BUAH-BUAHAN mengandungi gula semula jadi.
BUAH-BUAHAN mengandungi gula semula jadi.
KENALI beraneka jenis gula.
KENALI beraneka jenis gula.

Peralihan pemakanan anak kepada makanan pepejal adalah detik indah buat ibu bapa walaupun hakikatnya ia memberi tekanan kerana ia akan menguji daya kreativiti dan kesabaran ibu bapa.

Ketika inilah anak anda boleh beralih daripada diet seimbang seperti puri buah-buahan, bijirin dan sayur-sayuran kepada diet bercampur makanan ringan, minuman bergas serta makanan diproses yang kebanyakannya sarat dengan gula.

Gula semula jadi seperti dalam buah-buahan dan susu mempunyai kalori dan khasiat. Sebaliknya gula tambahan hanya mengandungi kalori tanpa khasiat. Oleh itu, gula tambahan juga disebut sebagai sumber ‘kalori kosong’.

Garis Panduan Diet Malaysia (MDG) untuk Kanak-kanak dan Remaja 2013 menyarankan agar mengambil makanan dan minuman yang mengandungi kandungan gula yang rendah. Jumlah gula tambahan yang disyorkan setiap hari untuk kanak-kanak berumur dua hingga enam tahun adalah tidak lebih tiga sudu teh dan bagi kanak-kanak berusia tujuh hingga 10 tahun pula tidak melebihi empat sudu teh.

Pun begitu, secara purata kanak-kanak prasekolah di Malaysia mengambil 7.6 sudu teh gula setiap hari. Jika ibu bapa diberikan pengetahuan untuk mengenal pasti di mana gula ini tersembunyi, lebih mudah mereka memantau pengambilan gula harian si anak.

Antara makanan yang mengandungi gula tambahan adalah seperti biskut, bijirin, sos pasta, kek, coklat, gula-gula, minuman bergas dan jus buah-buahan. Tahukah anda, satu tin minuman ringan mengandungi lebih kurang lima sudu teh gula? Selain kes obesiti yang semakin meningkat, gula juga mempunyai kesan ang boleh dilihat dengan jelas.

Mengapakah pengambilan gula berlebihan tidak baik untuk kanak-kanak?

• Jika makanan manis dan bergula diperkenalkan kepada kanak-kanak terlalu awal, mereka akan lebih cenderung memilih makanan dan minuman manis dalam diet seharian. Manakala, kanak-kanak yang sering mengambil lebih buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan sihat tidak akan terlalu memilih dan cerewet.

• Gula mencetuskan keinginan untuk mengambil lebih banyak lagi makanan manis dan ini akan menjadi satu kitaran yang tidak sihat.

• Gula tidak baik untuk gigi kerana ia menggalakkan pertumbuhan bakteria yang tidak baik di dalam mulut dan boleh menyebabkan kerosakan gigi.

Kajian menunjukkan kesan gula tambahan ke atas kanak-kanak boleh dikurangkan dengan mengelakkan pengambilan makanan yang ada gula tambahan dalam diet seharian mereka. Sebaliknya, ibu bapa boleh menggantikannya dengan karbohidrat lain seperti roti, pasta dan nasi. Pada masa sama langkah ini dapat mengawal berat badan dan pengambilan kalori mereka.

Tetapi pertama sekali, ibu bapa perlu mengambil inisiatif dan bertanggungjawab untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai cara mengenal pasti gula tambahan dalam makanan.

Kebanyakan ibu bapa tidak sedar sesetengah susu tepung rumusan kanak-kanak juga mengandungi gula tambahan. Apabila kanak-kanak kerap diberikan susu tepung ini, kemungkinan gula tambahan yang diambil sudah melebihi jumlah maksimum iaitu tiga sudu teh sehari.

Membuat keputusan mengenai pemakanan yang sihat sebenarnya memerlukan pengetahuan yang mudah iaitu bagaimana memeriksa kandungan gula pada label makanan. Kebanyakan gula tambahan tidak ketara kerana ia dinyatakan pada pek makanan dan minuman dalam pelbagai nama.

Terdapat sekurang-kurangnya 61 nama yang berbeza untuk gula yang disenaraikan pada label makanan. Antara contoh yang lazim ialah fruktosa, gula perang, maltodekstrin, dekstrosa, sukrosa, sirap jagung pepejal, sirap glukosa pepejal dan gula putih.

Walaupun namanya berbeza, semuanya adalah gula tambahan. Bahan yang terkandung dalam makanan atau minuman disenaraikan mengikut jumlahnya daripada tertinggi hingga terendah.

Jadi, sekiranya gula disenaraikan pada awal senarai ramuan, ia menunjukkan jumlah gula adalah tinggi. Pada masa sama, anda juga boleh memilih produk yang dilabelkan tiada gula tambahan, rendah gula atau tiada gula.

Ibu bapa perlu lebih cermat dalam memilih produk yang betul untuk pemakanan anak mereka. Mereka perlu menghabiskan lebih banyak masa dan berusaha memahami apa yang terbaik selain mempelajari cara mencari maklumat pada label produk bagi membantu membuat keputusan yang betul.

• Artikel ini dibawakan kepada anda oleh Anmum Essential, susu tepung rumusan kanak-kanak tanpa gula tambahan*

* Sukrosa, pepejal sirap glukosa, pepejal sirap jagung, gula perang, dekstrosa, laktosa, fruktosa, madu dan gula putih didefinisikan sebagai ‘gula’ dan ‘gula tambahan’ di bawah piawaian CODEX 212-1999 dan CAC/GL231997. CODEX mewujudkan dan menyelaraskan garis panduan dan kod amalan piawaian makanan antarabangsa. Di bawah Akta Pemakanan Malaysia 1985, sukrosa, gula perang, dekstrosa, glukosa, fruktosa dan madu didefinisikan sebagai bahan pemanis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2017 @ 1:27 PM