Mary Victoria Dass dan Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Kerjasama UDA Holdings Berhad (UDA) dalam program Titipan Kasih Khas Harian Metro (TKHM) di sini hari ini, antara inisiatif syarikat pemaju hartanah itu dalam membantu masyarakat di sekeliling kawasan projek dibangunkannya.

Program itu membantu 15 penghuni Asrama Kebajikan Ar-Rayyan di Taman Sri Amar dalam menyediakan kelengkapan sekolah, selain sumbangan barang keperluan dan menaik taraf kemudahan asrama.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Mohd Salem Kailany berkata, kolaborasi antara UDA dan Harian Metro (HM) buat julung kali menerusi TKHM amat bermakna kerana membolehkan pihaknya menyelami kehidupan golongan kurang bernasib baik.

"Jalinan kerjasama menerusi TKHM adalah sempena sambutan Jubli Emas UDA pada tahun ini, selain ulang tahun HM ke-30.

"Ia juga menjadi antara inisiatif kami menerusi Uda Cares, iaitu kami membantu masyarakat sekeliling di kawasan projek dibangunkan dengan Johor Bahru, kawasan UDA yang lama bertapak iaitu sejak 70-an.

"Selain itu, program tanggungjawab sosial korporat ini selari dengan prinsip perniagaan UDA, memperkasa gaya hidup lestari," katanya ketika ditemui selepas program itu.

Mohd Salem Kailany bersama Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit beramah mesra bersama penghuni asrama selepas Program Titipan Kasih Khas Harian Metro (TKHM). FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohd Salem Kailany bersama Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit beramah mesra bersama penghuni asrama selepas Program Titipan Kasih Khas Harian Metro (TKHM). FOTO Nur Aisyah Mazalan

UDA menyumbang RM50,000 yang termasuk zakat bernilai RM20,000 untuk menaik taraf kemudahan dan keperluan di rumah kebajikan berkenaan.

Sementara itu, Pengarang Kumpulan HM merangkap Pengerusi Jawatankuasa TKHM, Husain Jahit berkata, kunjungan ke Asrama Kebajikan Ar-Rayyan adalah lokasi kedua selepas program sama diadakan di Temerloh, baru-baru ini.

"Kami hanya bertindak sebagai pembuka jalan dan diharapkan selepas ini akan ada lebih banyak pihak korporat dan badan lain yang mahu tampil untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

"Program ini diadakan di seluruh negara, namun pemilihan sesebuah lokasi mengikut kecenderungan badan korporat yang bekerjasama dengan kami, selain JKM juga membantu memilih rumah kebajikan yang sesuai.

"Program ini juga usaha berterusan HM yang memiliki lebih 2.4 juta pembaca bagi mendekati masyarakat sesuai dengan slogan kami 'Rasai Berita Sebenar' di mana kami berkongsi dan memaparkan berita yang dekat dengan masyarakat tempatan," katanya.

Selain kelengkapan sekolah, sumbangan diserahkan kepada rumah kebajikan itu termasuk almari pakaian, peti ais, mesin basuh, tilam dan menaik taraf ruang belajar supaya lebih selesa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 April 2021 @ 6:57 PM