MODEL BMW iX xDrive40.
MODEL BMW iX xDrive40.
Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


JARAK pemanduan dan tempoh mengecas kenderaan elektrik sebelum ini kerap menjadi persoalan.

Bagaimanapun, model kenderaan elektrik (EV) BMW i ada jawapannya.

BMW Malaysia kini menawarkan pratempahan kenderaan aktif sukan (SAV) BMW iX menerusi model xDrive40 dan xDrive40 Sport serta memperkenalkan xDrive50 yang merungkaikan segala kebimbangan masa dan jarak capaian EV.

Model ini dikuasakan dengan dua motor elektrik selain pacuan semua roda.

Untuk pengecasan, dengan kapasiti bateri lithium-ion 76.6 kWh dan 105.2 kWh (xDrive50), ia boleh dilakukan sekitar tujuh dan 11 jam bagi pengecas AC Type 2 11kW untuk penuh 100 peratus dan menerusi pengecas pantas DC 150kW, ia mengambil masa 31 ke 35 minit sahaja untuk kapasiti bateri 10 ke 80 peratus.

Melalui ujian 'World harmonized Light-duty vehicles Test Procedure' (WLTP), ia mampu menjangkau jarak perjalanan lebih 400 hingga 630 kilometer (km) bagi xDrive50.

Untuk xDrive40, ia mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 200 kilometer/sejam (km/j) dengan 326 kuasa kuda (hp) dan tork 630Nm.

VARIAN iX xDrive40 Sport.
VARIAN iX xDrive40 Sport.

Untuk xDrive50, ia mencapai kelajuan maksimum sama, namun dengan janaan 523 kuasa kuda (hp) dan tork 765Nm.

Untuk rekaan luaran terutama pada bahagian hadapan, ia didatangkan dengan gaya futuristik serta gril 'ginjal' baharu dan lampu hadapan LED paling tirus pernah dihasilkan BMW.

Bahagian sisi pula 'cantik' dengan garis kontur petak pada bahagian atas 'wheel arch'.

RUANG kabin ciri futuristik.
RUANG kabin ciri futuristik.

Dengan pemegang pintu 'flush', pintu tanpa bingkai cermin serta padanan rim aerodinamik 21 inci Bicolour 3D, ia menyerlahkan lagi model BMW ini.

Bahagian belakang juga memiliki elemen yang sama dengan bahagian hadapan dengan lampu lebih tirus, pintu bersepadu serta 'diffuser' bagi menambah fungsi aerodinamik.

Ruang kabin pula lengkap gaya moden dengan ciri keselesaan terutama kerusi 'lounge'.

Bumbung kaca panorama pula menambah suasana mewah kenderaan ini.

Ia juga dilengkapi Paparan Lengkung BMW bersaiz 12.3 inci untuk paparan maklumat manakala untuk kawalan, ia bersaiz 14.9 inci.

Untuk model sports, ia datang dengan sistem bunyi premium 'Harman Kardon' dan 'Interior Applications Clear & Bold'.

BUMBUNG panorama.
BUMBUNG panorama.

Panel kawalan pada konsol tengah diperbuat daripada kayu.

Elemen BMW IconicSounds ditawarkan hasil kerjasama dengan komposer terkemuka dan pemenang Anugerah Academy, Hans Zimmer.

Pemilik BMW i bakal menikmati jaminan bateri sehingga lapan tahun atau 160,000km, yang mana lebih dahulu.

Sehingga artikel ini ditulis, 64 unit iX daripada 50, yang kemudiannya dinaikkan sehingga 100 unit pertama untuk pratempahan, sudah ditempah sepenuhnya.

Seratus pelanggan terawal bakal menikmati tawaran eksklusif meliputi pemasangan alat pengecasan (tidak termasuk pengecas) secara percuma serta akses pengecasan awam selama setahun.

Untuk pasaran Malaysia, BMW iX xDrive40 dan BMW iX xDrive40 Sport dijual pada harga RM419,630 sehingga RM477,230 (atas jalan tanpa insurans).

Selain iX xDrive40, turut didedahkan untuk pendaftaran 'registration of interest' bagi model xDrive50 Sport, BMW iX3 dan BMW i4 eDrive40.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 7:01 AM