Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon veteran, Datuk Hail Amir hilang selera makan sejak pagi tadi sebelum menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.48 petang di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Anaknya, Cinta Halifi berkata, bapanya dimasukkan ke HKL sejak seminggu lalu akibat batuk sebelum doktor memaklumkan bapanya mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.

"Pagi tadi dia tak berapa selera hendak makan dan kami hanya beri susu.

WARIS kepada Hail Amir tiba di Institut Perubatan Forensik Negara Hospital Kuala Lumpur (HKL), selepas Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 3:48 petang tadi. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
WARIS kepada Hail Amir tiba di Institut Perubatan Forensik Negara Hospital Kuala Lumpur (HKL), selepas Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 3:48 petang tadi. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

"Kalau diikutkan sudah seminggu Papa di hospital, dia memang batuk. Jadi, bila masuk ke sini baru tahu Papa ada jangkitan kuman dalam paru-paru. 

"Pihak hospital memang ada tunjuk x-ray dekat kami, tapi kami pun tak tahu sama ada itu sudah teruk ataupun tidak," katanya  yang ditemui di Unit Forensik HKL, hari ini.

Menurutnya, mereka sekeluarga agak terkejut kerana Allahyarham bapanya dimaklumkan dalam keadaan baik-baik saja sebelum ini. 

"Pihak hospital maklumkan untuk beri antibiotik dan mungkin ambil masa lima ke enam hari. Kami juga dimaklumkan bacaan Papa elok keadaannya makin baik.

"Tapi kami nampak dia semakin lemah. Mungkin disebabkan keadaan jantungnya," katanya.

Cinta yang kelihatan sedih berkata, bapanya membuat permintaan mahu melihat cucu-cucunya sewaktu dalam rawatan. 

"Papa memang sangat sayang budak-budak dan dia suka dengan cucunya. Dia sentiasa akan berjumpa cucu kerana benda itu menggembirakan dia. Dia ada lapan cucu," katanya.

Jenazah Allahyarham Hail atau nama sebenar, Abdul Hail Amir akan dibawa ke Masjid Ukay Perdana untuk dimandikan dan disolatkan sebelum dilebumikan di tanah perkuburan berhampiran, pagi esok.

Sepanjang pembabitannya dalam dunia seni, Hail yang berasal dari Pulau Pinang, terkenal sebagai pasangan duet kepada penyanyi bersuara lunak, Uji Rashid. 

Lagu mereka seperti Hujan, Menunggu Nasi Minyak, Antara Matamu dan Mataku termasuk lagu Seloka Hari Raya menjadi siulan ramai.

Selain menyanyi, bapa kepada empat cahaya mata ini turut terkenal di layar perak. Antara filem popular lakonannya adalah Jiwa Remaja, Cinta Dan Lagu, Menanti Hari Esok, Sesejuk Air Mata Ibu dan Anita Dunia Ajaib.

Selepas lebih lima dekad terbabit dalam dunia seni, Hail dikurniakan gelaran darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk pada 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2024 @ 7:25 PM