HIDANGAN ayam masak cuka siap disediakan.
HIDANGAN ayam masak cuka siap disediakan.
Nurul Husna Mahmud

Setiap kali menemui resipi baharu, Zam Akmal Abd Halim yang juga pengusaha kek dan biskut teruja menyediakan sajian itu untuk dinikmati bersama keluarga.

Pemilik Mad About Cake itu mengakui, sajian masakan Melayu antara juadah berbuka paling digemari.

"Jika bulan puasa, saya mencuba resipi baharu terutama menu masakan Melayu kerana ia sesuai dengan cita rasa dan selera.

"Uniknya di Malaysia, walaupun datang daripada bangsa yang sama iaitu Melayu, tetapi sajian dari setiap negeri memiliki menu tersendiri.

ZAM Akmal minat mencuba resipi baharu.
ZAM Akmal minat mencuba resipi baharu.

"Saya suka teroka keunikan itu dan penyediaan setiap hidangan terbabit dikongsikan dengan peminat sajian tempatan menerusi video demonstrasi masakan dalam talian seperti Facebook atau TikTok," katanya yang juga dikenali sebagai Chef Zam Akmal dalam kalangan pengikutnya.

Kali ini resipi dikongsikan cef berusia 35 tahun itu adalah sajian ayam masak cuka. Resipi itu ringkas dan enak untuk dinikmati baik berbuka mahupun juadah sahur.

"Saya kongsikan resipi terbaharu iaitu ayam masak cuka. Hidangan ini bukan sajian warisan keluarga, sebaliknya resipi yang saya temui di internet," katanya.

Resipi ayam masak cuka

• Ayam setengah ekor (goreng)

• Bawang merah dua labu (dihiris nipis)

• Bawang putih lima ulas (dihiris nipis)

• Halia dua inci (dihiris nipis)

• Halba campur 1 sudu kecil

• Cuka lima sudu besar

• Gula dua sudu besar (ikut selera)

• Serai dua batang

• Cili padi secukup rasa

• Air secukupnya

Penyediaan

1. Goreng ayam (3/4 masak) dan ketepikan.

2. Gunakan sebahagian minyak goreng ayam tadi untuk tumis bawang merah, bawang putih, halia hingga naik bau.

MASUKKAN ayam dalam bahan yang ditumis.
MASUKKAN ayam dalam bahan yang ditumis.

3. Masukkan ayam bersama serai dan halba.

4. Masukkan cuka bersama air. (Ikut selera anda hendak berkuah atau tidak)

5. Boleh letakkan sedikit serbuk kunyit.

6. Siap dimasak dan selamat menjamu selera.

MASUKKAN cuka untuk beri rasa masam yang enak.
MASUKKAN cuka untuk beri rasa masam yang enak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2023 @ 6:23 AM