LAGUN kristal tarikan utama di Treasure Bay Bintan. FOTO Ihsan Treasure Bay Bintan
LAGUN kristal tarikan utama di Treasure Bay Bintan. FOTO Ihsan Treasure Bay Bintan
Nurul Husna Mahmud

DEKAT tapi jauh. Itu perumpamaan pada pandangan penulis sesuai menggambarkan tarikan satu gugusan pulau di Kepulauan Riau, Indonesia iaitu Pulau Bintan dengan pelancong Malaysia.

Meskipun kedudukan pulau itu dianggarkan berjarak hanya kira-kira 86 kilometer dari Johor Bahru, Johor destinasi berkenaan cukup asing bagi penulis sendiri yang hanya berkesempatan melawatnya kira-kira dua tahun lalu.

Sebenarnya kunjungan penulis menyertai pengembaraan kapal mewah menjadikan Pulau Bintan sebagai destinasi persinggahan dan perkongsian dalam siri Jalan-Jalan kali ini lebih kepada perkongsian peribadi mengenai perjalanan menarik boleh dilakukan.

Sebenarnya selain mengikuti pakej pelayaran mewah, ada pilihan lain baik udara mahupun air untuk sampai ke pulau itu.

Penulis sempat bertemu dengan seorang warga Malaysia yang bekerja di sebuah resort di sana. Mesra dengan panggilan Shamsul, dia berkongsi mengenai perjalanannya sekurang-kurangnya dua kali sebulan menaiki feri dari pulau terbabit ke Johor Bahru.

"Saya sudah lima tahun berkhidmat sebagai cef pastri di hotel empat bintang di sini selepas bekerja dengan resort di Langkawi lebih 10 tahun.

SUASANA sekitar pulau. FOTO Ihsan Treasure Bay Bintan
SUASANA sekitar pulau. FOTO Ihsan Treasure Bay Bintan

AKTIVITI kayak di kawasan berpaya antara aktiviti mesti dilakukan pengunjung ke Pulau Bintan. FOTO Ihsan Treasure Bay Bintan
AKTIVITI kayak di kawasan berpaya antara aktiviti mesti dilakukan pengunjung ke Pulau Bintan. FOTO Ihsan Treasure Bay Bintan

"Meskipun pulau ini dalam Republik Indonesia, gaji diberikan mengikut kadar tenaga profesional di Singapura, membuatkan pendapatan bulanan saya dua kali ganda berbanding di Malaysia.

"Cabaran ialah terpaksa berjauhan dengan keluarga. Jadi saya berulang-alik menggunakan feri dari Johor Bahru ke Bintan dengan tempoh perjalanan lebih dua jam dan kadangkala berlarutan sehingga tiga jam bergantung kepada cuaca serta keadaan kapal.

"Sebenarnya ramai juga rakyat Malaysia selain Indonesia mencari peluang di sini. Destinasi ini cuma popular dalam kalangan pelancong Singapura dan luar negara. Pelancong dari Malaysia yang datang mungkin dari sebelah iaitu Johor atau Melaka,' katanya.

Penulis kali ini ditemani dua rakan pengamal media tempatan yang turut berpeluang menjelajah antara resort yang terkemuka iaitu Treasure Bay Bintan.

Mujurlah waktu itu bukan musim percutian buat warga Singapura, boleh dikatakan suasana lengang dan cukup menenangkan ketika berada di pusat percutian bertemakan air berkeluasan 338 hektar itu.

PELBAGAI aktiviti menarik terutama rekreasi air boleh dicuba pengunjung. FOTO Ihsan Treasure Bay Bintan
PELBAGAI aktiviti menarik terutama rekreasi air boleh dicuba pengunjung. FOTO Ihsan Treasure Bay Bintan

HANYA kira-kira 86 kilometer dari Johor Bahru tapi kurang popular dalam kalangan pelancong Malaysia. FOTO Ihsan Treasure Bay Bintan
HANYA kira-kira 86 kilometer dari Johor Bahru tapi kurang popular dalam kalangan pelancong Malaysia. FOTO Ihsan Treasure Bay Bintan

Terdapat kolam rekreasi seluas mata memandang turut dikenali dengan 'lagun kristal'. Ia dilihat memfokuskan kepada pelbagai aktiviti rekreasi air daripada berenang sehinggalah lebih ekstrem seperti berkayak atau menunggang jet air.

Hajat memanglah ingin berendam, tetapi memikirkan tempoh kunjungan ke resort terbabit agak singkat, penulis dan rakan memilih aktiviti tidak basah seperti ATV , menaiki cruise dan juga buggy mengelilingi sekitar resort.

Selepas penat menjelajah sekitar lokasi peranginan itu, kami disajikan hidangan tengah hari iaitu burger istimewa menerusi kepingan daging segar bersama potongan nanas.

Dalam keseronokan lawatan kali ini, sedikit terkilan apabila tidak berkesempatan berkayak di laluan paya. Difahamkan aktiviti rekreasi itu dapat memberi peluang pengunjung melihat secara dekat ekosistem atau muka bumi pulau terbabit termasuk spesies hidupan liar yang ada.

Pelancong perlu lebih berhati-hati menyusuri setiap pokok bakau kerana dikhuatiri ada ular berbisa yang menjalar di kawasan berkenaan.

Sementara itu, perihal penduduk pulau itu difahamkan dua etnik majoritinya ialah Melayu dan Tionghoa.

PENULIS (tengah) bersama rakan media yang berkesempatan singgah di Pulau Bintan. FOTO Ihsan Treasure Bay Bintan
PENULIS (tengah) bersama rakan media yang berkesempatan singgah di Pulau Bintan. FOTO Ihsan Treasure Bay Bintan

Uniknya mengenai masyarakat Melayu Riau ini, meskipun mampu bertutur dalam bahasa Indonesia, tapi apabila bertutur bahasa Melayu Riau kedengaran sama seperti dialek Melayu Johor.

Boleh dilihat juga persamaan dari segi budaya disebabkan datang dari rumpun yang sama terutama menerusi pakaian tradisi iaitu kebaya labuh untuk perempuan manakala baju teluk belanga untuk lelaki.

Kedua-duanya sering dipakai penduduk tempatan dalam majlis rasmi. Selain dua baju berkenaan ada pakaian tradisi lain seperti baju telepuk dan gunting cina.

Fakta menarik mengenai 'lagun kristal' di Treasure Bay Bintan

- Berkeluasan 6.3 hektar dan menampung kapasiti air kira-kira 115,060,000 liter

- Jarak dari hujung ke hujung 800 meter menyamai 50 kolam renang saiz Olimpik

- 2.5 meter dalam dan mempunyai peringkat kedalaman berbeza.

TANJUNG Pinang antara bandar utama atau pusat perniagaan. FOTO Ihsan Treasure Bay Bintan
TANJUNG Pinang antara bandar utama atau pusat perniagaan. FOTO Ihsan Treasure Bay Bintan

KONSEP resort seakan-akan ‘glamping’ memberi suasana lebih santai. FOTO Ihsan Treasure Bay Bintan
KONSEP resort seakan-akan ‘glamping’ memberi suasana lebih santai. FOTO Ihsan Treasure Bay Bintan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 7:01 AM