PEMILIK bakal menikmati pengalaman berurusan dengan pengendali pintar membantu urusan membabitkan unit kediaman mereka.
PEMILIK bakal menikmati pengalaman berurusan dengan pengendali pintar membantu urusan membabitkan unit kediaman mereka.
Nurul Husna Mahmud

SELAIN norma baharu, persaingan sengit dalam pasaran hartanah membuatkan pemaju tampil kreatif dan pakej menarik untuk menarik potensi klien.

Apatah lagi sasaran pembeli hartanah dalam golongan umur antara pertengahan 20-an hingga 40 tahun sudah terbiasa dengan penggunaan Internet dan teknologi pintar serta melihat elemen pengendali pintar membantu memudahkan urusan mereka.

Menurut Pengurus Kanan Pemasaran Malvest Group Sdn Bhd Koay Phaik Ai, pihaknya beralih kepada pengendali pintar dalam memudahkan urusan peringkat ejen sehinggalah kepada tugas pengurusan bangunan bagi projek bangunan tertinggi, Projek Troika, Kota Bharu, Kelantan.

"Kami antara pemaju pertama di Kota Bharu memperkenalkan sistem pengendali pintar menerusi platform aplikasi dan didapati banyak membantu pemaju mahupun ejen terutama dalam berurusan dengan klien ketika menghadapi penularan Covid-19.

"Sebenarnya sistem ini memang sudah dalam perancangan pihak kami seawal pelan bangunan lagi kerana ia bangunan mewah memerlukan fasiliti canggih dan itu nilai tambah tanpa kos tambahan kepada bakal pemilik," katanya.

Maklum balas bakal penghuni bangunan 37 tingkat itu ratanya teruja kerana aplikasi itu membantu memudahkan urusan mereka baik segi tempahan fasiliti serta perkara penting membabitkan kediaman atau komuniti setempat.

BANGUNAN tertinggi di Kota Bharu menggunakan sistem pengendali pintar boleh dimuat turun menerusi aplikasi.
BANGUNAN tertinggi di Kota Bharu menggunakan sistem pengendali pintar boleh dimuat turun menerusi aplikasi.

"Rata-rata klien atau bakal pemilik rumah gembira dengan sistem digital atau aplikasi platform ini kerana urusan perlu diselesaikan dengan pengurusan bangunan termasuk hal utiliti dan aduan sehinggalah ke peringkat tempahan fasiliti dapat dilakukan bila-bila masa.

"Malah aspek keselamatan seperti pemantauan keluar masuk contohnya pelawat dapat diuruskan sendiri penghuni dengan kod QR sebagai akses kepada tingkat unit tertentu.

"Tidak timbul masalah penghuni perlu turun dan sahkan pelawat kerana kekangan kepada sistem akses sedia ada,"katanya.

Pengasas aplikasi hartanah LinkZZapp William Wong, mengakui penerimaan dalam kalangan pemain industri terutama pemaju mahupun ejen hartanah supaya menukar kaedah daripada konvensional kepada digital agak skeptikal.

"Senario menggunakan aplikasi membabitkan urusan formaliti dan berkait dengan urusan hartanah pada awalnya dilihat sesuatu yang sukar buat pemaju.

"Maklumlah ia membabitkan item yang besar dan komitmen tinggi menyebabkan ia tidak diterima pemaju sejak saya aktif memperkenalkan ia lima tahun lalu.

"Namun mereka mula bersikap terbuka terutama insiden membabitkan Covid-19 yang mana berdepan masalah tidak boleh bertemu klien dan banyak urusan tertangguh. Disebabkan itu mereka mula serius menggunakan sistem atau pengendali pintar untuk berurusan dengan klien atau pemilik hartanah," katanya.

FASILITI seperti gimnasium dan kolam renang boleh ditempah atau diakses menggunakan kemudahan aplikasi.
FASILITI seperti gimnasium dan kolam renang boleh ditempah atau diakses menggunakan kemudahan aplikasi.

Menyentuh impak serta-merta boleh dilihat menerusi pemaju mula berubah corak pemasaran atau menggunakan pengendali pintar kata William, mereka membina reputasi baik dalam kalangan pembeli iaitu bergerak seiring dengan 'trend.'

"Melihat impak dalam kalangan pemaju, rata-rata sebelum ini hilang 80 hingga 90 peratus pendapatan apabila tidak dapat cari klien dan urusan jual beli tertangguh dan bantuan aplikasi membantu pulih kembali pendapatan sekitar 60 peratus.

"Meskipun tidak ketara, namun penggunaan aplikasi meningkatkan populariti dan kredibiliti pemaju apabila digunakan fasa tertentu," katanya.

Menyentuh bagaimana aplikasi hartanah membantu, katanya terdapat tujuh fasa daripada peringkat jualan sehinggalah pemilik sudah duduk dan lakukan pelbagai urusan dengan unit hartanah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2020 @ 6:31 AM