KERETA kabel yang mengangkut pemain ski ke puncak.
KERETA kabel yang mengangkut pemain ski ke puncak.
Nazar Abdullah


TIDAK pernah terlintas di fikiran penulis, merasai pengalaman bermain salji.

Maklumlah penulis hanyalah budak kampung dari pantai timur, untuk sampai ke luar negara dan menyentuh salji seolah-olah angan-angan kosong.

Apatah lagi menikmati pemandangan seperti glasier di Gunung Fuji, Jepun atau Banjaran Alps di Swizerland terbentang depan mata. Pada fikiran penulis, perkara itu sukar jadi kenyataan sehinggalah berpeluang mengunjungi Lubnan, baru-baru ini.

Tidak menyangka tawaran kerja ke Beirut tahun lalu memberi kesempatan kepada penulis untuk merasai pengalaman percutian singkat dengan 'bermain' salji.

Penulis berada seharian di lokasi perkampungan ski yang lebih menyerupai sebuah bandar, Faraya.

Menurut rakan yang pernah sampai ke destinasi berkenaan, Faraya antara destinasi ski popular seperti di Eropah cuma ia berada di Timur Tengah menyebabkan tidak ramai tahu terutama peluncur ski amatur seperti penulis.

DUA rakan penulis tidak melepaskan peluang bermain ski.
DUA rakan penulis tidak melepaskan peluang bermain ski.

Antara enam ski resort di Lutbnan, resort ski paling popular ialah Faraya Mzaar.

Lokasi ini yang menempatkan lebih lapan penginapan bertaraf tiga hingga lima bintang mempunyai 42 lereng dan 80 kilometer trek ski.

Boleh gelongsor dari kecerunan 1,850 meter atau bagi profesional ada trek lebih teknikal dari puncak Mzaar iaitu sehingga 2,465 meter.

Dari atas puncak berkenaan pengunjung boleh menikmati pemandangan menakjubkan iaitu Lembah Bekaa yang terbentang selain menikmati pemandangan seperti Gunung Hermon, Laqlouq dan Cedars dan Beirut andai cuaca mengizinkan.

Kebetulan penulis berkunjung awal Disember, jadi masih tidak ramai pengunjung baik dari negara itu atau luar negara memenuhi kawasan peranginan berkenaan.

KAWASAN sejarah yang boleh dilawati.
KAWASAN sejarah yang boleh dilawati.

Mengenai suhu sekitar, meskipun sudah mengenakan empat lapis baju termasuk baju dan seluar termal, sejuknya masih terasa sehingga ke 'tulang hitam.'

Pada Disember sehingga April adalah kemuncak aktiviti rekreasi musim sejuk seperti papan luncur salji, bermain ski atau menaiki motor ski dilakukan penduduk tempatan mahupun peminat sukan musim sejuk yang berkampung di situ.

Suhu kira-kira 3.4 darjah Celsius dan boleh turun sehingga 0.5 darjah Celsius pada waktu malam andai hujan pada hari berkenaan. Kami bernasib baik kerana pada hari turun ke bandar itu matahari mengiringi perjalanan.

Waktu itu jugalah penulis rindukan hidangan kopi O 'kaw' bersama ubi rebus, tetapi di sini lebih popular dengan hidangan roti dan jem buah buatan tempatan atau bersama kuah daging.

Selain tarikan pelancongan, perkampungan ski di daerah Kerswan itu sebenarnya adalah lembah cukup subur.

Sepadan dengan makna di sebalik namanya iaitu 'tanah buah-buahan dan sayur-sayuran,' pengeluaran buah seperti epal serta pir di kawasan berkenaan cukup terkenal di rantau Teluk.

JAMBATAN semula jadi menyambung trek atau laluan rekreasi.
JAMBATAN semula jadi menyambung trek atau laluan rekreasi.

Terdapat juga festival musim sejuk yang meraikan kedatangan peluncur tempatan mahupun dari luar negara. Difahamkan ada persembahan seperti konsert artis tempatan dan 'rally' ski untuk mereka sukakan cabaran.

Tidak jauh dari lokasi peranginan musim sejuk ada destinasi menarik boleh dikunjungi pelawat pada musim lain.

Antaranya tapak arkeologi Qalaat Faqra atau Faqra Ruins di Gunung Lubnan pada ketinggian 1,500 meter di kaki bukit Gunung Sannine.

Difahamkan ia tinggalan sejarah Rom dari zaman Byzantine dan masih boleh lihat kesan runtuhan seni bina lama pada sebahagian struktur menara.

Buat peminat alam semula jadi boleh melawat The Fakra Natural Bridge iaitu kawasan bukit batu yang mempunyai struktur seperti jambatan dan menjadi 'koridor' semula jadi atau laluan trek ke

kawasan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Julai 2020 @ 6:30 AM