JAECOO J7 AWD sasar golongan profesional muda ingin miliki SUV untuk segmen C
JAECOO J7 AWD sasar golongan profesional muda ingin miliki SUV untuk segmen C
Lizam Ridzuan


SEJAK awal 2023, ada pelbagai model kenderaan dari negara China mula memasuki pasaran negara ini sama ada kenderaan elektrik (EV) atau enjin pembakaran dalaman (ICE).

Sebuah model lagi bakal menjengah ke pasaran pada tahun hadapan ialah Jaecoo J7 AWD yang juga jenama sub buat pengeluar kereta China, Chery.

Menurut Jaecoo Malaysia dua model kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen C ini dengan versi pemanduan sebelah kanan sudah berada di Malaysia bagi menjalani ujian jalan raya untuk memenuhi piawaian prestasi dan keselamatan tertinggi.

Disasarkan buat golongan profesional muda dalam segmen premium, model ini dilihat tampil dengan ciri rekaan yang maskulin dan ranggi.

Ia dengan ciri gril luas serta lampu hadapan LED unik dan nipis menyerlahkan keseluruhan rekaannya.

Untuk dimensi ia mempunyai 4,500 milimeter (mm), 1,865 mm (lebar) dan 1,680 tinggi serta jarak antara roda 2,672 mm.

RUANG kabin elemen teknologi dan futuristik.
RUANG kabin elemen teknologi dan futuristik.

Mengikut foto awal ini, ia bakal ditawar dengan versi dwi-tona dengan bumbung hitam serta rel bumbung yang menambah ciri aktif buat SUV ini.

Jika melihat ke bahagian belakang, ia hadir dengan lampu LED ciri rekaan unik merentasi bahagian pintu.

Ciri lain dengan spoiler pada bumbung dan dwi-ekzos menambah ciri prestasi pada model Jaecoo J7 serta pembuka pintu terselindung elektrik menambah ciri premium dan aerodinamik lebih baik.

Melihat suasana ke dalam kabin, menambah elemen futuristik dengan material dilihat berkualiti tinggi termasuk rekaan stereng 'flat bottom' menambah gaya sporty.

Ia juga dengan meter pemandu 10.25 inci dan sistem infotainmen menegak digital sepenuhnya 14.8 inci adalah ciri teknologi ditawarkan bagi kebanyakan pengeluar kenderaan kini.

Model ini juga ditawar dengan bumbung panorama, 8 pembesar suara dan kerusi pemandu larasan elektrik dengan fungsi memori.

Menurut sumber laman sesawang mereka, untuk enjin ia ditawarkan dengan 1.6 liter pengecas turbo yang menghemburkan 197 kuada kuda dan tork 290Nm dengan transmisi 7 kelajuan dwi-klac (DCT) yang mampu memecut dari sifar ke 100 kilometer/sejam (km/j) dalam tempoh 8 saat serta jarak penggunaan bahan api (WLTP) sekitar 7.48 liter bagi setiap 100 km

Ia juga dengan sistem pemanduan termaju seperti Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC), Amaran Keluar Lorong (LDW), Bantuan Kekal Laluan (LKA) dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Disember 2023 @ 7:02 AM