IZZUDDIN ketika mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
IZZUDDIN ketika mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
Aida Adilah Mat


SYUKUR. Ini perkataan yang keluar daripada mulut Mohd Izzuddin Zainal apabila dikhabarkan dengan berita dia menghidap kanser limfoma tahap empat.

Tiada langsung tanda kecewa atau terkejut dan isterinya, Suzana Muhamad Tab turut mengucapkan ‘Alhamdulillah’.

Ditanya mengapa mereka begitu tenang menghadapi situasi itu ketika ramai yang tidak boleh menerimanya, Suzana berkata, dia reda dengan ketentuan Allah kerana akhirnya dia dan suami mengetahui penyakit yang dihadapi suaminya.

Suzana dan Izzuddin dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Sulaiman, 5, dan Isa, 3, berkata, kehidupan mereka berubah pada April tahun lalu apabila suaminya disahkan mengalami kanser limfoma selepas hampir lima bulan menderita kesakitan tanpa tahu puncanya.

Namun Suzana berkata, dia menganggap itu sebagai rezeki daripada Allah yang diberi untuk menguji hambanya.

“Ketika ujian itu berat, saya diberikan dengan kelapangan. Allah buka seluas-luasnya pertolongan. Saya mengenali kehebatan persahabatan dan kekuatan ukhuwah kekeluargaan.

“Apa yang penting adalah terima keputusan dengan tenang. Terima input yang diberikan. Jika tidak anda tidak akan dapat berfikir dengan rasional dan jadi semakin serabut.

“Saya dan suami terima ketentuan Allah. Malah, suami langsung tidak terkejut dan dia bersyukur mendengar pengesahan itu,” katanya.

Kata Suzana, semua perkara akan lebih mudah jika ada ilmu dan bertanya apa yang bermain di fikiran kepada doktor.

Ambil tahu mengenai ubat, apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan pesakit kanser kerana jururawat dan doktor juga adalah manusia biasa yang ada kalanya melakukan kesilapan. Secara tidak langsung ia membantu proses penyembuhan pesakit.

PROSES rawatan yang dilakukan
PROSES rawatan yang dilakukan

“Setiap hari saya berdoa supaya Allah membuka pintu seluas-luasnya untuk penyembuhan suami saya.

“Alhamdulillah selepas beberapa siri kemoterapi, radioterapi dan diikuti proses transplan sel stem yang diambil daripada abang kandungnya hujung Mei lalu membuahkan hasil dan suami saya kini bebas daripada kanser,” katanya.

Bagaimanapun, ia bukan mudah. Banyak yang terpaksa dilaluinya daripada tidak mempunyai apa-apa pengetahuan mengenai ubat-ubatan, Suzana kini boleh menjelaskan satu persatu proses yang dilalui suami yang dikenalinya enam tahun lalu.

Menceritakan kembali detik permulaan perjalanan panjang itu, Suzana berkata, suaminya mengalami sakit di bahagian lututnya.

“Ada bonjolan yang menyakitkan di lututnya. Kesakitan itu menyebabkan dia sukar untuk tidur. Ada kala dia menendang dinding dengan harapan dapat mengurangkan kesakitan namun tiada langsung perubahan.

“Kami mula mendapatkan rawatan di hospital di Kulai kerana ketika itu suami bertugas di sana. Doktor memaklumkan bonjolan itu adalah kesan kecederaan bersukan.

“Tapi, oleh kerana saya dan suami ada pengetahuan asas mengenai sukan, kami merasakan ia bukan disebabkan sukan,” katanya yang pernah terbabit program Jom Kurus di bawah jurulatih kecergasan terkemuka, Kevin Zahri.

PERSOALAN TERJAWAB

Bagi pasangan jarak jauh ini, keadaan itu memang menyukarkan. Setiap minggu, Izzuddin berulang-alik dari Kulai ke ibu kota untuk bertemu Suzana dan anak-anak. Apabila kesakitan bertambah teruk, mereka pergi ke bahagian kecemasan Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) dan akhirnya semua terjawab.

PROSES rawatan yang dilakukan.
PROSES rawatan yang dilakukan.

Bermula episod baru dalam kehidupan mereka. Banyak yang terpaksa dikorbankan dan paling tidak dapat dilupakan apabila anak sulung juga dimasukkan ke hospital kerana demam berpanjangan. Anak bongsu pula terpaksa ditinggalkan bersama ibu mentua di Kedah.

“Ketika itu saya sebak. Saya dan suami tiada di sisi anak ketika diperlukan. Raya tahun ini juga mereka terpaksa beraya sendiri di kampung tanpa kami kerana suami terpaksa dikuarantin kerana proses transplan.

“Apabila anak-anak datang melawat, mereka hanya boleh melihat ayahnya melalui cermin, tidak boleh sentuh apatah lagi mencium. Perasaan sayu tidak dapat digambarkan melihat wajah mereka yang rindukan ayah. Namun alhamdulillah, mereka faham adanya kekangan itu apabila melihat wayar penuh di tangan ayahnya.

“Saya pula selalu beritahu mereka, ‘mama dan papa sakit, nanti apabila sihat kami balik rumah’,” katanya yang memberitahu kepentingan untuk pesakit dan penjaga sentiasa berfikiran positif sepanjang tempoh rawatan.

Limfoma atau lebih dikenali sebagai kanser darah bermula daripada sel sistem imun dipanggil limfosit. Keadaan ini berlaku apabila pertumbuhan sel limfosit ini tidak terkawal atau berganda secara tidak normal.

Ada lebih 30 sub jenis limfoma, rawatan dan prognosis berbeza berdasarkan sub jenis kanser darah ini.

Menurut statistik, di Amerika Syarikat (AS), setiap tahun dianggarkan 54,000 orang didiagnos dengan limfoma bukan-Hodgkin (NHL) dan 7,000 kes limfoma Hodgkin (HL). Ia adalah kanser darah paling lazim di AS dan Kesatuan Eropah (EU) juga mencatatkan lebih 50,000 kes NHL setiap tahun.

TIP PENJAGAAN

• Ambil tahu kitaran ubat dengan pasti untuk elak berlaku kesilapan rawatan.

• Sentiasa berhubung dan bertanya doktor jika ada yang tidak pasti.

• Mesti makan walaupun sedikit, ia membantu proses pemulihan selepas kemoterapi.

• Minum cukup air.

• Masak makanan sendiri (jangan beli).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 5:15 AM