LIM menunjukkan model rumah dua tingkat yang ditawarkan
LIM menunjukkan model rumah dua tingkat yang ditawarkan
Fairul Asmaini Mohd Pilus


PEMAJU perbandaran, LBS Bina Group Berhad (LBS) mencatatkan sejarah tersendiri apabila menyerahkan kunci sembilan bulan lebih awal kepada pembeli rumah di LBS Alam Perdana.

Dua fasa pertama rumah perbandaran itu adalah projek pertama pemaju terbabit menggunakan komponen Sistem Bangunan Industri (IBS) yang dibekalkan MGB Berhad iaitu satu daripada anak syarikatnya.

Ia membabitkan rumah perbandaran yang diilhamkan daripada konsep kemasyarakatan iaitu Simfoni Perdana dan Irama Perdana.

Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, pihaknya percaya rumah bukan sekadar tempat untuk berteduh sebaliknya ruang keluarga dan ahli komuniti menikmati gaya hidup yang seimbang.

Justeru kata beliau, pihaknya sentiasa meninjau pelbagai baharu bagi membolehkan pembinaan rumah yang memenuhi keperluan pembeli rumah, lebih cepat disiapkan dan pastinya lebih baik.

“Menerusi teknologi IBS, kami berjaya menyiapkan rumah sembilan bulan lebih awal daripada yang dijadualkan.

“Kami gembira untuk merayakan permulaan babak kehidupan mereka yang baharu,” katanya.

Menurut beliau, LBS Alam Perdana adalah satu projek perbandaran yang mempunyai ciri khasnya iaitu mampu dimiliki, mudah dihubungkan dan komuniti, di mana rumah dibina untuk memberi inspirasi dan memperkayakan kehidupan.

Kata Lim, projek perumahan yang dilancarkan pada 2017 itu adalah perbandaran selamat yang berpagar dan berpengawal di atas tanah seluas lebih 190 hektar di Bandar Puncak Alam, Selangor.

Katanya, fasa pertama, Simfoni Perdana, terdiri daripada 980 rumah bandar dua tingkat yang dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik mandi.

“Dengan keluasan binaan dari 1,191 kaki persegi, harga seunit bermula daripada RM408,000.

“Manakala bagi fasa kedua, Irama Perdana, sebanyak 673 rumah teres dua tingkat berharga dari RM509,900 ditawarkan.

“Setiap unit mempunyai keluasan purata 1,208 kaki persegi yang dilengkapi empat bilik tidur dan tiga bilik mandi,” katanya.

Dalam pada itu, Lim berkata, LBS Alam Perdana antara fokus utama bagi pemaju terbabit dalam beberapa tahun akan datang.

Katanya, dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM711.2 juta, Simfoni Perdana dan Irama Perdana hampir habis dijual sejak pelancarannya pada Oktober 2017.

Menerusi perkembangan berkenaan, beliau yakin pelancaran selebihnya akan terus menerima sambutan hangat memandangkan lokasinya strategik dan perhubungan yang lebih baik.

Kata Lim, pihaknya percaya sebuah perbandaran yang merangkumi kemudahan moden akan dapat bertahan lama.

Untuk itu, katanya, LBS Alam Perdana menawarkan pelbagai fasiliti dan ciri-ciri keselamatan untuk ketenangan dan keselesaan penduduk.

“Ia termasuk laluan hijau yang rimbun untuk menggalakkan masyarakat menjalani gaya hidup aktif, taman permainan kanak-kanak, gelanggang futsal, pusat komuniti yang juga menempatkan gelanggang badminton, tadika dan perpustakaan awam turut disediakan

“Selain itu, memandangkan isu keselamatan menjadi keutamaan penduduk, perbandaran itu turut dilengkapi ciri-ciri keselamatan seperti pagar anti panjat, kamera perimeter dan rondaan pengawal keselamatan,” katanya.

Sementara itu, LBS Alam Perdana terletak tujuh kilometer dari Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR).

Ia mudah diakses melalui Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan akan datang, Leburaya Damansara-Shah Alam

(DASH).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 6:17 AM