PERKASA komuniti kediaman melalui pengenalan aplikasi kipleHome.
PERKASA komuniti kediaman melalui pengenalan aplikasi kipleHome.

MASALAH utama yang dihadapi pengurusan dan penduduk kediaman berstrata kebiasaannya membabitkan kehadiran pengunjung yang tidak berdaftar, terlepas pengumuman penting dan kesukaran mengutip yuran penyelenggaraan.

Bagi mengatasi masalah berkenaan, Kiple Sdn Bhd (Kiple), anak syarikat milik penuh Green Packet Berhad menawarkan kipleHome iaitu platform pengurusan kediaman digital secara percuma untuk kediaman di Malaysia membabitkan kondominium mewah, pangsapuri, komuniti berpengawal dan berpagar serta dikawal bermula 12 Disember lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif KipleHome, Ti Lian Seng berkata, perkhidmatan terbabit ditawarkan bagi membina kawasan kejiranan dan komuniti lebih selamat berikutan pada masa ini 90 peratus daripada kawasan kejiranan masih bergantung kepada proses manual untuk menguruskan harta mereka.

Menurutnya, trend itu agak membimbangkan kerana ia boleh menimbulkan pelbagai isu keselamatan seperti pendaftaran pelawat melalui buku log yang mudah diganggu atau hilang serta tiada pengesahan yang benar mengenai maklumat pelawat.

“Tidak dapat dinafikan peningkatan akses kepada pengurusan kediaman digital penting untuk memastikan rumah terkawal dan selamat.

“Pengurus hartanah dan syarikat teknologi seperti kami memainkan peranan dalam membina komuniti yang dikuasa secara digital. Itulah sebabnya kami menyediakan ciri penting kipleHome secara percuma untuk semua kediaman di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, kipleHome menggunakan sistem pengurusan pelawat digital yang meningkatkan kawalan keselamatan untuk kedua-dua badan pengurusan dan penduduk.

Menurutnya, penduduk boleh mendaftarkan pelawat mereka dan menerima makluman segera apabila pengunjung tiba sekali gus membenarkan pengawal keselamatan mengesahkan bahawa setiap kemasukan pengunjung sudah mendapat kebenaran.

“Satu lagi ciri kipleHome adalah mesej peribadi yang akan mewujudkan saluran untuk komunikasi dua hala antara penduduk dan pengurus hartanah. Jika berlaku kecemasan atau aktiviti mencurigakan maka penduduk boleh segera menghungi pihak pengurusan untuk mendapatkan bantuan atau membuat laporan,” katanya.

Semua ciri-ciri ini ditawarkan dalam pelan kipleHome Plus dan kipleHome Smart yang tersedia sebagai pelan langganan bulanan tanpa had atau keperluan minimum bagi bilangan isi rumah yang diuruskan.

Ti berkata, kipleHome diperkenalkan dan digunakan oleh komuniti di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang dan ia akan diperluaskan ke negeri lain.

“Kami tidak sabar bekerjasama dengan semua pengurus hartanah bagi membawa komuniti kediaman mereka ke peringkat seterusnya terutama apabila kami menerima dan menerima teknologi baharu ini.

“Kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia akan menyertai kami dalam membina komuniti yang selamat dan terhubung apabila kami menggalakkan semua penduduk strata, Lembaga Pengurusan Bersama (JMB) dan persatuan penduduk mendaftar dengan kipleHome,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Disember 2019 @ 12:10 PM