SERUNDING halia untuk Ramadan.
SERUNDING halia untuk Ramadan.
Intan Mas Ayu Shahimi

MENJELANG Ramadan, kaum ibu mulalah sibuk membuat pelbagai persediaan. Sambal kering, serunding, bawang goreng dan pelbagai jenis pes masakan antara yang wajib disiapkan untuk kegunaan waktu kecemasan.

Di kampung, ikan dan telur itik sudah mula dijeruk dalam balang untuk santapan berbuka dan bersahur kelak. Bagi Nana Sabrina Sarsan, serunding halia antara hidangan ringkas yang wajib disediakan untuk dinikmati sepanjang Ramadan nanti.

"Halia mempunyai banyak manfaat untuk kesihatan. Ia mampu mengimbangi paras gula, membuang angin dalam badan, mengurangkan rasa mual dan sesuai dinikmati mereka yang menghidap gout.

"Lazimnya saya akan beli sekilogram halia tua untuk dibuat serunding. Kulitnya dibuang dan isinya dihiris halus. Sesetengah orang lebih selesa menggunakan sagat, tetapi saya sukakan hasil yang dihiris. Kalau menggunakan penyagat, halia akan hancur dan cepat hangus," katanya.

Berkongsi resipi serunding halia buatannya, Nana mengingatkan mereka yang menghidap gout supaya mengetepikan campuran ikan bilis. Katanya, serunding ini boleh diubah suai dengan menambah bawang merah, mengikut selera masing-masing.

BAHAN-BAHAN

1 kilogram halia tua (dihiris halus)

1 labu bawang putih (dihiris halus)

1 genggam ikan bilis

Sedikit garam

Minyak untuk menggoreng

Bahan perasa (jika perlu)

CARA-CARANYA

1. GORENG bawang putih hingga garing, angkat dan ketepikan.

2. KEMUDIAN goreng halia hingga garing, angkat dan ketepikan dalam bekas lain.

3. AKHIR sekali, goreng ikan bilis hingga garing, angkat dan toskan.

4. CAMPURKAN semua bahan digoreng tadi dengan sedikit garam. Gaul sebati dan siap dimakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2019 @ 4:30 AM