah mengawal kuantiti dan kekerapan pengambilannya.

ATASI KETAGIHAN MINUMAN MANIS

1. Pilih versi kurang gula kerana ada versi 25 peratus atau 50 peratus kurang gula.

2. Kurangkan kuantiti. Biasanya minuman ini disajikan dalam cawan besar 400 hingga 500ml, jadi ia boleh dikongsi bersama kawan atau keluarga.

3. Paling utama kurangkan kekerapan. Sebenarnya badan kita tidak memerlukan gula (kerana ia boleh diperoleh daripada sumber karbohidrat). Jadi hadkan pengambilan minuman manis dan tidak sepatutnya diambil setiap hari.

4. Kurangkan pengambilan minuman manis dengan membuat sendiri minuman anda. Hadkan jumlah gula kepada satu atau dua sudu teh sahaja.

5. Boleh gunakan pemanis semula jadi seperti stevia atau serbuk kulit kayu manis sebagai ganti manisan.

6. Jika anda banyak minum minuman manis, pengambilan banyak air kosong tidak akan berkesan untuk ‘menyucikan’ kandungan gula dalam tubuh. Ia hanya mitos semata-mata. Minum banyak air kosong tidak menghilangkan jumlah gula yang anda ambil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 September 2019 @ 5:20 AM