BANGUNAN tinggi bertingkat yang sering dirujuk sebagai hak milik strata.
BANGUNAN tinggi bertingkat yang sering dirujuk sebagai hak milik strata.
Hartini Mohd Nawi


KONDOMINIUM, pangsapuri atau flat antara bangunan tinggi bertingkat yang sering dirujuk sebagai hak milik strata (strata title).

Pendek kata, ia adalah hak milik berasingan bagi setiap unit atau petak dalam bangunan dua tingkat atau lebih yang dibina atas sebidang tanah yang sama dan berkongsi akses kemudahan bersama.

Sebagai pemilik harta, sudah tentu kita rasa bertanggungjawab untuk menjaga dan melindunginya dengan sebaik mungkin.

Sebaik diisytiharkan sebagai pemilik strata, perkara utama perlu dilakukan adalah membayar sejumlah caruman yang ditetapkan kepada perbadanan pengurusan.

Caruman ini termasuk yuran pengurusan dan pentadbiran harta bersama yang dikira berdasarkan jumlah serta jenis unit selain jumlah kemudahan akses bersama.

Premium insurans kebakaran, cukai tanah dan akaun khas juga termasuk dalam yuran pengurusan.

Hak milik strata adalah komponen yang paling penting dalam mana-mana skim strata kerana ia bertujuan untuk menjamin kepentingan setiap pemilik strata.

Ia juga digunakan sebagai bukti pemilikan bagi tujuan urus niaga seperti pindah milik, gadaian, cagaran, pembahagian pusaka dan sebagainya.

Semua ini untuk melindungi pemilik rumah daripada sebarang kesulitan sekiranya pemaju mengalami pembubaran atau bankrap.

Kini, pemilik strata boleh mendapatkan hak milik strata mereka ketika pengumuman serahan milikan kosong bersama dengan kunci dan dokumen pemilikan lain daripada pemaju.

HAK milik strata juga digunakan sebagai bukti pemilikan bagi tujuan urus niaga seperti pindah milik, gadaian, cagaran dan pembahagian pusaka.
HAK milik strata juga digunakan sebagai bukti pemilikan bagi tujuan urus niaga seperti pindah milik, gadaian, cagaran dan pembahagian pusaka.

Berbanding dulu, pemilik strata perlu menunggu pemaju memohon hak milik strata dalam masa enam bulan selepas Perjanjian Jual Beli (SPA) pertama.

Bagi kes yang belum mendapat hak milik strata walaupun sudah bertahun menetap, anda boleh menyemak status pengeluaran strata.

Cara lain yang mungkin lebih berkesan adalah menghubungi pihak berkuasa tanah tempatan seperti Pejabat Tanah dan Galian Negeri (PTG) atau Pejabat Tanah Daerah (PTD).

Bagaimanapun, dalam kebanyakan kes pemilik strata tak dapat mengesan status hak milik strata mereka kerana kuasa permohonan adalah tanggungjawab pemaju.

Jadi, pemilik strata masih perlu menghubungi pemaju untuk bertanya berkenaan status permohonan hak milik strata anda.

Ada juga kes apabila pemilik strata tidak pernah dimaklumkan pemaju berkenaan status hak milik strata hartanah mereka.

Situasi ini selalunya kerana pemaju muflis atau tidak mempunyai wang mencukupi untuk mohon hak milik strata.

BIASANYA hak milik strata adalah jenis hak milik tanah yang dikeluarkan untuk hartanah berstrata.
BIASANYA hak milik strata adalah jenis hak milik tanah yang dikeluarkan untuk hartanah berstrata.

Namun, ada juga kes kelewatan pengeluaran disebabkan pihak berkuasa tanah tempatan sendiri ataupun birokrasi sistem.

Bagi yang bernasib baik pula, anda perlu tahu yang hak milik strata itu perlu dipindahkan daripada pemaju kepada anda dalam tempoh 30 hari dari tarikh ia dikeluarkan. Jangan bertangguh!

Pemindahan hak milik ini sangat penting supaya nama anda diisytiharkan sebagai pemilik sah strata.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 6:20 AM