Kuala Lumpur: Kesedaran pembeli atau pemilik hartanah mengenai pindah milik hartanah dilihat masih rendah di mana kebanyakan individu tidak mengambil berat perkara ini dan hanya menyerahkan urusan terbabit kepada peguam kerana ia dilihat lebih mudah tanpa mereka perlu bersusah payah melakukan sendiri perkara itu.

Pakar hartanah One Solution Corporate Services, Tuanbri Hashim berkata, perkara itu tidak sama sekali menimbulkan isu kepada pembeli atau pemilik hartanah meskipun tidak dilakukan dalam tempoh masa panjang, namun masalah akan mula timbul jika mereka ingin mengadakan pembiayaan semula, menjual hartanah, melakukan gadaian yang lama.

Menurutnya, beliau menasihatkan orang ramai supaya memberi perhatian kepada proses pindah milik ini jika ingin melakukan apa-apa urusan terhadap hartanah mereka kerana ia bukan saja melambatkan proses itu, malah bakal menyusahkan mereka kembali kerana perlu mencari peguam yang melakukan urusan terbabit.

“Walaupun nampak perkara ini seperti remeh, namun ia mungkin boleh mengekang urusan hartanah mereka kerana tidak semua peguam terbabit boleh dicari dalam tempoh jangka panjang kerana ada sebahagiannya mungkin sudah menamatkan perkhidmatan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, proses pindah milik bagi tanah dan rumah memiliki persamaan memandangkan ia membabitkan perkara berkaitan pemilikan tanah namun berbeza daripada beberapa aspek seperti jenis borang dan prosedur urusan serta turut bergantung kepada situasi dan jenis hartanah seperti rumah bertanah (hak milik individu) dan rumah bertingkat (strata).

“Setiap individu perlu mengetahui proses pindah milik ini bertujuan memastikan hak milik mereka dilindungi sepenuhnya dan tidak ada pihak mempersoalkan atau mungkin mengambil kesempatan di atas perkara ini pada masa depan,” katanya.

Tuanbri berkata, proses lebih mudah untuk dilakukan jika mereka dapat menyediakan dokumen yang diperlukan dengan lengkap.

“Selain itu, mereka boleh melakukan sendiri perkara ini tanpa perlu menggunakan khidmat peguam di mana ia akan lebih menjimatkan masa untuk mendapatkan hakmilik dan dalam masa sama, menjimatkan kos perbelanjaan masing-masing dalam menguruskan keperluan terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 April 2015 @ 5:17 AM