AKTIVITI ski bagi mereka sukakan cabaran.
AKTIVITI ski bagi mereka sukakan cabaran.
Zunita Ramli

KEHADIRAN pelancong luar ke Jepun termasuk rakyat Malaysia biasanya dikaitkan dengan aktiviti menikmati keindahan bunga sakura yang bermula pada April.

Lokasi seperti Taman Negara Shinjuku Gyo-en dan Taman Ueno di Tokyo bakal dibanjiri jutaan pelancong dari dalam mahupun luar negara.

Penulis antara rakyat Malaysia yang menetap di negara matahari terbit lebih suka menyarankan pengalaman percutian berbeza iaitu mengunjungi destinasi popular ketika musim sejuk seperti Yuzawa Kogen di wilayah Niigata.

Mengenai Jepun yang ramai orang tidak tahu ialah negara ini menerima taburan salji paling tinggi di dunia.

Terletak di laluan angin Siberia ditambah dengan bentuk muka bumi yang hampir 70 peratus gunung-ganang, menjadikan ia tarikan percutian seperti pusat peranginan atau resort ski antara produk pelancongan popular di sini.

Percaya atau tidak, Jepun memegang reputasi memiliki resort ski paling banyak di dunia dengan 500 pusat peranginan itu di seluruh negara itu.

Andai ramai yang memasang impian untuk mengunjungi Banjaran Alps iaitu destinasi di Eropah yang sering kali dikhabarkan sebagai lokasi tersohor menikmati pengalaman bermain salji, penulis sarankan pengunjung di Malaysia menjejakkan kaki ke Yuzawa Kogen terlebih dahulu.

PENGUNJUNG di pusat peranginan Yuzawa Kogen yang mencuba aktiviti meluncur salji.
PENGUNJUNG di pusat peranginan Yuzawa Kogen yang mencuba aktiviti meluncur salji.

PENULIS mengenakan pakaian dengan ketebalan mencukupi dan mengenakan but kalis air mengelak kesejukan di kawasan pergunungan.
PENULIS mengenakan pakaian dengan ketebalan mencukupi dan mengenakan but kalis air mengelak kesejukan di kawasan pergunungan.

Baru-baru ini penulis yang berkesempatan mengunjungi lokasi berkenaan terus terfana dengan keindahan pemandangan di kawasan ini yang dikelilingi salji melitupi Banjaran Jepun.

Perasaan ketika itu boleh digambarkan seolah-olah sudah 'terbang' ke Swizerland!

Mengenai perjalanan ke Yuzawa Kogen pula sebenarnya dari Tokyo sangatlah mudah iaitu menggunakan pengangkutan popular iaitu perkhidmatan 'shinkansen' atau kereta api laju.

Penulis sendiri merancang percutian sehari dan kembali ke Tokyo pada hari sama kerana tempoh perjalanan singkat menggunakan pengangkutan berkenaan.

Perjalanan menggunakan kereta api laju dari stesen Tokyo terus ke stesen Yuzawa di Gala Yuzawa iaitu stesen terdekat dengan pusat tarikan itu hanyalah mengambil tempoh sekitar 70 minit.

Namun bagi pelancong yang mendarat di lapangan terbang, baik Haneda mahupun Narita, tempoh perjalanan menggunakan kereta api mungkin berbeza.

TAMAN permainan antara kemudahan ditawarkan.
TAMAN permainan antara kemudahan ditawarkan.

Pengunjung yang mendarat di lapangan terbang Haneda dan menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sama, mereka menempuh perjalanan kira-kira dua jam 15 minit sementara dari lapangan Narita lebih jauh iaitu kira-kira tiga jam.

Namun menempuh perjalanan sejauh itu sangat berbaloi apabila dapat menikmati pemandangan indah salju di kawasan pergunungan terbabit.

Sebaik tiba di stesen Yuzawa, terdapat dua pilihan untuk sampai ke kawasan resort berkenaan. Boleh akses menggunakan perkhidmatan bas 'shuttle' atau kereta kabel (gondola) untuk sampai ke kawasan peranginan.

Kawasan ini bukan sahaja dikunjungi ketika musim sejuk, malah turut menjadi lokasi percutian keluarga ketika musim panas juga.

Cumanya bagi peminat aktiviti ski dan meluncur salji, pergunungan Yuzawa lebih popular kerana salji turun lebih awal serta litupannya lebih tebal berbanding kawasan lain bermula pertengahan Disember sehinggalah penghujung Mac.

Untuk menikmati pemandangan atau bagi peminat fotografi, pemandangan hamparan putih sesekali bersilih ganti warna kelabu atau perak disebabkan latar gunung boleh dinikmati dengan menyusuri laluan kabel di udara sejauh 1.3 kilometer dengan ketinggian dianggarkan melepasi 500 meter.

RUPA bangunan di kawasan resort pergunungan turut menawarkan penginapan.
RUPA bangunan di kawasan resort pergunungan turut menawarkan penginapan.

ANTARA pemandangan menakjubkan dari atas gunung yang boleh dinikmati pengunjung kawasan peranginan ski Yuzawa Kogen.
ANTARA pemandangan menakjubkan dari atas gunung yang boleh dinikmati pengunjung kawasan peranginan ski Yuzawa Kogen.

Tidak perlu khuatir, untuk kemudahan ini sebenarnya kapasiti maksimum bagi perjalanan antara terbesar di Jepun iaitu mampu menampung sehingga 166 orang.

Jika tidak ada pilihan lebih jimat iaitu dari stesen Yuzawa boleh mendapatkan khidmat bas 'shuttle' percuma membawa ke lokasi resort. Di kawasan berkenaan terdapat lebih 20 resort ski dan meluncur salji yang turut menawarkan perkhidmatan bermalam.

Untuk aktiviti bermain salji terdapat dua pilihan bergantung kepada cabaran yang diingini pengunjung. Bagi mereka yang sukakan aktiviti ekstrem, kecerunan yang lebih mencabar ialah di bahagian atas gunung, Kogen Snow Land.

Aktiviti boleh dilakukan adalah gelongsor menggunakan pelampung atau tiub dan menyusuri terowong gelongsor.

Bagi pilihan lebih santai, mereka boleh cuba trek di Yuzawa Onsen Snow Land, risiko lebih rendah dengan bermain sled, 'strider' (basikal salji) atau permainan salji yang lain di kawasan bawah gunung.

Pengalaman penulis, untuk menikmati semua pengalaman atau mencuba aktiviti di kawasan berkenaan perlu membawa wang mencukupi. Sayang jika sudah sampai tidak mencuba aktiviti di kawasan rekreasi berkenaan.

Selain itu perlu juga mengenakan pakaian dengan lapisan mencukupi dan kasut atau but kalis air untuk kekal selesa sepanjang bermain salji.

Disarankan membawa bekalan makanan tambahan kerana beriadah ketika cuaca sejuk mudah untuk berasa lapar. Di kawasan ini terdapat juga kafe atau restoran dengan cita rasa tempatan.

Cuma cabaran bagi penulis yang kekal dengan 'tekak' Melayu, masih sukar membiasakan diri dengan hidangan tempatan yang kebanyakan menyajikan sajian mentah.

ANTARA aktiviti popular, gelongsor menggunakan tiub.
ANTARA aktiviti popular, gelongsor menggunakan tiub.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Februari 2022 @ 7:00 AM