PELINDUNG Heights (Pakej 3) adalah rumah berkembar dua tingkat jenis pegangan bebas yang dibangunkan di Jalan Tengku Muhammad, Kuantan, Pahang antara projek dilaksanakan Uda.
PELINDUNG Heights (Pakej 3) adalah rumah berkembar dua tingkat jenis pegangan bebas yang dibangunkan di Jalan Tengku Muhammad, Kuantan, Pahang antara projek dilaksanakan Uda.
Hafiz Ithnin


UDA Holdings Berhad (Uda) menjangkakan industri hartanah tempatan bergerak lebih positif pada tahun ini berbanding tahun lalu bersandarkan kepada pemulihan pandemik Covid-19.

Malah, syarikat hartanah itu juga bercadang meningkatkan jumlah projek hartanahnya pada tahun ini dengan menjangkakan sebanyak 12 projek di seluruh negara berbanding lima projek pada tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sr Mohd Salem Kailany berkata, beberapa lokasi pelancaran projek pada tahun ini sudah pun dikenal pasti antaranya di Johor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Sarawak, Pahang dan Terengganu.

"Bagi memastikan rakyat Malaysia terus dapat memiliki rumah, kami amat menitikberatkan kepada tawaran harga di bawah RM500,000 secara majoritinya.

"Kami juga mempunyai rumah yang ditawarkan pada harga kurang daripada RM300,000 seunit bagi memastikan orang ramai mampu memiliki rumah sendiri," katanya.

Mengulas mengenai Skim Rumah Pertamaku (SRP) yang mula diperkenalkan pada 2011 dimansuhkan bermula esok yang sekali gus tiada lagi kaedah untuk pembeli rumah pertama memiliki rumah tanpa perlu membayar wang pendahuluan, katanya, dari prespektif Uda sebagai syarikat pemaju, mereka sudah pun menawarkan harga di bawah harga pasaran.

"Pertama dari segi pembelian rumah dalam banyak projek sekiranya Uda lancarkan harganya sudah diberi pengurangan berbanding harga pasaran terutama untuk rumah mampu milik.

"Melainkan dalam harga kawalan seperti Rumah Residensi Wilayah pada RM300,000, Rumah Selangorku pada RM250,000 yang itu kami akan ikut," katanya.

Jelasnya lagi, bagi rumah di pasaran terbuka, Uda menawarkan di bawah harga pasaran.

"SRP adalah insentif yang kerajaan beri. Saya pasti kerajaan akan bagi insentif lain bagi menggantikan insentif berkenaan. Saya amat berharap kerajaan terus prihatin untuk memastikan golongan berpendapatan rendah masih berpeluang membeli rumah.

38 Bangsar antara projek yang dibangunkan Uda di Kuala Lumpur.
38 Bangsar antara projek yang dibangunkan Uda di Kuala Lumpur.

UDA meraikan golongan asnaf pada majlis berbuka puasa baru-baru ini.
UDA meraikan golongan asnaf pada majlis berbuka puasa baru-baru ini.

"Saya rasa ia adalah sesuatu yang murni dan harap kerajaan terus membantu. Di pihak Uda pula sebagai agensi korporat kami tetap melaksanakan program untuk memastikan mampu milik untuk orang ramai membeli rumah," katanya pada Majlis Berbuka Puasa UDA Bersama Media. Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Pada majlis itu Uda turut menyumbangkan zakat berjumlah RM58,000 untuk diagihkan kepada lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pusat Jagaan Penyayang Nur Iman Kuala Lumpur, Pertubuhan Kebajikan Nur Syaheera Kuala Lumpur, Rumah Permata Hatiku, Rumah Anak Yatim Shifa serta Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Baitu Saidati Khadijah untuk persediaan sambutan Ramadan serta Aidilfiltri yang bakal tiba.

Mohd Salem berharap, semoga sumbangan Uda dapat memberikan makna besar buat anak asnaf dan anak yatim ini serta mampu mengukir senyuman dan keceriaan menjelang lebaran tahun ini.

"Selain itu, sokongan dan kepercayaan rakan-rakan media kepada Uda selama ini juga antara faktor yang menyumbang kelangsungan Uda sehingga hari ini.

"Untuk itu, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih atas kerjasama erat yang diberikan dan saya berharap semoga hubungan baik ini terus berkekalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 6:47 AM